Tuesday, September 21, 2010

BN SOKONG USUL KEBAJIKAN BEKAS SULTAN KELANTAN

Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Kelantan akan menyokong pindaan Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kelantan berhubung isu Tuanku Ismail Petra Almarhum Sultan Yahya Petra yang akan dibuat pada persidangan khas 27 September ini.

Ketua Pembangkang yang juga ADUN Kok Lanas, Datuk Md Alwi Che Ahmad, berkata pindaan itu mesti disokong kerana membabitkan kebajikan bekas Sultan Kelantan.

"Apa tidaknya, kita tetap menyokong persidangan berkait isu Sultan Kelantan, kerana ia adalah raja kita," katanya pada majlis rumah terbuka di kediamannya di Padang Upih, Ketereh, kelmarin.

Md Alwi yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Kok Lanas berkata demikian ketika diminta mengulas pendirian wakil rakyat BN berhubung isu berkenaan.

Rabu lalu, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Mohd Aiseri Alias dilapor berkata, kerajaan negeri akan mengadakan sidang DUN khas dalam tempoh terdekat bagi meminda Undang-Undang Perlembagaan Tubuh kerajaan negeri.

Pindaan itu bertujuan menggunakan wang daripada Peruntukan Wang Yang Disatukan untuk disalur sebagai elaun seumur hidup kepada bekas Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra.

Enam wakil BN ialah Datuk Noor Zahidi Omar (Pengkalan Kubor), Datuk Ab Aziz Derashid (Kuala Balah), Mohd Adhan Kechik (Bukit Panau), Datuk Nozula Mat Diah (Paloh) dan Mat Yusoff Abd Ghani (Nenggiri).

Bagaimanapun, Md Alwi berkata setakat ini mereka belum menerima notis rasmi mengenai persidangan khas itu.

No comments: