Wednesday, September 15, 2010

PEMASYHURAN - UMNO KELANTAN MENARUH HARAPAN TINGGI

UMNO Kelantan berharap pemasyhuran Sultan Kelantan yang baru itu akan memakmur dan membangunkan Kelantan yang kini jauh ketinggalan berbanding negeri lain.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata UMNO menaruh harapan yang tinggi agar Sultan Kelantan dapat menjadikan Kelantan antara negeri yang termaju di negara ini.

"Bagi pihak UMNO Kelantan kita menzahirkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Tuanku Sultan," katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka sempena Aidilfitri di Dewan Haji Hussin, Perupuk Bachok yang dihadiri lebih 5,000 penduduk Bachok, sebilangan besarnya kaum nelayan.

Dr Awang yang juga Timbalan Menteri Kewangan, berkata kerajaan pusat akan terus menyalurkan pelbagai projek kepada Kelantan mengikut Rancangan Malaysia Kesepuluh, yang sedang diperincikan dan akan diumumkan bulan depan.

Sementara itu, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Mohd Fatmi Che Salleh berkata dengan pelantikan Sultan Kelantan yang baru itu, pemimpin masyarakat dan politik di Kelantan kini boleh menumpukan kepada pembangunan negeri.

"Kita amat berharap majlis pemasyhuran pelantikan Sultan Kelantan yang baru semalam, menamatkan episod hitam yang membelenggu rakyat," katanya pada majlis terbuka Aidilfitri di kediamannya di Kota Bharu, semalam.

Ketua UMNO Bahagian Kota Baharu itu berkata rakyat amat mengalu-alukan pelantikan Sultan Kelantan yang baru kerana lebih setahun rakyat dibelenggu oleh krisis yang melanda istana, menyebabkan rakyat tertanya-tanya.

Mohd Fatmi berkata walaupun kemelut itu melibatkan keluarga diraja, namun ia sekaligus membantut tumpuan rakyat terhadap kehidupan harian mereka kerana asyik mempersoalkan isu berkenaan.

"Ini secara tidak langsung boleh menjejaskan usaha kerajaan dalam memajukan mereka, terutama di bidang pembangunan," katanya.

No comments: