Friday, October 15, 2010

15,861 PETUGAS HADAPI BANJIR DI KELANTAN

Kira-kira 15,860 petugas akan ditugaskan sebagai persediaan menghadapi musim banjir berikutan jumlah hujan yang masih belum turun dianggarkan sebanyak 40 peratus pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Negeri (JKPBBN), Datuk Aiseri Alias (gambar kiri) berkata, pihaknya telah mengadakan mesyuarat bagi menghadapi kemungkinan berlaku banjir di negeri ini.

Katanya, daripada jumlah petugas terbabit, ia melibatkan seramai 200 petugas peringkat negeri, 1,533 petugas peringkat jajahan dan selebih petugas daripada agensi kerajaan.

Antara agensi kerajaan yang terbabit termasuklah Polis Diraja Malaysia (PDRM), anggota tentera, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA3) dan pasukan Bomba dan Penyelamat negeri Kelantan.

“Bagi persiapan banjir tahun ini, kita menyediakan 1,533 petugas yang membabitkan seluruh jajahan. Mereka ini akan bertugas mengikut syif masing-masing.

“Jumlah itu tidak termasuk jumlah petugas bilik gerakan banjir mengikut agensi-agensi kerajaan dan di peringkat negeri pula kita ada lebih kurang 200 orang untuk bertugas di peringkat negeri, jadi kita ada lebih kurang 15,861 petugas yang terlibat dengan agensi-agensi,” katanya di pejabatnya di Kota Bharu, kelmarin.

Katanya, dari segi bekalan logistik pihaknya turut menyediakan kemudahan seperti ambulans, bot enjin, jaket keselamatan, kenderaan-kenderaan termasuk lampu suluh dan alat memasak dan sebagainya.

“Dari segi kenderaan kita menyediakan sebanyak 192 kenderaan yang melibatkan daripada tentera, PDRM, pasukan Bomba dan Penyelamat serta sebagainya.

“Kita menjangkakan jumlah pusat pemindahan sebanyak 813 itu akan dapat menampung jangkaan 105,490 orang mangsa banjir. Bilik gerakan kita akan dibuka apabila paras air sungai melebihi paras amaran,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, mereka yang tinggal di kawasan yang telah dilanda banjir pada masa-masa lepas supaya sentiasa mendengar nasihat daripada agensi kerajaan terutama melalui maklumat kaji cuaca, JPS, begitu juga melalui radio dan televisyen.

“Daripada pengalaman tahun lepas, banyak mangsa banjir telah bersedia awal hasil daripada gerakan kesedaran kita yang telah kita buat selama ini.

“Satu perkara yang penting semasa banjir ini kita perlu jaga kesihatan. Saya telah minta jabatan kesihatan untuk mengadakan unit-unit kesihatan terutama sekali bagi pusat-pusat yang ramai mangsa-mangsa yang berpindah.

“Ini kerana kita bimbang sekarang ini penyakit mudah berjangkit dan untuk mendapat rawatan di hospital tentunya memakan masa.

“Jadi perlu kita ada unit-unit khusus di tempat-tempat pemindahan banjir,” katanya.

Orang ramai yang ingin mengetahui perkembangan atau maklumat mengenai banjir boleh melayari www.ebanjir.com.my.

No comments: