Friday, October 1, 2010

LELAKI DITEMUI MATI DITETAK DI FELDA KEMAHANG


Seorang lelaki ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah di kepala dipercayai ditetak dalam kejadian di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Gubir, Bukit Panau, Tanah Merah, pagi semalam.

Pemangku Timbalan Ketua Polis Kelantan, ACP Mazlan Lazim berkata mayat lelaki berkenaan ditemui oleh seorang penduduk kampung itu yang dikatakan sedang dalam perjalanan bekerja di Felda Kemahang kira-kira pukul 9 pagi.

"Mengikut laporan yang diterima mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap di ladang kelapa sawit dan getah itu.

"Pemeriksaan mendapati mangsa yang lengkap berpakaian itu berlumuran darah di kepalanya dan dipercayai telah ditetak," katanya di Kota Bharu semalam.

Beliau berkata hasil pemeriksaan pihaknya di kawasan berhampiran juga menemui sebilah sabit berukuran 42 sentimeter berada kira-kira 1.7 meter dari tempat mangsa ditemui.

"Bagaimanapun identiti mangsa tidak dapat diketahui kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui bersama mangsa," katanya.

Mazlan berkata pihaknya percaya lelaki yang dianggarkan berusia lingkungan 30-an itu merupakan rakyat tempatan berbangsa Melayu dan telah mati hampir semalaman.

Katanya mayat telah dihantar ke Hospital Tanah Merah untuk bedah siasat.

Beliau meminta orang ramai yang melihat kejadian itu atau mempunyai sebarang maklumat tampil membantu pihak polis menjalankan siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Daerah (IPD) Tanah Merah di talian 09-9556122 atau Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) di talian 09-7450999.

No comments: