Pasukan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) mengarahkan 141,966 anggotanya di negeri ini supaya bersiap sedia menghadapi gelombang kedua banjir yang dijangka melanda Kelantan dalam masa terdekat.
Ketua Pengarah Rela, Datuk Zaidon Asmuni berkata, kesemua anggota terbabit bersedia untuk digerakkan melalui Platun Bantuan Khidmat Rela (PBKR) bagi membantu mangsa-mangsa banjir.
Beliau berkata, pihaknya juga mungkin akan menggunakan khidmat pasukan Rela dari Terengganu dan Perak bagi membantu sekiranya keadaan memerlukan.
"Melalui PBKR, kita bukan sahaja akan menggerakkan anggota di negeri ini malah boleh menggunakan kekuatan lebih dua juta anggota di seluruh negara bagi menghulurkan bantuan.
"Misalnya di Kedah baru-baru ini, kita telah hantar ratusan anggota Rela bagi membantu mencuci rumah, dewan, masjid dan sebagainya. Pasukan kita bersedia 24 jam untuk bekerjasama dengan polis dan tentera menghadapi musim banjir," katanya selepas Majlis Pelancaran Kempen Penambahan Anggota Rela peringkat negeri ini sebuah hotel di Kota Bharu, semalam.
Hadir merasmikan majlis tersebut adalah Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Lee Chee Leong. Turut hadir Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri, Makhtar Mustapha dan Pemangku Pengarah Rela Negeri, Mohd. Rawi Mohamad.
Sebelum ini akhbar melaporkan, beberapa negeri di Pantai Timur termasuk bahagian Timur Johor serta Sabah dan Sarawak dijangka mengalami banjir besar berikutan peningkatan taburan hujan dengan sesetengah tempat diramal melebihi 40 peratus berbanding paras biasa.
Fenomena itu berlaku ekoran perubahan cuaca musim Monsun Timur Laut bermula awal bulan ini dan dijangka berterusan hingga awal Mac depan.
Zaidon berkata, platun pasukan itu berada di setiap daerah di negeri ini dan bersedia untuk digerakkan secara automatik sekiranya bencana itu melanda.
"Kalau daerah Tumpat misalnya dilanda banjir, kita akan hantar pasukan dari Pasir Mas dan Kuala Krai untuk membantu," katanya.
Dalam pada itu, Zaidon berkata, anggota Rela seramai 2.1 juta orang mempunyai tahap disiplin yang tinggi dengan bilangan yang dikenakan tindakan akibat masalah disiplin adalah amat terpencil.
"Kita akui ada yang dibuang dan digantung keahlian tetapi jumlahnya amat kecil sekali, setiap permohonan untuk masuk menjadi sebahagian anggota Rela kita tapis terlebih dahulu rekod mereka dengan polis," katanya.
No comments:
Post a Comment