Wednesday, September 15, 2010

UMNO JANJI AIR BERSIH JIKA MEMERINTAH

Masalah air bersih yang dihadapi oleh sebahagian besar rakyat Kelantan akan dijadikan agenda utama dalam perjuangan Umno Kelantan membela nasib rakyat jika diberi peluang memerintah Kelantan pada pilihan raya umum ke-13 kelak.

Timbalan pengerusi badan perhubungan Umno Kelantan, Datuk Awang Adek Hussin berkata ini berpunca kegagalan PAS mengatasi masalah itu walaupun diberi peluang memerintah selama 20 tahun di negeri itu.

"Di mana-mana pun saya pergi sama ada di bandar dan di kampung ketika turun padang saya terpaksa menerima rintihan rakyat agar masalah itu (bekalan air bersih) diberi keutamaan," katanya di Bachok, kelmarin.

Awang Adek, yang juga timbalan menteri kewangan, mendakwa walaupun kerajaan pusat sudah meluluskan pinjaman mudah sebanyak RM600 juta kepada kerajaan negeri itu bagi menyelesaikan masalah berkenaan, ia masih gagal ditangani malah semakin membebankan mereka.

Awang Adek berkata sebahagian rakyat Kelantan yang menghadapi masalah itu terpaksa mencari alternatif lain seperti menggali telaga dan membina telaga tiub malangnya air yang diperoleh daripada bawah tanah itu berbau busuk.

Beliau berkata memburukkan lagi keadaan apabila ratusan ribu rakyat Kelantan pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama sanak saudara di kampung halaman masing-masing mengeluh kerana tiada air yang mencukupi.

No comments: