Friday, October 15, 2010

UMNO GUNA PENCERAMAH VETERAN, ORANG ASLI DI GALAS

UMNO Kelantan akan menggunakan khidmat penceramah Orang Asli dan veteran UMNO sepanjang kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Ketua Penerangan UMNO Kelantan Dali Hussin berkata ini kerana peranan masyarakat Orang Asli dan veteran UMNO sangat diperlukan untuk memberi penerangan sejelas-jelasnya kepada pengundi.

"Kita akan lihat siapa penceramah yang boleh menggalas tanggungjawab ini dan kali ini tumpuan perlu diberi kepada pengundi Orang Asli dan juga pengundi yang lain melalui penceramah veteran ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Veteran UMNO Bahagian Pengkalan Chepa hari ini.

Dali yang juga Ketua UMNO Bahagian Pengkalan Chepa, berkata jentera penerangan UMNO sudah mula bergerak sejak Khamis lepas dengan mengadakan beberapa siri ceramah dan mengunjungi beberapa pos Orang Asli di DUN itu.

Beliau berkata dakwaan yang mengatakan pengundi Orang Asli tidak lagi menyokong Barisan Nasional (BN) adalah tidak benar dan ketika berkempen di penempatan itu, jentera kempen telah diberikan sambutan meriah.

Dali yakin lebih 2,000 pengundi Orang Asli akan setia bersama BN berikutan pengaruh Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah yang dilantik sebagai Pengarah Jentera BN bagi pilihan raya kecil itu.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya, Chek Hashim Sulaima, 46, daripada PAS akibat barah usus pada 27 Sept lepas. Penamaan calon ditetapkan pada 26 Okt ini manakala pengundian pada 4 Nov.

No comments: