Friday, August 13, 2010

DINAR, DIRHAM - PERGESERAN BARU KELANTAN DENGAN PUSAT?

"...Pengeluaran mata wang di luar bidang kuasa kerajaan negeri...tindakan kerajaan PAS Kelantan itu tidak praktikal dan tidak kena pada caranya." - pakar ekonomi Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Amir Hussin Baharuddin.

Apakah yang sedang dilakukan dan cuba dibuktikan oleh kerajaan PAS Kelantan?

Selepas gagal melaksanakan Hudud dan menjadikan negeri itu benar-benar diperintah dengan peraturan Islam, gimik terbarunya untuk menunjukkan negeri negeri Islam, ia melancarkan matawang dinar dan dirham Islam.

Semalam gegak gumpita seluruh Kelantan apabila Menteri Besarnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengumumkan negeri itu akan melaksanakan urusan perdagangan kerajaan menggunakan dinar dan dirham.

Nik Aziz berkata, Kerajaan Pas Kelantan melancarkan mata wang syariah dinar dan dirham Kelantan yang digunakan sebagai alternatif kepada mata wang sedia ada.

Selain mahu menjadi negeri pertama menggunakan dinar dan darham, kerajaan PAS Kelantan juga mahu menunjukkan kepada dunia bahawa Islam mempunyai mata wangnya sendiri untuk perdagangan.

Katanya, ia tidak bertentangan dengan undang-undang dan ia dirangka mengikut peruntukan peraturan yang disediakan oleh Bank Negara.

Menurutnya, wang syariah tersebut boleh digunakan di kira-kira 1,000 buah kedai dan restoran di sekitar bandar ini untuk transaksi perniagaan.
Orang kanan Nik Aziz, Datuk Husam Musa iaitu Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, mencanangkan, pengeluaran dinar dan dirham Kelantan mengikut standard piawai yang ditetapkan oleh Pengeluar Syiling Dunia Islam (Wolrd Islamic Mint).

"Dalam Islam standard telah dibuat oleh Saidina Umar iaitu satu dinar emas 22 karat iaitu 4.5 gram kenapa 22 karat bukannya 24 karat sebab ia wang yang digunakan setiap hari untuk tahan lasak dia akan tambah logam lain tetapi berat masih 4.5 gram, bagi dirham pula tujuh dirham bersamaan dengan satu dinar.

"Pengeluaran kita sebanyak RM2 juta sebelum ini telah habis dan kita akan mencetak setiap hari bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat," katanya.

Bagaimanapun Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Husin hari ini berkata mengikut undang-undang, pengeluaran mata wang sama ada alternatif atau tidak, adalah di bawah bidang kuasa mutlak Kerajaan Persekutuan dan Bank Negara Malaysia (BNM).

Ini kerana ia membabitkan urusan dasar serta pengurusan kewangan Malaysia.

Dr Awang menjelaskan, tiada peruntukan undang-undang yang membolehkan kerajaan negeri mengeluarkan mata wang, tidak timbul soal mata wang alternatif atau tidak walaupun hanya untuk urusan jual beli di negeri itu.

Kementerian Kewangan dan BNM akan mengkaji tindakan yang boleh diambil berhubung perkara ini, katanya ketika dihubungi Berita Harian semalam.

Nik Aziz berkata mata wang syariah ini hanya pilihan kepada orang ramai untuk menggunakannya, tetapi ia juga untuk menunjukkan kepada dunia bahawa Islam mempunyai mata wang sendiri untuk perdagangan.

"Sejarah juga membuktikan bahawa dinar emas dan dirham perak tidak akan terjejas dengan inflasi sehingga menjejaskan ekonomi negara.

"Sebagai contoh, pada zaman Rasulullah SAW, harga seekor ayam kira-kira RM13, lebih kurang harga seekor ayam pada masa sekarang," katanya selepas melancarkan mata wang syariah, dinar dan dirham di Pusat Dagangan Kelantan (KTC) di Kota Bharu.

Nik Aziz berkata, dinar emas dan dirham itu dikendalikan oleh Kelantan Gold Trade (KGT) iaitu anak syarikat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Sebagai simbolik kepada majlis pelancaran itu, Nik Abdul Aziz menyerahkan dinar emas kepada Ketua Pegawai Eksekutif PMBK, Ir Mustapha Salleh bagi pembayaran gaji kepada kakitangannya untuk bulan ini.

Tabung Haji dan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) bersetuju menjadi ejen dan menerima mata wang syariah itu untuk berurusniaga.

"Buat masa sekarang kita belum ada perancangan untuk membayar gaji kakitangan awam dengan mata wang syariah tetapi saya amat bersetuju sekiranya usaha ke arah itu dibuat sekarang.

"Bermula tahun ini, orang ramai boleh membayar zakat dengan dinar emas dan dirham perak, sebelum ini kita tidak ada kesempatan kerana ia belum dilaksanakan lagi," katanya.

Sementara itu pakar ekonomi dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Amir Hussin Baharuddin, turut mengesahkan pengeluaran mata wang di luar bidang kuasa kerajaan negeri, malah tindakan kerajaan PAS Kelantan itu tidak praktikal dan tidak kena pada caranya.
Pengurus Kewangan Permodalan Kelantan Berhad, Azmi Harun menunjukkan emas dinar dan perak dirham pada Majlis Pelancaran Matawang Syariah Emas Dinar dan Perak Dirham Kelantan yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Pusat Dagangan Kelantan di Kota Bharu, semalam.

No comments: