Friday, August 27, 2010

USM, PPD ANJUR SEMBANG-SEMBANG CINTA REMAJA

Sebahagian daripada pelajar melafazkan ikrar Jauhi Zina semasa Program Sembang-Sembang Cinta Remaja dan Kempen Anda Bijak Jauhi Zina di Dewan Utama, USM, Kubang Kerian, baru-baru ini.

Program ini bertujuan memberi input dan maklumat kepada remaja langkah-langkah menangani dan menyelesaikan masalah dengan menggunakan pendekatan Islam. Ia adalah usaha pencegahan yang perlu dilakukan bagi mengelakkan aktiviti seks luar nikah di kalangan remaja sehingga membawa kepada pembuangan bayi.

Kes gejala sosial termasuk pembuangan bayi yang berlaku mutakhir ini mendorong Pusat Islam Universiti Sains Malaysia (USM) menganjurkan Program Sembang- Sembang Cinta Remaja dan Kempen Anda Bijak Jauhi Zina di sini baru-baru ini.

Program itu dianjurkan dengan kerjasama Unit Perkembangan Kesihatan Wanita, Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Raudhatus Sakinah Kelantan dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), telah menarik penyertaan 750 pelajar lelaki dan perempuan dari 20 buah sekolah menengah sekitar daerah Pasir Mas.

Pengarah program, Dr. Dasmawati Mohamad berkata, program tersebut dimulakan pada 2007 dan keperluannya semakin 'mendesak' berikutan kes-kes gejala sosial khususnya buang bayi yang semakin berleluasa sejak akhir-akhir ini.

Beliau berkata, pada kali ini program itu dikhususkan untuk pelajar sekolah menengah terdiri daripada pelajar perempuan di tingkatan satu hingga tiga dan pelajar lelaki dari tingkatan empat dan lima.

"Program ini bertujuan memberi input dan maklumat kepada remaja langkah-langkah menangani dan menyelesaikan masalah dengan menggunakan pendekatan Islam.

"Ia adalah usaha pencegahan yang perlu dilakukan bagi mengelakkan aktiviti seks luar nikah di kalangan remaja sehingga membawa kepada pembuangan bayi," katanya di Kota Bharu baru-baru ini.

Selain ceramah Cinta Remaja : Antara Fantasi dan Realiti yang disampaikan pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Hishamuddin Alham, pelajar yang hadir telah diasingkan kepada dua kumpulan besar mengikut jantina bagi sesi 'Anda Bijak Jauhi Zina' di bawah kendalian moderator berbeza.

Dr. Dasmawati yang juga Pengerusi Raudhatus Sakinah Kelantan berkata, menerusi sesi yang diadakan itu, pelajar dibantu untuk mendapat pemahaman cinta sebenar dari kaca mata Islam dan diberi kesedaran secara langsung tentang bahaya perlakuan zina.

Katanya, golongan remaja mesti bijak memilih cara hidup beragama dan tidak terpengaruh dengan gejala sosial sekitar mereka.

"Remaja harus diyakinkan bahawa ada aktiviti dan gaya hidup alternatif yang menjamin kebahagiaan yang boleh mereka amalkan selain daripada gaya hidup hedonisme dan pencarian hiburan tanpa batas," katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr. Dasmawati berkata, pusat perlindungan Raudhatus Sakinah Kelantan hari ini menempatkan seramai 23 remaja perempuan terlanjur berusia antara 14 hingga 22 tahun yang datang dari seluruh negara.

Jelasnya, mereka yang mempunyai pelbagai latar belakang pendidikan termasuk universiti, diberi bimbingan selama setahun sebelum dibenarkan keluar menghadapi dunia luar.
Utusan Malaysia

No comments: