Thursday, December 23, 2010

KLINIK C & C RAWAT PENAGIH DITERIMA POSITIF

Sejak dilancarkan 1 Julai lepas, seramai 1,162 penagih dadah telah mendapat rawatan di enam Klinik Pemulihan dan Prihatin 1Malaysia (Klinik Cure & Care) kendalian Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen).

Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan Datuk Zuraidah Mohamed berkata jumlah itu walaupun sedikit berbanding 15,736 penagih dadah yang direkodkan sepanjang tahun 2009 oleh Agensi Dadah Kebangsaan (AADK), memberi petanda positif berhubung penerimaan klinik itu.

Beliau berkata, pendekatan secara sukarela yang diperkenalkan melalui klinik itu diterima baik oleh penagih, keluarga, majikan serta individu yang ada kaitan secara langsung dengan individu penagih.

Pusat itu yang dimulakan di Sungai Besi berkonsepkan pusat pemulihan penagihan narkotik secara terbuka dan berfungsi sebagai hab untuk rawatan dan juga pusat rujukan bagi memenuhi keperluan penagih.

"Sejak dimulakan pada 1 Julai lepas, sambutannya sangat menggalakkan, maklum balas yang diterima juga sangat positif dan kita juga semakin kurang mendapat rungutan dan aduan," kata Zuraidah.

Selain Sungai Besi, khidmat Klinik C&C juga disediakan di Puspen Bukit Mertajam di Pulau Pinang untuk zon utara, Puspen Kemumin, Kelantan (zon timur), Puspen Tampoi, Johor (zon selatan), Puspen Papar di Sabah dan Puspen Kuching di Sarawak.

Berbeza dengan Puspen yang lain, penagih serta keluarga boleh datang ke klinik tersebut bila-bila masa tanpa perlu prosedur perundangan untuk mendapatkan rawatan dan khidmat nasihat daripada doktor pakar dan doktor psikiatri yang ditempatkan di klinik berkenaan.

Zuraidah berkata mereka yang datang mendapatkan khidmat di klinik itu akan menjalani pemeriksaan lengkap terlebih dahulu oleh doktor yang dilantik bagi mengenal pasti keperluan rawatan mereka.

Selepas itu barulah ditentukan penempatan pelanggan kepada empat peringkat perkhidmatan yang disediakan iaitu rawatan dan pemulihan dadah secara menginap, pesakit luar, secara harian dan berkala, serta melalui khidmat sokongan.

"Dengan cara ini kita akan lebih memahami pelanggan dan keperluan mereka kerana mereka datang sendiri kepada kita untuk pulih, bukan kita yang memaksa mereka," katanya.

AADK turut mewujudkan Triage Puspen, Puspen Tegar dan juga Satu Puspen sebagai langkah menambah baik perkhidmatan pusat pemulihan dan rawatan yang sedia ada.

Triage Puspen di Kampung Selamat, Batu Kurau, Perak berperanan menjalankan tapisan, penilaian dan pengkategorian penghuni-penghuni sebelum ditempatkan ke Puspen yang bersesuaian.

"Tempoh pengkategorian penghuni di Triage Puspen tidak melebih tiga minggu sebelum dihantar ke PUSPEN yang bersesuaian berpandukan beberapa kriteria yang telah ditetapkan," katanya.

Satu Puspen pula yang diwujudkan di Puspen Karangan, Kulim, Kedah, menerima penghuni-penghuni yang telah menjalani penilaian daripada Triage Puspen dan dikhususkan untuk penghuni-penghuni yang bermotivasi dan mempunyai potensi yang tinggi untuk dipulihkan.

Puspen Tegar menjadi pusat pemulihan yang menempatkan penghuni-penghuni yang bermasalah daripada segi disiplin dan bermotivasi rendah untuk dipulihkan, dengan berkonsepkan seperti dalam penjara.

AADK turut merancang untuk mewujudkan Puspen latihan di Sepang bagi memberi latihan vokasional kepada penagih-penagih agar mereka lebih bersedia dan berdikari apabila pulih dari penagihan, kata Zuraidah.

Agensi itu juga berhasrat mewujudkan Puspen yang menjalankan pemulihan secara Islam sepenuhnya.

Dari Januari hingga Jun tahun ini seramai 12,079 penagih baru dan 3,095 penagih berulang dikesan di seluruh negara termasuk 576 terdiri daripada remaja bawah 20 tahun.

"Sesuatu perlu dilakukan dan sebab itu AADK mengubah 360 darjah pendekatan rawatan dan pemulihannya yang dilakukan sejak 27 tahun yang lalu serta komited dengan misi Malaysia menjadi bebas dadah pada 2015," katanya.

Bernama

No comments: