KOTA BHARU (11 SEPTEMBER 2016) : Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan PAS Kelantan dijadual
menandatangani perjanjian penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan
air di negeri itu di Putrajaya, Rabu ini.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri
Mustapa Mohamed berkata, pemeteraian perjanjian itu merupakan khabar gembira
kepada rakyat kerana bakal menyelesaikan masalah air di negeri itu yang
berlarutan sejak sekian lama.
“Saya sudah menerima jemputan untuk menghadiri majlis
menandatangani perjanjian penstrukturan semula ini di Jabatan Perdana Menteri,
Rabu ini. Bagaimanapun perincian mengenai perjanjian ini akan dimaklumkan dalam
majlis itu nanti.
“Keputusan kerajaan Pusat untuk bersetuju menandatangani
perjanjian ini menerima pelbagai reaksi, ada yang setuju ada yang kurang
setuju.
Bagaimanapun saya jelaskan, kita buat keputusan ini demi kepentingan rakyat Kelantan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas
Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Kelantan di Bangunan UMNO negeri hari ini.
Pentrukturan semula perkhidmatan bekalan air sememangnya
ditunggu-tunggu rakyat setelah kira-kira 25 tahun menderita menerima bekalan
air yang tidak berkualiti.
Baru-baru ini, Badan Bertindak Restorasi Air Kelantan
(Restorasi) menuntut negeri merombak serta melakukan penyusunan semula dalam
pengurusan syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) kerana dilihat gagal
berfungsi dengan baik.
Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan
Industri memberitahu, mengikut perjanjian, walaupun berlaku penstrukturan
semula, urusan untuk membekalkan bekalan air bersih di negeri ini masih kekal
di bawah AKSB.
“Dalam mesyuarat sebentar tadi, Badan Perhubungan UMNO
Kelantan sedia menerima perjanjian penstrukturan semula ini dengan syarat,
pengurusan AKSB perlu dirombak untuk tingkatkan kecekapan.
“Hal ini kerana banyak laporan kita terima terdapat
kelemahan yang perlu diperbaiki dalam AKSB. Kalau tidak, bekalan air di
Kelantan tidak akan berubah,” katanya.
SOKMO.NET
No comments:
Post a Comment