Tuesday, August 31, 2010

KELANTAN SAMAN PETRONAS, TUNTUT ROYALTI

Kerajaan Kelantan menyaman Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) menuntut tunggakan pembayaran royalti dan bayaran masa hadapan bagi hasil petroleum diperoleh di luar pantai negeri berkenaan.

Writ saman dan pernyataan tuntutan itu difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di Kompleks Mahkamah Jalan Duta semalam, melalui Tetuan Tommy Thomas.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan anggota Exco kerajaan negeri.

Sementara itu ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan solat hajat di Masjid Wilayah Persekutuan, Nik Aziz berkata, sebagai ketua kerajaan beliau hanya mahu menjaga harta kerajaan walau dengan apa cara termasuk melalui rundingan atau proses perundangan.

Kerajaan Kelantan (plaintif) menamakan PETRONAS sebagai defendan, menuntut beberapa relif, antaranya pelaksanaan spesifik Perjanjian Petroleum Kelantan dan penjelasan atau siasatan berhubung pendedahan penuh berkenaan bayaran perlu dibayar kepada kerajaan negeri.

Antara pendedahan dituntut ialah tempoh sejak bila sumber itu dikeluarkan, didapati atau diperoleh di luar pantai Kelantan, kawasan blok mana diperoleh dan jumlah perlu dibayar PETRONAS.

Kelantan juga menuntut perintah semua tunggakan pembayaran tunai perlu dibayar dalam tempoh sebulan daripada perintah mahkamah dan bayaran masa hadapan dibayar mengikut syarat dalam Perjanjian Petroleum Kelantan.

Dalam pernyataan tuntutannya, plaintif mendakwa defendan tanpa sebarang alasan melanggar Akta Kemajuan Petroleum (PDA), Perjanjian Petroleum dan Pemberian Kelantan apabila gagal membuat sebarang pembayaran kepada kerajaan negeri bagi petroleum yang diperoleh di luar pantai negeri itu.

Plaintif mendakwa, Perjanjian Petroleum Kelantan ditandatangani oleh Menteri Besar Datuk Mohamed Nasir pada ketika itu yang bertindak bagi pihak kerajaan negeri dan Tengku Razaleigh Hamzah iaitu Pengerusi dan Ketua Eksekutif PETRONAS pada masa itu.

Sebagai balasan, defendan bersetuju membayar kepada kerajaan negeri yang memberikan hak selama-lamanya memindah hak kepada syarikat itu hak eksklusif untuk mencari gali dan memperoleh petroleum di luar Pantai Kelantan (Pemberian Kelantan).

Plaintif mendakwa, Pemberian Kelantan disempurnakan secara bertulis pada 9 Mei 1975 oleh Mohamed dan diterima juga secara bertulis oleh Tengku Razaleigh.

1 comment:

Panglima Perang Cyber said...

berapa banyak nak saman ? tak sebut tu macam ada tak kena je..

hehe


nak main kejar kejar ke?