Monday, November 1, 2010

PARAS AIR SUNGAI GOLOK PADA PARAS BAHAYA

Paras air Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah dan Rantau Panjang kini dilaporkan berada di paras bahaya ekoran hujan lebat sejak dua hari lalu.

Menurut Pegawai Hidrologi Jabatan Pengairan dan Saliran Kelantan, Shaari Harun, paras air di Jenob pada 11 pagi tadi berada pada paras 23.80 meter berbanding para bahaya 23.50 meter, dengan air dilaporkan semakin naik.

Di Rantau Panjang, bacaannya ialah 8.75 meter yang menghampiri paras bahaya 9 meter, katanya.

"Sehubungan itu penduduk diminta bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan banjir kerana air Sungai Golok mungkin melimpah pada bila-bila masa sahaja,” katanya kepada Bernama.

Shaari berkata, paras air sungai utama lain masih di paras biasa namun airnya semakin meningkat secara perlahan-lahan berikutan hujan masih turun.

Katanya, ekoran hujan lebat, beberapa kawasan rendah seperti Pasir Tumboh, Penambang, Kubang Bemban, Berek 12 dan Pasir Hor mengalami banjir kilat sedalam 0.5 meter.

Namun tiada penduduk yang diarahkan berpindah setakat ini.

Shaari berkata, pihaknya telah mula membuka Bilik Gerakan Banjir mulai awal pagi tadi bagi memantau keadaan.

Katanya hujan yang sesekali lebat dijangka terus melanda Kelantan sehingga esok.

No comments: