Saturday, October 23, 2010

TUDUHAN KHALWAT TERHADAP CALON PAS – APA NI UMNOONLINE?


Dengan bangganya, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor baru-baru ini menasihatkan ahli UMNO jangan baca blog lain – termasuk blog proUMNO – tetapi hanya umnoonline untuk mendapatkan berita yang tepat mengenai UMNO.

Jadi ahli UMNO yang ‘patuh’ kepada arahan mungkin dapatkan berita hanya melalui umnoonline, termasuk mengenai Galas.

Namun, apa yang mengejutkan, semalam umnoonline dikatakan membuat fitnah terhadap calon PAS Dr Zulkefli Mohamad yang beliau pernah ditangkap berkhalwat.

Ini bermakna bahawa calon PAS ini menjadi sasaran umno-online tidak sampai 24 jam selepas diumumkan bertanding dalam pilihan raya kecil DUN Galas.

Dalam reaksinya terhadap laporan itu, Dr Zulkefli yang juga pemangku Yang Dipertua PAS Gua Musang menafikan perkara itu.

Malah, katanya, Ramelah yang dilaporkan itu adalah ibunya.

Dr Zulkefli, lulusan ijazah sarjana muda perubatan dan pembedahan, Universiti Malaya pada tahun 1992 dan mengendalikan klinik sendiri di Chiku 3, Gua Musang, menjelaskan isterinya bernama Zainab Jalar.

Malaysiakini yang memetik kenyataan Dr Zulkifli menyebut, media rasmi Umno yang memetik laporan beberapa blog mendakwa Dr Zulkefli pernah ditangkap khalwat dengan 'isterinya' sekarang, Ramelah Mat Jusoh.

"Fitnah semata-mata, - boleh buat semakan di mana-mana pejabat agama di Kelantan dan seluruh Malaysia," katanya dalam jawapannya melalui SMS kepada Malaysiakini.

Selain mendakwa Dr Zulkefli pernah ditangkap berkhalwat, umnoonline juga cuba memperlekehkan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sebelum ini mengenakan syarat untuk menjadi calon adalah bukan perokok dengan memberikan gambaran seolah-olah beliau adalah perokok.

"Saya tidak merokok. Semoga Allah mengampuni dosa mereka yang membuat fitnah," kata Dr Zulkefli.

Dr Zulkefli diumumkan sebagai calon PAS oleh Nik Aziz di Gua Musang malam semalam.

Beliau adalah bekas calon PAS yang bertanding menentang Ketua Umno Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dalam pilihan raya umum 2008 tetapi tewas.

Berusia 44 tahun, Dr Zulkefli merupakan anak ketujuh daripada 10 adik beradik.

Persoalannya kenapakah umnoonline berharapkan blog lain yang bukan menjadi pilihan Tengku Adnan untuk dijadikan sumber berita?

Saya tabik kepada blog parpukari dan the unspinners dalam kerja mereka untuk Galas tetapi kedua-duanya kalau menurut analogi Tengku Adnan tidak layak untuk dijadikan rujukan kerana tidak ‘setanding’ umnoonline.

Lebih malang, apa yang dipetik oleh umnoonline itu disifatkan ‘berunsur fitnah’ dan boleh memalukan UMNO (ikut standard Tengku Adnan).

Dengan kedudukan ini, tidakkah perbuatan umnoonline ini dengan sendirinya memalukan Tengku Adnan yang mengharapkan portal berita umno itu sebagai sumber rujukan utama dan boleh dipercayai?

Bergantung kepada Tengku Adnanlah untuk memperbetulkan keadaan ini kerana beliau juga yang meletakkan umno-online kononnya satu-satunya online yang perlu dirujuk mengenai apa sahaja berkenaan UMNO.

Cuma sedikit memalukan ialah portal yang sepatutnya menjadi rujukan menjadi sebaliknya dan kini didakwa membawa ‘fitnah’ kepada calon PAS Galas.

Jangan perkecilkan perkara ini kerana ia akan menjadi bahan kempen untuk menempelak UMNO!

No comments: