Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan mengesan segelintir premis lama yang disewa oleh agensi kerajaan negeri dan pusat untuk dijadikan pejabat tidak mempunyai ciri-ciri keselamatan sepenuhnya.
Pegawai Perhubungan Awamnya, Ahmad Fakaruddin Berahim berkata, bangunan berkenaan dikesan menerusi operasi yang dilakukan jabatan tersebut ke atas 50 premis kerajaan termasuk sekolah bermula pada 8 November lalu sehingga kelmarin.
Beliau berkata, menerusi operasi tersebut pihaknya mendapati aspek keselamatan untuk mencegah kebakaran di bangunan terbabit tidak begitu memuaskan dan pihak pengurusan perlu segera melakukan penyelenggaraan secepat mungkin.
Katanya, kebanyakan bangunan tersebut tidak diselenggara dengan baik terutama sistem keselamatan kebakaran seperti panel penggera yang tidak berfungsi dan boleh menyebabkan pam gelung hos tidak dapat digunakan.
"Jika sistem itu tidak berfungsi dengan baik terutama membabitkan panel penggera kebakaran, ia boleh menyebabkan keadaan lebih rumit apabila berlaku kebakaran.
"Justeru, pihak berkenaan perlu mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan bangunan masing-masing dalam keadaan selamat bagi memastikan tiada kerugian membabitkan harta kerajaan," katanya kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan ke atas sebuah premis kerajaan di Kota Bharu, kelmarin.
Operasi tersebut melibatkan lapan pegawai Bahagian Keselamatan Kebakaran Bangunan Ibu Pejabat Balai Bomba dan Penyelamat Kelantan.
Ahmad Fakaruddin berkata, setakat ini pihaknya tidak mengambil sebarang tindakan terhadap premis kerajaan sebaliknya memberi khidmat nasihat dengan memberi surat cadangan supaya ia dibaik pulih terutama bagi sistem keselamatan kebakaran.
"Sekiranya premis kerajaan dikesan masih berulang tanpa membaik pulihnya, notis akan dikeluarkan dan jika masih gagal boleh dikenakan tindakan mahkamah," ujarnya.
Sehubungan itu, katanya, Jabatan Bomba dan Penyelamat mengesyorkan supaya pihak pengurusan premis kerajaan lebih peka dengan membaik pulih sistem keselamatan kebakaran di bangunan masing-masing.
Beliau juga tidak menafikan, mungkin ada di kalangan pihak pengurusan premis itu terlepas pandang berkaitan keselamatan kebakaran termasuk stor, pintu rintangan api dan alat pemadam api yang tidak diselenggara dengan baik.
Tambahnya, pemeriksaan di premis kerajaan akan dilakukan dari semasa ke semasa bagi memastikan sistem berkaitan dalam keadaan baik tanpa sebarang masalah apabila berlaku kebakaran.
No comments:
Post a Comment