Tuesday, January 4, 2011

Nor Zahidi Berusaha Bantu 2,000 Pesawah Di Tumpat Tak Dapat Tanam Padi

Noor Zahidi Omar (depan) bersama penduduk kampung meninjau kawasan sawah yang dimasuki air masin di Kampung Kubang Bemban, Tumpat, semalam.

Masalah dah berlaku lebih setahun lalu.

Mana Ahli Parlimen PAS Tumpat? Kenapa isu ini berlarutan tanpa adanya pembelaan.

Masalahnya, lebih 2,000 pesawah di beberapa perkampungan di Tumpat tidak dapat mengusahakan tanaman padi sejak setahun lalu dipercayai kerana air masin dari Sungai Golok mengalir masuk melalui satu tali air ke sawah mereka.

Antara kampung terlibat adalah Kampung Jambu, Kampung Teluk Jering, Kampung Naga Ibu, Kampung Bendang Pak Yong, Kampung Kacang Sebidang, Kampung Simpangan, Pulau Ular, Kampung Kubang Bemban dan Julok yang merupakan kawasan perkampungan utama masyarakat Siam.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kelantan kawasan Pengkalan Kubor Datuk Noor Zahidi Omar, hari ini membuat tinjauan setelah menerima aduan penduduk.

Beliau berkata akan membangkitkan perkara itu dalam mesyuarat majlis tindakan persekutuan untuk mencari jalan penyelesaian.

"Saya berharap kerajaan persekutuan dapat menyediakan peruntukan secukupnya untuk mengambil tindakan segera membantu pesawah itu," katanya.

"Ini merupakan masalah rakyat, kita tahu untuk menyelesaikan masalah ini memerlukan peruntukan yang besar dan saya akan cuba meminta pihak JPS menyelesaikannya secepat mungkin.

"Kebanyakan pesawah adalah golongan mudah miskin dan miskin, kalau ia tidak diselesaikan golongan mudah miskin akan menjadi miskin dan yang miskin pula akan menjadi miskin tegar," katanya.

Seorang pesawah, Ariffin Awang Chik, 50, berkata walaupun pembinaan tali air itu bertujuan membantu sistem pengairan di situ tetapi ia telah menyebabkan tanah di kawasan tanaman padi menjadi rendah sehingga memudahkan air masin dari Sungai Golok masuk dan merosakkan tanaman padi.

"Dah beberapa musim kami tak dapat tanam padi. Kami cuba untuk terus bercucuk tanam tetapi kami rugi," katanya kepada pemberita di sini Selasa.

Beliau berharap pihak JPS mengambil tindakan segera dengan membina lebih banyak pintu air bagi memastikan aliran keluar masuk dapat dikawal.

Dia yang mengusahakan tujuh hektar sawah berkata, sekiranya masalah itu tidak segera diselesaikan ia akan berulang lagi pada tahun hadapan dan menyebabkan kesemua pesawah mengalami kerugian.

"Saya lihat pintu air yang dibina terlalu kecil dan dibuat ala kadar, saya faham ini melibatkan peruntukan tetapi masalah yang dihadapi penduduk di sini perlu diambil kira kerana kebanyakan kami adalah golongan yang tidak berkemampuan.

"Kami juga mahu supaya Kerajaan PAS Kelantan melihat perkara ini, kami rakyat negeri ini juga dan jangan lepas tangan kepada agensi Persekutuan sahaja. Turun ke bawah dengar masalah yang dihadapi kami," katanya.

Seorang lagi pesawah, Elut a/k Ehock, 55, berkata bahawa sebelum ini petani di kawasan itu sering terdedah kepada kerosakan padi akibat banjir tetapi kerugian dapat diatasi kerana tanaman dapat dijalankan semula sebaik banjir surut.

"Kalau setakat air banjir tidak apa, tapi ini air masin, padi tak boleh kena air masin nanti rosak teruk.

"Bukan itu sahaja, air masin akan meresap masuk ke tanah menyebabkan padi tak mahu hidup walaupun ditanam semula," katanya.

Dia mengalami kerugian hampir RM10,000 apabila sawah padinya seluas empat hektar musnah digenangi air masin.

Katanya, jumlah kerugian itu terlalu besar kerana dia bergantung sepenuhnya kepada hasil tanaman padi untuk menyara keluarga dan adalah sukar untuknya mengumpul semula wang sebanyak itu.

"Saya mempunyai tanggungan yang ramai dan bergantung harap kepada hasil tanaman padi, sudah dua musim saya tidak mendapat hasil daripada tanaman padi. Semua ini berpunca daripada tali air yang baru dibina, tujuannya baik untuk memudahkan air keluar masuk tetapi sebaliknya yang berlaku air masin terperangkap dan tidak dapat keluar sepenuhnya," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP) Jejulok, Ghazali Isa berkata, air masin yang memasuki kawasan sawah pada setiap kali musim banjir sukar untuk keluar disebabkan laluan yang terlalu sempit dan memakan masa hampir dua minggu untuk kering sepenuhnya.

Beliau berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah membina beberapa buah pintu air tetapi ia terlalu kecil dan tidak mampu untuk mengeluarkan kesemua air masin yang melimpahi kawasan berkenaan.

"Setiap kali musim banjir perkara ini berlaku dan yang terbaru di kawasan sawah seluas 200 hektar di Kubang Bemban di mana taliair baru jalan yang memisahkan antara taliair dengan sungai terlalu rendah sehingga menyebabkan air masin dapat memasuki kawasan sawah.

"Air masin ini menyebabkan kerosakan tanah dan tanaman akan musnah, setiap kali musim banjir memang air akan melimpahi tetapi masalahnya, air ini tidak boleh keluar dengan cepat dan ia akan terus bertakung dalam sawah, ia mengambil masa satu hingga dua minggu untuk kering sepenuhnya," katanya ditemui pemberita di Kubang Bemban semalam.

Amat jelas, pembelaan tetap menjadi tanggungjawab BN walaupun ia bukan menjadi Kerajaan Negeri dan Tumpat dikuasai PAS, kecuali satu kerusi sahaja - Pengkalan Kubor.

Msyarakat Siam seharusnya berterima kasih kepada Nor Zahidi kerana bertindak cepat dan berusaha menyelesaikan masalah mereka.