Thursday, April 4, 2013

Ladang Rakyat - Kampung Orang Asli Ibarat Pulau, Penduduk Hilang Pekerajaan

Penduduk Orang Asli berkumpul meninjau kawasan berhampiran penempatan mereka di Pos Hendrop yang dibangunkan untuk ladang rakyat oleh syarikat asing. 
Wan Khairul (kanan) bersama peguamnya, menunjukkan keratan akhbar laporan Sinar Harian serta gambar bukit yang dirakam wujudnya aktiviti penggondolan tanah secara berleluasa.
“Kami tahu hak kami yang sekian lama tinggal di kampung itu dan pemimpin kerajaan negeri tidak pernah menjenguk masalah kami termasuk mengenai tanah adat yang dirampas...Sedih juga apabila ada pihak tertentu yang mendakwa kaum Orang Asli tidak pernah mempunyai tanah walaupun berpuluh tahun tinggal di kampung asal mereka.” 
 - Eyas Anjang

Persatuan Orang Asli Kelantan (POAK) menyangkal dakwaan tiada tanah Orang Asli di kampung pedalaman Hulu Kelantan terbabit dengan pengambilan balik oleh kerajaan negeri.

Sebaliknya, persatuan itu mengakui kaum berkenaan semakin ramai yang kehilangan pekerjaan akibat daripada tanah yang diusahakan mereka selama ini diambil balik untuk diserahkan kepada syarikat pembangunan ladang rakyat.

Pengerusinya, Eyas Anjang berkata, kebanyakan kampung Orang Asli menjadi seperti pulau apabila sekelilingnya dibuka ladang rakyat yang tidak memberi manfaat kepada kaum berkenaan.

Menurutnya, kerajaan negeri dipercayai memberi dividen ladang rakyat kepada kroni sebanyak RM200 sebulan, dan tidak memadai dengan keluasan tanah yang dibangunkan ladang rakyat itu.

“Kami tahu hak kami yang sekian lama tinggal di kampung itu dan pemimpin kerajaan negeri tidak pernah menjenguk masalah kami termasuk mengenai tanah adat yang dirampas.

“Sedih juga apabila ada pihak tertentu yang mendakwa kaum Orang Asli tidak pernah mempunyai tanah walaupun berpuluh tahun tinggal di kampung asal mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai dakwaan segelintir kaum itu yang menjadi tali barut kerajaan negeri yang disiarkan akhbar ini baru-baru ini.

Mereka menyatakan tiada tanah Orang Asli diambil balik kerajaan negeri. Eyas berkata, segelintir Orang Asli yang mengeluarkan kenyataan itu bersekongkol dengan pihak berkenaan yang menggadaikan tanah rakyat kepada syarikat bagi pembangunan ladang sawit.

Dakwanya, pemimpin terlibat tidak pernah turun padang membincangkan masalah itu dan mungkin ada perbincangan sulit dengan kroni mereka untuk berbuat demikian.

“Kita mengakui kerajaan negeri tidak pernah mewartakan tanah untuk Orang Asli bagi memudahkan tindakan merampas semula dan itu adalah niat jahat bagi menekan kehidupan kaum kami,” katanya.

Beliau mahu kerajaan negeri bersikap adil dalam memberi pembelaan ke atas rakyat berbilang kaum di negeri ini dan tidak pilih kasih untuk memberi pembelaan bagi menjamin masa depan Orang Asli.

Sementara itu, sebuah badan bukan Kerajaan, Pertubuhan Orang Muda Berpadu Anti Korupsi (Ombak), menggesa Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakob, menarik balik kenyataannya berhubung isu pencerobohan tanah di Lojing.

Sambil menafikan berlakunya kes terbabit yang disiarkan dalam Sinar Harian, pada 12 Februari lalu, Presidennya Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad berkata, sebagai pentadbir dalam Kerajaan Negeri, sepatutnya Ahmad menyatakan bukti dengan apa yang didedahkan melalui rakaman video baru-baru ini, yang memaparkan penggondolan bukit bermula dari Dabong, Kuala Krai ke Neggiri dan Gua Musang yang membabitkan ratusan hektar tanah termasuk hutan simpan.

“Kita tidak pernah mencantum gambar seperti yang didakwa oleh beliau dari tempat berasingan kerana kita menggunakan kamera yang berkualiti tinggi untuk merakamkan gambar terbabit dengan jelas di kawasan yang berlakunya aktiviti pengambilan tanah secara berleluasa.

“Dalam paparan itu juga, kita menggunakan koordinat tepat untuk merakamkan gambar dan apa yang ditunjukkan amat jelas wujudnya aktiviti seumpama itu di kawasan berkenaan.

"Oleh itu saya beri masa sehingga seminggu kepada beliau untuk menarik balik tuduhan ini dan menyiarkan dalam akhbar Sinar Harian, jika tidak saya akan mengambil tindakan undang-undang dan memfailkan tuntutan saman,” katanya.

Wan Khairul berkata, seperti yang dipaparkan, bukannya soal pembalakan yang diketengahkan, tetapi apa yang dipersoalkan ialah isu pengambilan tanah secara berleluasa yang digunakan untuk tujuan pertanian termasuk Ladang Rakyat.

“Beliau perlu bertindak segera di atas hal ini, dan setakat ini saya sudah membuat perbincangan dengan peguam saya untuk menghantar Letter Of Demand (LOD) kepada beliau pada hari ini (kelmarin).

“Jika beliau gagal melakukan tindakan selanjutnya, maka saya tidak teragak-agak untuk memfailkan saman kerana beliau juga dengan jelas mendakwa saya sengaja mengada-adakan cerita untuk memburukkan kerajaan negeri,” katanya.

Sumber - Sinar Harian

No comments: