Friday, November 19, 2010

200 KELUARGA MISKIN TERIMA DAGING KORBAN

Ilani Isahak menyampaikan daging korban kepada seorang penarik beca di Kota Bharu, semalam.
Seramai 200 keluarga miskin, penarik beca dan ibu tunggal menerima sumbangan daging korban daripada Pusat Sumber Pembangunan Keluarga Islam Kelantan sempena Hari Raya Aidiladha ini.

Turut menerima sumbangan ialah tujuh sekolah tahfiz sekitar daerah ini, Bachok, Pasir Puteh dan Tumpat.

Pengerusi Pusat Sumber Pembangunan Keluarga Islam negeri, Datuk Ilani Isahak berkata, pihaknya mengorbankan empat lembu bagi tujuan tersebut.

Beliau berkata, pengagihan daging korban itu merupakan acara tahunan pusat berkenaan setiap kali sambutan Aidiladha.

"Pengagihan daging korban diadakan untuk memberi peluang kepada keluarga berkenaan bersama-sama meraikan sambutan Aidiladha dengan penuh kesyukuran," katanya di Kota Bharu, semalam.
Beliau berkata, sebagai sebuah badan yang prihatin dengan keadaan masyarakat, adalah menjadi tanggungjawab pihaknya untuk membantu golongan berkenaan setiap kali tiba musim perayaan.

Beliau berkata, lembu yang dikorbankan itu adalah hasil sumbangan pelbagai pihak yang tidak mahu ketinggalan dalam membantu golongan memerlukan di negeri ini.

Beliau yang juga penyelaras khas lantikan Jemaah Menteri mempromosikan persefahaman dan keharmonian pelbagai agama berkata, sumbangan itu adalah sebahagian usaha kerajaan untuk mengeratkan hubungan sesama umat Islam di negeri ini.

"Selain pemberian daging korban, jamuan turut diadakan bagi menghimpunkan ahli keluarga berkenaan," katanya.

No comments: