Thursday, April 4, 2013

Tuntutan Royalti Petroleum RM12 Bilion Oleh Kerajaan Kelantan Tidak Bersandarkan Asas-asas Munasabah



"Mengikut undang-undang, adalah jelas bahawa Negeri Kelantan, sepertimana juga Negeri Terengganu dan semua negeri di Semenanjung Malaysia hanya mempunyai hak untuk menuntut bayaran hasil petroleum yang dikeluarkan dalam perairan negeri tersebut iaitu kawasan yang terletak tidak melebihi tiga batu nautika dari ukuran garis air surut ataupun pesisiran pantai negeri."
 - Pejabat Perdana Menteri
 
  
Tuntutan royalti petroleum RM12 bilion oleh kerajaan negeri Kelantan tidak bersandarkan kepada asas-asas munasabah, menurut kenyataan pejabat Perdana Menteri (PMO). Menurut PMO, tuntutan itu bukan sahaja tidak munasabah dari segi perundangan, tetapi juga dari tatacara teknikal berkaitan dengan aktiviti-aktiviti pengeluaran gas dan minyak di kawasan yang terlibat.

"Mengikut undang-undang, adalah jelas bahawa Negeri Kelantan, sepertimana juga Negeri Terengganu dan semua negeri di Semenanjung Malaysia hanya mempunyai hak untuk menuntut bayaran hasil petroleum yang dikeluarkan dalam perairan negeri tersebut iaitu kawasan yang terletak tidak melebihi tiga batu nautika dari ukuran garis air surut ataupun pesisiran pantai negeri," menurut PMO.

Menurut PMO, kawasan-kawasan yang mengeluarkan hasil petroleum di luar perairan negeri Kelantan adalah Blok PM301, Blok PM2, Kawasan Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand (MTJDA) dan Kawasan Pengaturan Komersil di antara Malaysia and Vietnam (PM3 CAA).

"Blok PM301 dan Blok PM2 melebihi tiga batu nautika dari garis air surut atau persisiran pantai Negeri Kelantan tetapi berada dalam kawasan perairan Malaysia.


MTJDA pula merupakan kawasan yang dituntut Thailand dan PM3 CAA merupakan kawasan yang dituntut Vietnam," menurut kenyataan itu yang dikeluarkan semalam.

Menurut PMO, kawasan yang dituntut Thailand iaitu MTJDA adalah di bawah pihak berkuasa bersama Malaysia-Thailand (MTJA) yang bertanggungjawab mengawal selia aktiviti-aktiviti di dalam kawasan ini dan bukan hanya tanggungjawab Kerajaan Persekutuan sahaja.

"Ini adalah kerana isu sempadan laut di antara kerajaan Malaysia dan Thailand sehingga kini masih belum diselesaikan secara muktamad," kata PMO.


Oleh itu, Malaysia dan Thailand telah memeterai Memorandum Persefahaman yang perlu dipatuhi kedua-dua negara selagi isu sempadan laut tidak dapat diselesaikan, menurut PMO.

"Ini adalah untuk mengelakkan pertelingkahan di antara Malaysia dan Thailand. Kedua-dua negara telah bersetuju supaya bayaran lima peratus daripada nilai pengeluaran petroleum dibuat kepada Malaysia, dan Thailand juga menerima lima peratus daripada nilai pengeluaran petroleum," menurut PMO.

Menurut PMO, kawasan ini telah mengeluarkan hasil semenjak tahun 2005 dan sehingga tahun 2012, kerajaan Persekutuan telah menerima bayaran berjumlah US$600.27 juta ataupun RM2.1 bilion daripada kawasan tersebut.

Menurut PMO, berdasarkan perjanjian di antara Malaysia dan Vietnam bagi kawasan tuntutan Vietnam iaitu PM3 CAA, Kerajaan Persekutuan menerima bayaran lima peratus iaitu sejumlah RM2.2 bilion daripada hasil yang dikeluarkan di kawasan tersebut semenjak tahun 2005.

"Kerajaan Persekutuan telah menerima sejumlah RM285.1 juta hasil daripada pengeluaran petroleum di kawasan Blok PM301 dan Blok PM2 yang bermula pada tahun 2009," menurut PMO. 

Memandangkan Blok PM301 dan Blok PM2 terletak di luar perairan Negeri Kelantan kerana melangkaui tiga batu nautika dari garis air surut atau persisiran pantai negeri itu, kerajaan Kelantan tidak layak dari segi undang-undang untuk mendapat bayaran daripada hasil pengeluaran kedua-dua blok itu," menurut PMO.


Menurut PMO, kerajaan Persekutuan tetap membuat bayaran kepada negeri Kelantan dalam bentuk wang ehsan daripada hasil pengeluaran kedua-dua blok itu di mana sehingga Februari tahun ini, bayaran tunai yang dikreditkan ke Akaun Amanah Wang Ehsan Negeri Kelantan adalah berjumlah RM142.6 juta.

"Daripada jumlah tersebut sebanyak RM100.8 juta telah disalurkan kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan untuk membiayai program wang ehsan seperti bantuan bagi pelajar IPTA (Institusi Pengajian Tinggi Awam), khairat kematian, membaiki rumah bagi golongan miskin, bantuan bencana, bantuan persekolahan dan bantuan anak yatim," menurut PMO.

Selain itu, tuntutan RM12 bilion kerajaan negeri Kelantan adalah tidak munasabah kerana jumlah bayaran yang diterima oleh kerajaan Persekutuan daripada kesemua empat kawasan, iaitu MTJDA (Malaysia-Thailand), PM CAA (Malaysia-Vietnam), Blok PM301 dan Blok PM2 yang mengeluarkan hasil petroleum sehingga kini adalah RM4.58 bilion.

"Kerajaan Negeri Kelantan bukan sekadar menuntut apa yang tidak termaktub dalam undang-undang bahkan tuntutan mereka itu berkali-kali ganda lebih daripada apa yang diterima oleh Kerajaan Persekutuan. 

"Memandangkan tuntutan ini tidak ada asasnya, maka tindakan pihak-pihak tertentu dalam menggerakkan aktiviti-aktiviti untuk mengelirukan rakyat Kelantan adalah amat dikesali," kata PMO.

Menurut PMO, kerajaan Persekutuan sebenarnya berbelanja dalam jumlah yang lebih besar melebihi jumlah hasil yang dikutip daripada negeri Kelantan.

Menurut PMO, umpamanya bagi tempoh tahun 2008 hingga tahun 2012, perbelanjaan kerajaan Persekutuan adalah berjumlah RM26.37 bilion berbanding hasil yang dikutip daripada negeri Kelantan bagi tempoh yang sama berjumlah RM2.07 bilion.

Kartun Harakah kononnya Perdana Menteri takut kepada tuntutan Kelantan.
Bernama

No comments: