Kalau cakap peniaga Kelantan di Pasar Khatijah Kota Bharu tidak amalkan kebersihan nanti órang Kelantan’marah.
Bukan semua, kata mereka. Mungkin sebahagian sahaja.
Tetapi kata pepatah, kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.
Kelmarin (Selasa 11 Januari 2011), Pengarah Tourism Malaysia negeri, Zurina Abdul Samad meminta pihak berkuasa tempatan meningkatkan tahap kebersihan Pasar Siti Khadijah di Kota Bharu selaras dengan kedudukannya sebagai ikon pelancongan utama negeri ini.
Katanya, keunikan pasar tersebut yang dikuasai majoriti peniaga wanita menjadi tarikan utama pelancong tetapi kebersihannya masih kurang memuaskan.
"Status Pasar Siti Khadijah sebagai ikon negeri akan terjejas sekiranya tahap kebersihan tidak diambil berat. Tinjauan yang saya lakukan mendapati kebersihan di kawasan pasar itu kurang dijaga dan pihak yang bertanggungjawab seharusnya meningkatkan usaha menangani keadaan itu," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Ramah Mesra Tourism Kelantan bersama pemain industri pelancongan negeri ini di sebuah hotel terkemuka di Kota Bharu.
Katanya, pihaknya sedia berbincang bagi menjalankan penstrukturan semula keadaan dalam pasar itu bagi memudahkan penjagaan kebersihan oleh peniaga dan pihak berkuasa tempatan.
"Kami sedia mengemukakan idea kepada pihak berkenaan bagi menaik taraf dan menstruktur semula bahagian dalaman tanpa menghilangkan konsep asal Pasar Siti Khadijah.
''Tourism Malaysia sebagai badan yang bertanggungjawab mempromosikan industri pelancongan negara perlukan sokongan banyak pihak bagi memastikan infrastruktur dan fasiliti yang ada dapat memenuhi kehendak pelancong," katanya.
Zurina berkata, usaha penambahbaikan serupa juga perlu dilakukan ke atas lokasi lain seperti kawasan rekreasi di pantai dan air terjun yang didapati terbiar.
Pada masa sama katanya, keunikan negeri ini yang kaya dengan kesenian warisan, makanan tradisional dan keindahan alam semula jadi terus menjadi faktor utama kemasukan pengunjung ke sini.
Beliau berkata, ini terbukti apabila jumlah penginap hotel pada tahun lalu merekodkan peningkatan sebanyak 10.7 peratus iaitu seramai 638,000 orang bagi tempoh Januari hingga September 2010 berbanding 576,000 orang bagi tempoh sama pada 2009.
Jelas beliau, pihaknya sudah merangka beberapa aktiviti seperti Malaysia Domestic Tourism Fair (MDTF), Promosi Homestay dan Kelantan Explorace bagi merancakkan lagi perkembangan sektor pelancongan tahun ini.
"Kami juga berharap sokongan yang diberikan pejabat Kementerian Pelancongan dan Pusat Penerangan Pelancongan negeri serta agensi kerajaan lain dapat diteruskan dengan lebih erat lagi," katanya.
Pada majlis itu, Zurina turut menyampaikan cenderamata penghargaan kepada keluarga aktivis budaya dan pelancongan negeri, allahyarham Mustafa Ibrahim, yang diterima anaknya Fakrul Anuar, 41.
Mustafa yang dipilih sebagai Pemandu Pelancong Terbaik 2010 meninggal dunia pada usia 62 tahun, 23 Disember lalu akibat kanser paru-paru setelah puluhan tahun bergiat aktif dalam industri berkenaan.
No comments:
Post a Comment