Sumbangan tersebut disampaikan kepada 300 anak yatim negeri ini oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan, petang semalam.
Ia diadakan di khemah Qariyah Ramadan bersama dengan majlis berbuka puasa yang turut dihadiri oleh Yang Dipertua MPKB-BRI, Datuk Ahmad Mahmood serta pegawai dan kakitangan kerajaan.
Berucap pada majlis tersebut Takiyuddin berkata, meskipun hanya satu sumbangan kecil namun ia cukup bermakna sebagai tanda pemberian ikhlas kepada mereka yang memerlukan.
''Sebenarnya kita masih tergolong sebagai rakyat yang bertuah kerana dapat meneruskan kehidupan dalam sebuah negara yang aman jika dibanding dengan kesusahan rakyat di beberapa buah negara di luar sana.
"Walaupun kita tidak kaya, tidak mewah, tetapi rezeki Allah tiada siapa yang tahu. Yang pasti kita mampu membuat sesuatu untuk membantu golongan yang memerlukan agar mereka juga dapat merasai nikmat seperti orang lain meskipun dalam jumlah yang sedikit," katanya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan agar sumbangan tersebut diguna secara berhemah bagi mengelakkan daripada sifat pembaziran yang membawa kerugian kepada diri sendiri.
Beliau berkata, sebarang bentuk sumbangan merupakan rezeki diturunkan Allah kepada hambanya dan seharusnya dimanfaatkan kepada perkara-perkara yang berfaedah.
"Lebih-lebih di bulan yang penuh dengan keberkatan ini dan sambutan hari raya yang bakal disambut dua minggu lagi. Sebaiknya gunakan sumbangan tersebut mengikut keperluan sewajarnya
"Jangan hanya seronok untuk membeli mercun, kerana kita mesti ingat kelekaan bermain mercun boleh mengundang bahaya kepada diri sendiri," katanya.
Takiyuddin juga mengingatkan para ibu bapa supaya mengambil pengajaran dari beberapa tragedi ngeri akibat permainan mercun untuk bertindak lebih tegas berhubung keselamatan anak-anak.
"Kata orang, mencegah itu adalah lebih baik dari merawat, maka kita mesti berwaspada. Tiada gunanya kita menyesal di kemudian hari.
"Kanak-kanak ini kadang-kadang bukan tahu sangat kemungkinan musibah dari permainannya. Kalau boleh kita tidak mahu melihat kemeriahan hari raya disambut dalam suasana hiba," ujarnya.
No comments:
Post a Comment