Friday, October 1, 2010

KONSEP BAZAAR RAMADAN DI KELANTAN PERLU DIKAJI SEMULA

Segala-galanya kerana kotor dan kes keracunan!

Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Datuk Dr Ghazali Hasni Md Hassan berkata konsep dan keperluan bazar Ramadan dan gerai-gerai yang menjual makanan di Kelantan perlu dikaji semula.

Ia bagi memastikan garis panduan terhadap kebersihan premis perniagaan dan makanan yang dijual benar-benar terjamin.

Menurut beliau, hasil pemantauan pihaknya mendapati kebanyakan peniaga makanan di bazar Ramadan dan gerai-gerai di tepi jalan, kurang bersih dan ada antaranya langsung tidak menjaga kebersihan makanan yang dijual menyebabkan berlakunya kes-kes keracunan.

"Kita rasa konsep (bazar dan gerai) perlu dikaji semula, macam di restoran, ada lesen dan perlu ada garis panduan, terutama mengenai kebersihan premis dan makanan yang dijual, dan bagi yang tidak mematuhinya mereka akan dikenakan denda dan tindakan oleh pihak berkenaan.

"Tetapi bagi bazar Ramadan dan gerai yang tidak berlesen, tiada orang untuk pantau macam di restoran menyebabkan kebanyakan peniaga akan mengambil sikap mudah dan sambil lewa terhadap aspek kebersihan," katanya selepas Majlis Sambutan Aidilfitri HRPZ II di Kota Bharu semalam.
Dr Ghazali Hasni berkata sehingga kini pihaknya telah membuat perbincangan bersama dengan pihak Jabatan Kesihatan Kelantan dan berhasrat memanjangkannya kepada kerajaan negeri mengenai perkara itu.

Sementara itu mengulas mengenai majlis berkenaan Dr Ghazali berkata ia merupakan majlis sambutan perayaan julung kali diadakan HRPZ II yang menghimpunkan 14 jabatan dengan penyertaan orang ramai.

"Sebelum ini kita memang buat sambutan perayaan tetapi khas untuk kakitangan hospital sahaja tetapi hari ini ianya terbuka kepada orang ramai dan mereka diminta mengadili makanan yang disediakan itu," katanya.

No comments: