PAS diminta memperjelaskan kedudukannya dalam pakatan pembangkang kerana tidak ada satu pun perjuangan yang dibawa parti itu dimasukkan dalam Pelan 100 Hari pembangkang.
Naib Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk Nik Sapeia Nik Yusoff berkata, perjuangan Pas untuk mengangkat martabat Islam tidak langsung dinyatakan dalam program itu yang dilaksanakan bersama DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sekiranya pakatan pembangkang menang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Beliau berkata, apa yang berlaku jelas menunjukkan Pas tidak mempunyai suara dalam pakatan itu dan hanya menjadi 'pak turut' semata-mata mahu mendapatkan kuasa.
"Saya nak tanya kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kenapa tidak dimasukkan ke dalam program ini bahawa Malaysia akan menjadi negara Islam dalam tempoh 100 hari.
"Kenapa Abdul Hadi tidak cadangkan hukum hudud yang menjadi perjuangan Pas sekian lama dan kenapa tidak ada pelan untuk menutup semua premis judi, hiburan dan arak dalam tempoh 100 hari selepas pakatan memerintah," katanya kepada Utusan Malaysia di Kota Bharu.
Dalam pada itu, Nik Sapeia mencabar pakatan pembangkang untuk melaksanakan semua janji tersebut di negeri yang dikuasai oleh pakatan pembangkang terlebih dahulu sebagai bukti kesungguhan mereka kepada rakyat.
"Sudahlah tidak ada agenda untuk Islam, pakatan pembangkang memberi janji palsu pula. Buktikan dulu di negeri-negeri yang diperintah, baru rakyat boleh percaya. Jika tidak, ia adalah pembohongan kedua selepas mahu mengambil alih Putrajaya pada 16 September 2008.
"Pelik, dahulu kata Kerajaan Pusat sekat laksana hudud di Kelantan tetapi sekarang kenapa tidak dimasukkan ke dalam program ini? Sudah sah jadi kerajaan kenapa takut pula, rakyat harus fikir mengenai perkara ini sedalam-dalamnya," katanya.
No comments:
Post a Comment