"Beberapa lagi siasatan SPRM yang belum terjawab sehingga kini iaitu dakwaan penulis blog, Kickdefella mengenai wang RM4 juta yang digunakan PAS untuk memburuk dan menjatuhkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad serta sumbangan sebanyak RM350,000 oleh sebuah syarikat, Jutapan Sdn. Bhd. kepada Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) sebagai balasan kerana meluluskan tanah seluas 5,000 ekar di Mukim Pulai daerah Galas, Jajahan Gua Musang..."
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dinasihatkan agar tidak melewat-lewatkan sebarang siasatan terhadap mana-mana isu yang timbul meskipun ia melibatkan individu yang dipuja atau diagung-agungkan oleh sesetengah pihak.
Presiden Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK), Zahari Kechik berkata, sebarang kelewatan yang berlaku hanya akan menimbulkan persepsi atau spekulasi negatif bukan sahaja ke atas SPRM sendiri sebaliknya kepada pihak yang disiasat.
Justeru, katanya, hasil siasatan sama ada masih di peringkat awal atau sudah ada keputusan perlu diumumkan untuk membuktikan keadilan sudah terlaksana dan dapat diketahui rakyat.
“Jadi persoalan yang mahu dibangkitkan di sini adalah kenapa SPRM hanya berdiam diri tanpa ada sebarang keputusan hitam atau putih mengenai siasatan mereka.
“Sebarang kelewatan dan sikap berdiam diri seperti ini hanya akan memburukkan keadaan di mata kasar rakyat dan SPRM sendiri pasti tidak terlepas daripada menerima tohmahan,” katanya di Kota Bharu, kelmarin.
Zahari merujuk kepada hasil tulisan pendapat oleh Abu Hassan Abdul Aziz dari Gua Musang yang disiarkan Utusan Malaysia kelmarin dalam ruangan pendapat.
Abu Hassan dalam penulisannya bertajuk “Umum hasil siasatan ke atas Nik Aziz, Ariffahmi’ meminta SPRM menjelaskan perkembangan terkini beberapa siasatan mereka di negeri ini termasuk membabitkan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan menantu beliau, Abdul Ariffahmi Ab. Rahman yang dibuka kertas siasatannya tahun lalu.
Dalam kupasannya, Abu Hassan turut menyatakan beberapa lagi siasatan SPRM yang belum terjawab sehingga kini iaitu dakwaan penulis blog, Kickdefella mengenai wang RM4 juta yang digunakan PAS untuk memburuk dan menjatuhkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad serta sumbangan sebanyak RM350,000 oleh sebuah syarikat, Jutapan Sdn. Bhd. kepada Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) sebagai balasan kerana meluluskan tanah seluas 5,000 ekar di Mukim Pulai daerah Galas, Jajahan Gua Musang.
Zahari berkata, siasatan itu membabitkan individu berprofil tinggi seperti Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS, justeru perkembangan siasatan itu tidak boleh dilengahkan.
Katanya, MTRK meminta SPRM agar tegas dalam isu ini terutama selepas beberapa kenyataan suruhanjaya itu bahawa siasatan mereka ‘tidak memilih bulu’.
“Sewajarnya setelah lebih setahun keputusan siasatan sepatutnya sudah diperolehi atau sekurang-kurangnya kita ketahui perkembangannya.
“Tidak ada orang yang kebal dalam konsep undang-undang negara kita, jadi janganlah kerana melihat kepada taraf yang diangkat oleh sesuatu pihak kepada mana-mana individu maka perkara ini didiamkan.
“Konsep undang-undang negara ini adalah keadilan bukan sahaja perlu dilaksanakan tetapi ia perlu dilihat untuk dilaksanakan,” katanya.
Semalam pula Ketua UMNO Bahagian Pengkalan Chepa, Dali Hussin berkata, SPRM sepatutnya mengambil kira rungutan di kalangan masyarakat yang ingin tahu tentang hasil siasatan ke atas Nik Abdul Aziz dan menantunya.
Beliau mendesak SPRM mendedahkan segera hasil penyiasatan mereka ke atas Menteri Besar Kelantan dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) itu.
“Semalam pun ada keluar rungutan pembaca dalam akhbar Utusan Malaysia yang mahukan penjelasan tentang perkembangan siasatan.
“Itulah yang kita harapkan agar SPRM dapat memberi kata putus dalam soal siasatan ini sama ada kes itu dapat kita bawa ke mahkamah atau sebaliknya kerana rakyat ingin tahu.
“Benda (siasatan) ini sudah menjadi pengetahuan umum jadi kita mahu SPRM dedahkan sama ada boleh didakwa atau tidak,” katanya pada Majlis Korban Hari Raya Aidiladha Parlimen Pengkalan Chepa semalam.
SPRM pada hujung tahun lalu membuka kertas siasatan dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa dalam PMBK membabitkan Abdul Ariffahmi, sementara Nik Abdul Aziz pula disiasat atas pengakuannya bahawa beliau dan keluarga menerima tajaan haji bernilai RM65,000.
1 comment:
Salam Perjuangan,
JUTAAN TERIMA KASIH kerana linkkan blog saya.
SYABAS atas usaha dan inisiatif Tuan berjuang bersama blogger2 lain dalam memastikan rakytat terus terbela dari kezaliman pembangkang.
Saya juga telah linkkan Tuan.
SEKIAN, SALAM IKHLAS DARI,
Melayu CinDia
Blogger Gelombang Rakyat
Post a Comment