Wednesday, September 15, 2010

GELARAN 'TUANKU' SULTAN ISMAIL GUGUR

Gelaran ‘Tuanku’ yang dipakai bekas Sultan Kelantan dan ‘Tengku’ pada Raja Perempuan Kelantan sebelum ini gugur secara automatik berikutan pemasyhuran anakanda sulung baginda berdua, Tuanku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan di Istana Balai Besar semalam.

Berikutan pengguguran gelaran tersebut, Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra kini bergelar Sultan Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra.

Sementara itu, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid pula diberi gelaran Raja Perempuan dengan nama yang dikehendaki oleh baginda sendiri.

Ketika menjelaskan perkara tersebut, jurucakap Istana Kelantan yang juga Ahli Majlis Perajaan Negeri (MPN), Datuk Shukri Mohamed (gambar kanan) berkata, gelaran ‘Tuanku’ dan ‘Tengku’ hanya diberikan kepada Sultan yang memerintah serta permaisuri baginda sahaja.

“Penggunaan gelaran itu termaktub dalam Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Negeri. Kerajaan negeri akan menyembahkan kepada Raja Perempuan (Tengku Anis) untuk menentukan nama yang akan digunakan oleh baginda selepas ini.

“Namun apa-apa keputusan menetapkan gelaran terserah kepada Sultan Kelantan, Tuanku Muhammad Faris untuk gelaran kepada ayahanda dan bonda baginda selepas ini,” kata Shukri pada sidang akhbar di Istana Balai Besar di sini hari ini.

Semalam, Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra yang sebelum ini Pemangku Raja, dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan yang baru berkuat kuasa semalam.

Pengisytiharan pemasyhuran itu diumumkan oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Balairung Seri Istana Balai Besar di sini pada pukul 12.30 tengah hari.

Pemasyhuran itu dibuat selepas diputuskan oleh mesyuarat Majlis Perajaan Negeri yang dipengerusikan oleh pengerusinya yang juga Tengku Laksamana Kelantan, Tengku Abdul Halim Almarhum Sultan Ibrahim pada pukul 9 pagi semalam di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Kota Darul Naim di sini.

Mengulas lanjut, Shukri berkata, buat sementara waktu gelaran Tengku Mahkota Kelantan dikosongkan sehingga Tuanku Muhammad Faris membuat pelantikan kerana ia adalah kuasa mutlak baginda.

“Sememangnya untuk perjalanan institusi diraja tidak lengkap sekiranya tiada Tengku Mahkota tetapi ia akan kosong untuk sementara waktu sehingga Tuanku melantiknya.

“Gelaran Tengku Temenggong begitu juga, ia di bawah bidang kuasa Tuanku Sultan, bagaimanapun gelaran tersebut tidak mempunyai sebarang kuasa perundangan tetapi pemegang gelaran itu akan hanya mempunyai kuasa sekiranya beliau dilantik sebagai ahli MPN,” katanya.

Menjawab mengenai istiadat pertabalan Tuanku Muhammad Faris sebagai sultan, beliau berkata, ia terpulang kepada baginda untuk menentukannya kerana perkara tersebut di bawah bidang kuasa baginda.

Bagaimanapun katanya, persiapan untuk mengadakan adat istiadat pertabalan itu akan mengambil masa selama tiga bulan.

Beliau turut menegaskan pemasyhuran tersebut tidak boleh dipertikaikan atau dibawa ke mana-mana mahkamah kerana ia mengikut Perlembagaan serta mendapat persetujuan majoriti dua pertiga ahli MPN.

“Pemasyhuran Tuanku Muhammad Faris sebagai sultan tidak boleh dicabar di mahkamah kerana dilakukan mengikut peruntukan Perkara 23A, Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua),” katanya.

No comments: