Friday, October 1, 2010

DUN GALAS - PERTEMBUNGAN SENGIT BN, PAS

Oleh Ismail Mat dan Haspaizi Mohd Zain
Berita Harian Online (30 Sep 2010)


DI atas kertas, Barisan Nasional (BN) dilihat mempunyai kelebihan untuk merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas di dalam kawasan Parlimen Gua Musang, apatah lagi dua DUN lain, Nenggiri dan Paloh dikuasai BN, selain Ahli Parlimennya ketika ini, Tengku Razaleigh Hamzah adalah wakil UMNO yang dilihat berpengaruh di situ, selain kedudukannya sebagai datuk saudara Sultan Kelantan, Sultan Muhammad ke-V.

Bagi PAS yang mahu mempertahankan kawasan itu, pastinya pula beranggapan Galas kini adalah satu-satunya kubu parti itu di Gua Musang selepas merampasnya daripada BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, manakala Nenggiri dan Paloh kekal di tangan BN.

Atas dua alasan ini, kedua-dua pihak, baik UMNO dan PAS menaruh keyakinan mendapat mandat daripada pengundi di DUN Galas yang kini kehilangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berikutan kematian Chek Hashim Sulaima, 48, akibat barah usus, Isnin lalu. Sebaik khabar mengenai kematian beliau tersebar dan jenazahnya selamat dikebumikan di kampung halamannya dekat Gua Musang, malam kelmarin, pelbagai pihak berkepentingan mula meninjau DUN berkenaan dengan pelbagai urusan tersendiri.

Sudah menjadi adat, semua pihak, termasuk peniaga makanan dan pemilik kemudahan penginapan mula mencongak keuntungan berikutan jangkaan permintaan yang bakal melambung terhadap perkhidmatan yang disediakan mereka apabila pilihan raya kecil diadakan bagi memilih ADUN baru.

DUN Galas yang bersempadan dengan DUN N43 Nenggiri di utara Merapoh, Pahang dan Cameron Highlands di sebelah selatan adalah sebuah kawasan yang luas, sekali gus menjadikan pilihan raya kecil yang diadakan nanti bakal mencabar mental dan fizikal semua pihak terbabit kerana membabitkan logistik yang besar.

Secara umumnya, kawasan DUN Galas mempunyai 13 peti undi, merangkumi enam kawasan peti undi majoriti Orang Asli, dua peti undi majoriti Cina dan lima peti undi majoriti Melayu.

Pada PRU 2008, DUN Galas mempunyai 10,330 pengundi berdaftar merangkumi 6,225 pengundi atau 65.81 peratus Melayu; 1,903 atau 22.03 peratus Cina; 172 atau 1.81 peratus India dan 2,000 atau 10.32 peratus Orang Asli.

Pada PRU 2008, PAS menerusi Che Hashim merampas kerusi itu dengan majoriti 646 undi selepas menewaskan penyandang yang juga calon BN, Mohamad Saufi Deraman, yang menang pada PRU 2004 dengan majoriti 1,729.

Parlimen Gua Musang yang menempatkan DUN Galas, Nenggiri dan Paloh, dulunya menjadi kubu kuat BN, namun status itu bertukar pada PRU 2008 apabila BN gagal mempertahankan Galas.

Berdasarkan perkembangan semasa, pilihan raya kecil di DUN Galas kelak, pasti menyaksikan pertembungan sengit – BN mahu merampas kembali kedudukan di situ dan PAS mahu membuktikan Galas sudah menjadi kubu mereka.

BN yakin mampu merampas kembali Galas daripada PAS dengan sedikit sentuhan Tengku Razaleigh kerana penduduk Gua Musang sememangnya amat menghormati kepemimpinannya dan bagi Orang Asli, Ku Li adalah ‘raja’ mereka.

Yang pasti tumpuan BN kini terarah kepada keupayaan kepemimpinan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Tengku Razaleigh berganding bahu untuk memastikan kemenangan memihak kepada BN kali ini.

Bagaimanapun, UMNO dan BN perlu sedar sokongan Tengku Razaleigh terhadap kerajaan PAS Kelantan berhubung isu royalti akan menjadi senjata ampuh kepada PAS sepanjang kempen pilihan raya nanti. Isu royalti pastinya akan dipalu dan dicanang ke seluruh pelosok kawasan dalam usaha meraih undi. Berdasarkan keputusan pilihan raya umum lalu, pengundi Cina di Galas dilihat memberi undi mereka kepada PAS, satu keadaan yang dijangka berterusan pada pilihan raya kecil akan datang.

Apapun harus diingat, pemilihan calon perlu dilakukan dengan teliti oleh pucuk pimpinan UMNO dan BN, termasuk soal calon ‘bersih’, ‘segar’ dan paling penting mendapat restu Tengku Razaleigh sendiri. Kekalahan BN di Galas pada pilihan raya umum lalu adalah disebabkan oleh faktor kepemimpinan dan bukannya kekuatan PAS itu sendiri.

Oleh itu, Tengku Razaleigh pastinya perlu kerap turun padang dan lama berada di Galas bagi memastikan sentuhannya terus dirasai pengundi, apatah lagi beliau menjadi idola dalam kalangan pengundi Orang Asli.

Bagi PAS, mereka kini sedang mencongak masa yang sesuai untuk menyerang BN, biasanya akan bermula sebelum wisel ditiupkan lagi. Senjatanya sudah boleh dijangka iaitu isu royalti minyak akan kembali didendangkan di pentas ceramah PAS selepas dijaja di DUN Manek Urai sebelum ini. Pastinya, kepemimpinan PAS akan pening kepala untuk berdepan isu pengambilan balik tanah yang sebelum ini diteroka rakyat, termasuk Orang Asli di Hulu Kelantan, yang sebahagiannya diambil alih kerajaan negeri untuk projek ladang rakyat.

Bagi Pengarah Jentera Pilihan Raya PAS Kelantan, Abd Fattah Haron, strategi dan penggunaan isu yang betul tidak memustahilkan PAS dapat bertahan di Galas, walaupun Tengku Razaleigh pastinya akan berusaha memastikan kemenangan BN demi menjaga nama dan rekod baiknya di Parlimen Gua Musang.

No comments: