Friday, August 27, 2010

PREMIS BIAK AEDES - KOMPAUN MAKSIMUM RAM500

Pemilik premis yang dikesan membiarkan premis mereka menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes akan dikenakan kompaun maksimum RM500 berbanding RM100 sebelum ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata selain itu pihak yang "menyorok" maklumat mengenai tempat pembiakan nyamuk Aedes dan tidak melaporkan kes denggi kepada pegawai kesihatan daerah, juga akan dikenakan kompaun maksimum RM500.

Beliau yang ditemui pemberita selepas merasmikan Program Membanteras Aedes dan majlis berbuka puasa di Padang Desa Mentari Fasa 2, PJS 6 di sini, malam ini berkata tindakan lebih tegas perlu diambil bagi memperkukuh aktiviti pencegahan denggi dengan mengenakan kompaun yang lebih tinggi.

Katanya bilangan kes demam denggi meningkat lapan peratus sehingga Selasa lepas dengan 31,529 kes dilaporkan di seluruh negara berbanding 29,223 kes dalam tempoh yang sama tahun lepas.

"Apa yang membimbangkan ialah bilangan kematian yang dicatatkan setakat ini meningkat 49 peratus dengan 101 kematian akibat denggi dicatatkan berbanding 68 kematian dalam tempoh yang sama tahun lepas," katanya di Petaling Jaya, semalam.

Liow berkata enam kematian dilaporkan di 10 negeri iaitu Kelantan (46 kes), Perak (31 kes), Terengganu (23 kes), Kedah dan Melaka masing-masing 18 kes, Johor (10 kes), Selangor (lapan kes), Sabah (empat kes) manakala Perlis (tiga kes) dalam tempoh seminggu bermula 15 hingga 21 Ogos lepas.

Liow berkata Kementerian Kesihatan turut meningkatkan pelaksanaan program "Communication for Behavioural Impact" (Combi) dan promosi serta pengiklanan bagi membanteras denggi di lokasi hot spot terutama menjelang perayaan.

Katanya penguatkuasaan terhadap wabak deman denggi sentiasa dijalankan dengan 1.7 juta premis diperiksa dari Januari sehingga kini dan daripada jumlah itu 24,747 premis dikesan membiak nyamuk Aedes dan 672 kes dibawa ke mahkamah.

No comments: