Saturday, October 23, 2010

TINGKAT PENDAPATAN 20,054 PESERTA LADANG KONTRAK

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bercadang meningkatkan pendapatan 20,054 peserta ladang kontrak di seluruh negara sepanjang Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

Penasihat Projek Berimpak Besar (HIP), Ladang Kontrak (MOA), Meriam Lebam berkata, 30peratus daripada jumlah itu kini sudah memperoleh pendapatan RM2,000 sebulan.

"Kita mensasarkan dalam tempoh RMK-10, 40 peratus daripada jumlah itu akan memperoleh lebih RM2,000 sebulan," katanya kepada pemberita pada majlis perasmian bengkel pembangunan industri keledek Vitato dan pendaftaran peserta ladang kontrak di Tok Bali Pasir Puteh, semalam.

Lebih 100 peserta dari empat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kelantan menyertai bengkel berkenaan yang dirasmikan oleh Pengarah FAMA Wilayah Timur, Mohd Zaimi Abdul Razak.

Meriam berkata mereka akan digalakkan menyertai 13 jenis tanaman jangka panjang termasuk durian dan tanaman jangka pendek termasuk tembikai, ubi dan sayur-sayuran.

Beliau berkata sebahagian daripada mereka mengusahakan tanaman itu melebihi satu hektar.

Katanya dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memperuntukkan RM100 juta bagi tujuan pemasaran dan meningkatkan pendapatan peserta.

Mohd Zaimi pula berkata kemungkinan besar pihaknya akan memperkenalkan khasiat ubi keledek vitato sebagai makanan bayi kerana ia mempunyai vitamin A yang tinggi setanding dengan khasiat makanan bayi yang terkemuka yang dijual di pasaran tempatan sekarang.

Beliau berkata kajian mengenainya sedang giat dilaksanakan di samping kuih tradisional seperti cakar ayam.

Katanya pihaknya akan bekerjasama dengan jabatan-jabatan kerajaan yang berkaitan seperti pejabat pertanian dan LPP supaya mengusahakan tanaman itu secara berskala besar kerana ia sangat berpotensi untuk dikomersialkan.

Mohd Zaimi berkata pada masa ini hanya 250 tan metrik dihasilkan menerusi ladang di Kelantan dan Terengganu sejak diperkenalkan dua tahun lepas dan ia jauh daripada mencukupi daripada daripada keperluan sebenar untuk memenuhi permintaan.

No comments: