Pemilik tanah yang menjadi tapak bangunan Pusat Khidmat
Masyarakat DUN Salor, Rosli Ibrahim mencadangkan agar Menteri Besar Kelantan,
Datuk Ahmad Yakub memecat salah seorang exconya kerana bercakap bohong.
"Pecatlah Datuk Mat (MB Kelantan), malu kepada orang
exco macam ni," kata Rosli merujuk seorang exco kerajaan negeri Kelantan
yang mendakwa tanah tapak bangunan pusat khidmat DUN Salor itu adalah milik
kerajaan negeri.
Menurut Rosli, bekas setiausaha Semangat 46 Kelantan itu,
tanah tapak bangunan pejabat itu beliau beli dengan harga RM5,800 dari seorang
bernama Minah binti Musa.
Kemudian beliau memberikan tanah itu atas nama isterinya
Haripah binti Dollah.
"Memanglah milik 'pah'. Tetapi bukan 'PAS',"
kata Rosli dalam ceramahnya di perkarangan pejabat ADUN Salor itu.
Rosli berkata, beliau kemudiannya menyerahkan tapak itu
kepada Datuk Husam Musa untuk dibina bangunan yang ada sekarang.
Sebelum ini Husam berkata Pejabat DUN Salor yang kini
bertukar daripada pusat khidmat ADUN PAS kepada pusat aduan rakyat Amanah
adalah kerana pemilik premis berkenaan memberi amanah kepada beliau.
"Dulu pemilik tempat ini memberi amanah kepada saya
untuk menjalankan aktiviti PAS tapi sekarang telah menukar amanah itu supaya
saya jadikan pusat aktiviti Parti Amanah Negara (Amanah)," kata Adun Salor
itu dalam ucapan di majlis memperingati hari Wukuf anjuran Amanah negeri
Kelantan 11 September lalu.
Husam berkata konsep amanah adalah teras dalam menghayati
ajaran Islam dan tidak patut ada pihak yang bersikap sebaliknya dengan membuat
tuduhan palsu berkait kedudukan pejabat berkenaan.
"Memang pejabat tu bukan milik tok nenek saya, tapi
ada tuannya yang sah," katanya.
Sehubungan itu, Rosli meminta semua pihak tidak lagi
membuat dakwaan yang bukan-bukan terhadap tapak tanah tersebut.
"Kalau ada yang buat dakwaan lagi, siaplah,"
kata Rosli yang memberikan amaran agar dakwaan liar tidak lagi dibuat ke atas
tanah itu.
No comments:
Post a Comment