Wednesday, September 15, 2010

KELANTAN KALAH 1-0 KEPADA N SEMBILAN

Juara bertahan musim lepas, Negeri Sembilan memulakan kempen Piala Malaysia musim 2010 dengan menundukkan Kelantan 1-0 pada perlawanan kumpulan A yang berlangsung di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV, Kota Bharu malam semalam.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh Abdul Halim Zainal pada minit ke-73.

Dalam satu lagi perlawanan kumpulan A, Selangor PKNS menewaskan KL Plus 1-0 pada perlawanan di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.

Dalam perlawanan kumpulan B pula, Pahang membelasah Terengganu 3-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, dengan gol Pahang dijaringkan oleh Marzuki Yusof (minit ke-12), Mohd Fadzli Baharuddin (min ke-67) dan Mohd Faizol Hussain (min ke-82) manakala gol tunggal Terengganu dijaringkan oleh Abdul Rayjalil pada minit ke-75.

Di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, pasukan tuan rumah terikat tanpa sebarang jaringan dengan Sabah.

Pada perlawanan Kumpulan C, Perak seri 2-2 dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada perlawanan di Stadium Perak, Ipoh.

Shahrizal Saad menjaringkan gol pertama tuan rumah pada minit ke-16 sementara gol kedua dijaringkan oleh Shafudin Adli yang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-78, manakala ATM memperoleh jaringan menerusi Mohd Saiful Mustafa pada minit ke-49 dan V. Jaganathan pada minit ke-67.

Sementara itu pada perlawanan kumpulan D, Juara Piala Malaysia 32 kali, Selangor, membelasah pasukan kelab dari Terengganu, T-Team 3-1 dalam perlawanan di Stadium Shah Alam.

Gol-gol pasukan Red Giants dijaringkan oleh D. Surendran (minit ke-50), Rudie Ramli (min ke-79) dan R. Surendren (min ke-91), manakala gol saguhati T-Team hadir pada minit ke-93 menerusi Rosli Muda.

Di Stadium Utama Negeri, Kangar, Perlis menumpaskan Felda United 3-2.

Gol-gol tuan rumah dijaringkan pada minit ke-49 menerusi Fatrurazi Rozi manakala Ahmad Fakri Saarani menjaringkan dua gol pada minit ke-52 dan minit ke-90.

Felda United memperolehi gol pada minit ke-85 menerusi Azrul Ahmad sementara gol kedua dijaringkan oleh G. Puaneswaran selang seminit kemudian.

No comments: