Tuesday, January 4, 2011

Hujan Di Negeri Pantai Timur Sehingga Sabtu

Hujan sekejap-sekejap kadangkala sederhana dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu dan Pahang bermula esok sehingga Sabtu.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia kawasan yang terlibat di Kelantan ialah di daerah Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah, Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh, Machang dan Kuala Krai manakala di Terengganu pula melibatkan daerah Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman dan di Pahang melibatkan daerah Kuantan.

Hujan sekejap-sekejap kadangkala sederahana yang kini berlaku di Sabah dijangka berlarutan hingga Jummat. Kawasan yang terlibat ialah di Kudat, Pitas, Kota Murudu, Ranau, Kota Belud, Beluran, Sandakan dan Kinabatangan.

Keadaan ini boleh menyebabkan banjir di kawasan yang berkedudukan rendah dan berdekatan tebing sungai, menurut kenyataan itu.

Jabatan itu juga mengeluarkan amaran angin kencang timur laut dengan kelajuan 50 hingga 60 km sejam dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter yang kini berlaku di perairan Kelantan, Terengganu, Samui, Reef North, Layang-Layang dan Palawan dijangka berterusan sehingga Isnin ini.

Angin kencang timur laut dengan kelajuan 40 hingga 50km sejam dengan ombak mencapai ketinggian sehingga tiga dan lima meter yang kini berlaku di perairan Pahang, timur Johor, Sarawak (Mukah, Bintulu dan Miri), Tioman, Bunguran, Reef South dan Sulu juga dijangka berterusan sehingga Isnin ini.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora itu merbahaya kepada semua aktiviti perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak, penangkapan ikan, perkhidmatan feri, bot kecil, aktiviti pantai, rekreasi dan sukan laut.

No comments: