Monday, October 10, 2016

Apabila Kelantan Di Bawah PAS Bukan Lagi Destinasi Pelancong


"Destinasi sebenar pelancong yang masuk ke Kelantan sekarang adalah Pulau Perhentian di Terengganu serta pusat pelancongan di Thailand seperti Songkla, Hat Nyai, Krabi, Phuket dan lain-lain."


KOTA BHARU (10 Oktober 2016): Melancong ke Kota Bharu 20 atau 30 tahun lalu merupakan pengalaman berbeza. Pelawat akan mendapati ramai pelancong asing berkeliaran di bandar itu terutama di stesen bas dan juga pasar malam.

Namun keadaan itu kini sudah bertukar. Tidak ramai pelancong di bandar Kota Bharu, walaupun ramai masih boleh ditemui di Lapangan Terbang Pengkalan Chepa.

Satu daripada puncanya ialah Kelantan kini hanya menjadi transit pelancongan, bukan destinasi pelancong sebenarnya , disebabkan kekurangan promosi dan produk pelancongan di negeri Che Siti Wan Kembang itu.

Akibatnya, walaupun lebih 4 juta pelancong memasuki Kelantan setiap tahun dan terus meningkat, pendapatan industri pelancongan tidak sepadan dengannya, kata pengusaha industri ditemui FMT.

Ke Terengganu

Penggiat industri pelancongan Mohd Hishamudin Ghazali berkata destinasi sebenar pelancong yang masuk ke Kelantan sekarang adalah Pulau Perhentian di Terengganu serta pusat pelancongan di Thailand seperti Songkla, Hat Nyai, Krabi, Phuket dan lain-lain.


“Mereka lebih senang turun di lapangan terbang Pengkalan Chepa di Kota Bharu kerana ia lebih dekat dengan destinasi itu berbanding Bangkok yang lebih jauh ke utara atau Kuala Terengganu yang jauh ke selatan,” kata Hishamudin kepada FMT.

Sebab itu, katanya, ramai yang masuk Kelantan tetapi bukan berbelanja di negeri ini.

Katanya, sebelum ini ramai pelancong ditemui di Kota Bharu kerana menggunakan sistem pengangkutan awam seperti bas dan teksi untuk ke destinasi sebenar.

Bagaimanapun, dengan wujudnya sistem penerbangan tambang murah, mereka terus ke destinasi dari lapangan terbang dengan menggunakan van dan bas yang disediakan hotel ke tempat destinasi pelancongan sebenar mereka.

Kelantan pernah digemari pelancong kerana makanannya, dan ramai berkunjung ke gerai makan seperti Padang Bas yang terletak di tengah pusat bandar, bersebelahan stesen bas Kota Bharu.

Tetapi selepas pasar malam itu dipindahkan untuk pembinaan pusat membeli belah, ia tidak menarik perhatian pelancong lagi kerana tempatnya yang tersorok di samping bau busuk kerana terletak di sebelah pusat pengumpulan sampah.

“Kalau pelancong menjadikan Kelantan sebagai destinasi, maka akan penuhlah pantai Irama dan Pantai Cahaya Bulan, Pasar Siti Khatijah, pasar malam dan lain-lain dengan pelancong, tetapi mereka tidak ada di situ lagi.

“Puncanya Kelantan tiada produk pelancongan di samping masalah jalan raya yang teruk serta kebersihan yang tidak terjaga dengan baik,” kata Hishamudin.

Tiada usaha

Menyedari Kelantan sebagai transit saja, kerajaan negeri sebelum PAS cuba mengikat mereka dengan pelbagai persembahan kebudayaan untuk menarik mereka kekal di Kelantan.

Namun selepas kemenangan PAS mulai tahun 1990, sedikit demi sedikit persembahan kebudayaan sebegini dihentikan kerana dianggap bertentangan dengan dasar Islam yang dibawa parti itu.


Timbalan menteri besar Kelantan pada awal pemerintahan PAS-Semangat 46, Rozali Isohak (1990-1995) menyedari hal ini, begitu juga exco pelancongan dari Semangat 46, Zianon Abdin Ali.

Kedua-duanya cuba menyelesaikannya dengan memberikan alternatif menerusi produk pelancongan lain termasuk memajukan Air Terjun Gunung Stong di Jeli. Persembahan kebudayaan khas untuk pelancong juga diperkenalkan.

Selepas mereka, ia terbiar dan kemudahannya mula rosak dan reput.

Hishamudin bersetuju, agrotourisme boleh membawa balik pelancong ke negeri ini namun ia perlukan kesungguhan dari semua pihak yang terlibat khasnya pihak kerajaan dan pengusaha industri pelancongan.

Beliau sendiri sedang mengusahakan produk sebegini dengan membangunkan pulau di negeri itu untuk menarik pelancong transit ini dengan menjadikan produk pelancongan tempatan sebagai destinasi.

Menurut Hishamudin, hutan Kelantan juga masih cantik untuk menjadi tarikan pelancong tetapi sekarang sedikit terganggu akibat pembalakan yang terlalu agresif.

“Air Terjun Gunung Stong di Jeli antara produk pelancongan terbaik di Asia Tenggara kerana ia dijolok sebagai air terjun tertinggi tetapi tidak ada kemudahan yang mencukupi untuk pelancong jadikan ia sebagai destinasi mereka.

Pulau Perhentian...lebih dekat dari Pengkalan Chepa.
“Isunya adalah kelemahan pengurusan untuk menjadikan produk pelancongan kita kompetitif. Tak mampu bersaing. Produk bagus tetapi pengurusan lemah,” katanya.


Kekurangan hotel besar

Hishamudin berkata, ia antara sebab Hotel Perdana yang menjadi kebanggaan kerajaan negeri sebelum ini kini sudah dijual dan Perdana Resort di PCB juga akan dijual, katanya.

Menurut beliau, 5-10 tahun lalu, Kelantan mula menjadi pusat tumpuan umat Islam dari negara Arab dan juga Asia Tenggara khasnya Thailand, Cambodia, Myanmar dan Laos serta Singapura dan Brunei untuk datang dan berbelanja.

“Tarikan utama ketika itu adalah kerana banyaknya sekolah pondok dan menteri besarnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Tetapi selepas Tok Guru meninggal, sekolah pondok juga mula pupus terutama pondok kecil, mereka juga kurang datang,” katanya.

Kelantan juga, katanya, lemah dari segi kemudahan hotel untuk pelancong yang mampu berbelanja lebih.

“Kita ada da saja hotel bertaraf 5 bintang iaitu Hotel Perdana dan Renaissance,” katanya.

Sebelum ini, katanya, Bandar Baru Lojing yang sejuknya sama dengan Cameron Highlands juga dikira bakal menjadi produk pelancongan yang menarik di Kelantan.

“Namun sejak akhir-akhir ini, Lojing sudah menjadi pusat penerokaan haram mereka yang lari dari Cameron Highland pula,” dakwa Hishamudin.

No comments: