Saturday, November 27, 2010

MAHKAMAH PERSEKUTUAN TOLAK PETISYEN BEKAS SULTAN KELANTAN

Mahkamah Persekutuan di Kuala Lumpur, semalam memutuskan bahawa Tengku Mahkota Kelantan berkuasa penuh sebagai sultan apabila Sultan negeri itu mengalami ketidakupayaan seperti yang peruntukkan oleh Perlembagaan Negeri Kelantan.

Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, yang mengetuai panel tiga hakim, berkata Perlembagaan Negeri Kelantan juga memperuntukkan bahawa Tengku Mahkota boleh melaksanakan tugas Sultan walaupun Sultan tidak mengalami ketidakupayaan.

"Kami berpendapat hanya seorang individu patut menguruskan hal ehwal Negeri Kelantan pada satu-satu masa," kata beliau.

Oleh itu, kata, Zulkefli, Tuanku Ismail Petra Ibni Sultan Yahya Petra tidak mempunyai kedudukan daripada segi undang-undang untuk meminta Mahkamah Persekutuan membuat keputusan tentang persoalan berkaitan kuasa dan kewibawaan Tengku Mahkota itu ketika Sultan mengalami ketidakupayaan.
Panel itu, yang turut dianggotai Hakim Datuk Md Raus Sharif dan Hakim Datuk Abdull Hamid Embong, sebulat suara menolak petisyen Tuanku Ismail Petra setelah membenarkan bantahan awal peguam Tan Sri Cecil Abraham, yang mewakili responden, Sultan Muhammad V (Tuanku Muhammad Faris Petra), bahawa ayahanda baginda tidak mempunyai bidang kuasa untuk merujuk persoalan tersebut kepada mahkamah berkenaan.

Tuanku Ismail Petra, yang memfailkan petisyen berkenaan pada 5 Mei dan 22 Jun tahun ini, menamakan Sultan Muhammad V dan Kerajaan Negeri Kelantan sebagai responden.

Dalam petisyen itu, Tuanku Ismail Petra memohon Mahkamah Persekutan membuat keputusan tentang beberapa persoalan undang-undang sama ada Sultan Muhammad V, yang memangku jawatan Tengku Mahkota ketika itu, mempunyai kuasa untuk memecat atau melantik anggota Majlis Perajaan.

Satu lagi persoalan yang Tuanku Ismail Petra minta Mahkamah Persekutuan pertimbangkan ialah sama ada Sultan Muhammad V, yang menjadi Tengku Mahkota ketika itu, mempunyai kuasa untuk mengehadkan pergerakan Tuanku Ismail Petra hanya di dalam Istana Mahkota, Kubang Kerian, Kelantan.

Sultan Muhammad V (Tuanku Muhammad Faris Petra) dilantik sebagai Tengku Mahkota Kelantan pada 24 Mei tahun lepas oleh Majlis Perajaan atas alasan ayahanda baginda gering.

Pada 13 Sept, Sultan Muhammad V dilantik sebagai Sultan Kelantan oleh Majlis Perajaan. Tuanku Ismail Petra mengalami ketidakupayaan sejak Mei tahun lepas.

Dalam penghakiman setebal 33 muka surat, Zulkefli berkata Tuanku Ismail Petra tidak boleh melaksanakan kuasa sebagai Sultan mengikut Perlembagaan Negeri Kelantan, selagi Tengku Mahkota menyandang jawatan ketika baginda mengalami ketidakupayaan.

"Ini kerana, disebabkan ketidakupayaan pemetisyen (Tuanku Ismail Petra) sebagai Sultan Kelantan ketika itu, Tengku Mahkota Kelantanlah dan hanya Tengku Mahkota Kelantan sahaja yang akan melaksanakan kuasa yang diberi kepada 'Sultan' mengikut Perlembagaan Negeri Kelantan," kata beliau.

Katanya Tuanku Ismail Petra hanya boleh melaksanakan kuasa itu setelah kembali semula ke Kelantan dan menyandang jawatan sebagai Sultan Kelantan.

"Mengikut fakta yang ada di hadapan kami, pemetisyen tidak berbuat demikian sebaik saja pulang ke Kelantan pada atau kira-kira pada Mac 2010. Malah, pemetisyen terus berada dalam keadaan tidak berupaya, manakala responden pertama (Sultan Muhammad V) terus menjadi Tengku Mahkota Kelantaan.

"Berlandaskan alasan di atas, pemetisyen tidak boleh melaksanakan sebarang kuasa yang diperuntukkan kepada 'Sultan' selagi ada Tengku Mahkota.

"Pemetisyen, yang mengalami ketidakupayaan, tidak boleh melaksanakan kuasa itu, melainkan beliau pulih daripada ketidakupayaan yang dialaminya," kata beliau.

Zulkefli berkata tiada bezanya antara kuasa yang dilaksanakan Sultan Muhammad V ketika baginda menjadi Tengku Mahkota Kelantan dan kuasa yang dilaksanakan seorang Sultan yang memerintah, tanpa mengira sama ada Sultan Muhammad V dilantik oleh Majlis Perajaan atau oleh Sultan kelantan ketika itu, Tuanku Ismail Petra.

No comments: