Showing posts with label Elaun. Show all posts
Showing posts with label Elaun. Show all posts

Tuesday, September 21, 2010

BN SOKONG USUL KEBAJIKAN BEKAS SULTAN KELANTAN

Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Kelantan akan menyokong pindaan Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kelantan berhubung isu Tuanku Ismail Petra Almarhum Sultan Yahya Petra yang akan dibuat pada persidangan khas 27 September ini.

Ketua Pembangkang yang juga ADUN Kok Lanas, Datuk Md Alwi Che Ahmad, berkata pindaan itu mesti disokong kerana membabitkan kebajikan bekas Sultan Kelantan.

"Apa tidaknya, kita tetap menyokong persidangan berkait isu Sultan Kelantan, kerana ia adalah raja kita," katanya pada majlis rumah terbuka di kediamannya di Padang Upih, Ketereh, kelmarin.

Md Alwi yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Kok Lanas berkata demikian ketika diminta mengulas pendirian wakil rakyat BN berhubung isu berkenaan.

Rabu lalu, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Mohd Aiseri Alias dilapor berkata, kerajaan negeri akan mengadakan sidang DUN khas dalam tempoh terdekat bagi meminda Undang-Undang Perlembagaan Tubuh kerajaan negeri.

Pindaan itu bertujuan menggunakan wang daripada Peruntukan Wang Yang Disatukan untuk disalur sebagai elaun seumur hidup kepada bekas Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra.

Enam wakil BN ialah Datuk Noor Zahidi Omar (Pengkalan Kubor), Datuk Ab Aziz Derashid (Kuala Balah), Mohd Adhan Kechik (Bukit Panau), Datuk Nozula Mat Diah (Paloh) dan Mat Yusoff Abd Ghani (Nenggiri).

Bagaimanapun, Md Alwi berkata setakat ini mereka belum menerima notis rasmi mengenai persidangan khas itu.

Thursday, September 16, 2010

PERSIDANGAN DUN TETAPKAN ELAUN SEUMUR HIDUP SULTAN ISMAIL

Kerajaan Kelantan akan mengadakan persidangan khas Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menetapkan jumlah elaun seumur hidup yang bakal diterima oleh Sultan Ismail Petra Almarhum Sultan Yahya Petra setelah tidak lagi menjadi Sultan di negeri ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Aiseri Alias berkata persidangan itu akan diadakan sebelum akhir bulan ini mengikut perkara 23A Undang-undang perlembagaan Tubuh Negeri Kelantan (bahagian kedua) yang disebut “Undang-undang Perlembagaan Tubuh” dalam Perwawai ini.

Bercakap pada persidangan media di pejabatnya di Kota Bharu, semalam, beliau turut menafikan kenyataan Anggota Majlis Perajaan Negeri (MPN) Datuk Shukri Mohamed yang disiarkan di akhbar hari ini menyebut gelaran Tuanku (kepada kepada Sultan Ismail) dan Tengku kepada (Raja Perempuan Anis) digugurkan.

"Beliau (Shukri) telah menafikan sekeras-kerasnya kenyataan berkenaan, beliau telah menulis surat kepada akhbar tersebut hari ini meminta menarik balik kenyataan tersebut dan beliau telah membuat laporan polis,” katanya.

Sebaliknya Mohd Aiseri berkata gelaran “Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan” akan diganti kepada “Duli Yang Maha Mulia Sultan” setelah tidak lagi menjadi Sultan Kelantan.