Saturday, October 23, 2010

PELAJAR PERLU DICAMBAH MINAT MENGENAI BIOTEKNOLOGI

Warga pendidik diminta memainkan peranan dalam usaha membantu mencambahkan minat pelajar dalam bidang bioteknologi bagi memberi gambaran dan sumber rujukan yang jelas agar mereka lebih memahami tentang bidang itu.

Ketua Pegawai Eksekutif TESDEC, Datuk Mohd. Alim Muda berkata, bidang bioteknologi yang merupakan antara bidang pemacu ekonomi negara terpenting itu dilihat mampu memberi pelbagai peluang pekerjaan pada masa kini.

Katanya, warga pendidik khususnya guru biologi dan pakar kaunselor perlu memberi pendedahan berkenaan memandangkan masih ramai yang terlepas pandang akan manfaat dan nilai sebenar industri tersebut.

"Bioteknologi adalah satu salah satu daripada bidang sains yang dapat membantu meningkatkan kualiti hidup manusia daripada pelbagai aspek namun masih ramai yang tidak mengetahuinya.

"Pelbagai peluang pekerjaan dalam industri ini perlu diisi merangkumi penyelidikan, pengusahaan, tenaga pengajar, harta intelek, pemasaran dan sebagainya," katanya ketika berucap dan merasmikan BioEducation Monsoon Camp (BMC) 2010 di Ri-Yaz Heritage Marina Resort dan Spa Pulau Duyung dekat Kuala Terengganu kelmarin.

Program anjuran BiotechCorp dengan sokongan Kolej TESDEC dan Jabatan Pendidikan negeri Terengganu ( JPNT ) tersebut disertai seramai 80 warga pendidik dan kaunselor dari negeri Terengganu.

No comments: