Thursday, December 23, 2010

KERAJAAN RUNDING NAIKKAN HARGA KENAF

Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi sedang berunding dengan sebuah syarikat dari Jepun untuk menaikkan harga kenaf sehingga melebihi RM750 satu tan metrik bagi membolehkan tanaman kenaf dikomersilkan di kalangan bekas penanam tembakau.

Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Ismail Saleh berkata harga sekarang (RM750 satu tan metrik) masih tidak releven dalam usaha memberi pulangan hasil yang lumayan kepada petani berbanding tanaman tembakau.

"Jika syarikat itu, yang kini sedang beroperasi di Pahang bersetuju mengenainya, ia mungkin mampu menarik lebih ramai petani untuk mengusahakannya," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan singkat ke Pusat Latihan Kenaf dan Tembakau Negara di Pasir Puteh, kelmarin.

Yang turut hadir ialah Ketua Pengarah Kenaf dan Tembakau Negara Ahmad Loman.

Dalam lawatan itu, Ismail juga sempat meninjau kilang membuat kerepek ubi kayu dan tanaman lada fertigasi sebagai contoh untuk memberi pendedahan kepada bekas penanam tembakau ketika mendapat latihan di pusat berkenaan.

Pada peringkat awal, katanya seramai 500 bekas penanam tembakau sudah mengusahakan tanaman kenaf yang membabitkan kawasan seluas 1,000 hektar terutama di Kelantan.

Beliau berkata tanaman itu berpotensi berasaskan penggunaannya yang mencakupi bidang automatif dan pembinaan lantai bangunan manakala kajian lanjut sedang diusahakan untuk mempelbagaikan kegunaannya.

Di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), katanya pihaknya menyasarkan pendapatan golongan itu akan ditingkatkan dari RM750 sebulan sekarang kepada RM1,500 sebulan untuk membolehkan mereka keluar dari garis kemiskinan.

Selain memperkenalkan tanaman kenaf, beliau berkata mereka juga akan digalakkan mencebur diri dalam kegiatan yang menguntungkan seperti tanaman lada fertigasi yang lebih selamat daripada cuaca hujan dan panas dan penternakan ikan hiasan yang mendapat tawaran tinggi di peringkat antarabangsa.

No comments: