Thursday, November 4, 2010

BN TAWAN SEMULA GALAS, KEKALKAN BATU SAPI

ABDUL Aziz Yusoff (tengah) dijulang tangannya oleh Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ng Yen Yen dan Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapha Mohamed (dua kanan) selepas diumumkan sebagai pemenang pada Pilihan Raya Kecil DUN Galas, di Gua Musang, 4 Nov. - Utusan

(kemaskini
)
Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi Parlimen Batu Sapi dengan majoriti lebih besar, dan memenangi semula kerusi Dewan Undangan Negeri Galas daripada PAS, pada dua pilihan raya kecil yang diadakan hari ini (4 November 2010).

Calon BN dari Parti Bersatu Sabah (PBS) Datin Linda Tsen, yang menggantikan mendiang suaminya, Datuk Edmund Chong Ket Wah iaitu penyandang kerusi itu, menewaskan pencabar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ansari Abdullah dan bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Yong Teck Lee, dari Parti Maju Sabah (SAPP).

Tsen, guru muzik sambilan, meraih majoriti 6,359 undi dengan memperoleh 9,773 undi berbanding Ansari 3,414 undi dan Yong 2,031 undi.

Pada pilihan raya umum 2008, mendiang Edmund Chong mengalahkan calon Bebas Dr Chung Kwon Wing dengan majoriti 3,708 undi.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri) dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman menjulang tangan calon BN bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi, Datin Linda Tsen Thau Lin (tengah) sejurus beliu diumumkan pemenang pada pilihan raya kecil itu, di Sandakan, 4 Nov.

Kerusi Galas di Gua Musang kembali kepada BN apabila Abdul Aziz Yusof menang dengan majoriti 1,190 undi setelah mendapat 5,324 undi berbanding 4,134 undi yang diperoleh calon PAS Dr Zulkefli Mohamad.

Pilihan raya kecil DUN Galas diadakan berikutan kematian penyandangnya, Chek Hashim Sulaima, 46, dari PAS pada 27 Sept akibat barah usus, manakala kerusi Parlimen Batu Sapi kosong ekoran kematian Edmund Chong akibat nahas jalan raya 9 Okt lepas.

Majoriti diperoleh Abdul Aziz adalah 544 undi lebih tinggi berbanding yang diperoleh Chek Hashim pada pilihan raya umum 2008 iaitu sebanyak 646 undi. Pada pilihan raya umum 2004, Mohamad Saufi Deraman dari BN mengalahkan Chek Hashim dengan majoriti 1,729 undi.

Mengulas kemenangan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersyukur dengan kemenangan tersebut dan menyifatkannya sebagai keyakinan rakyat terhadap hala tuju transformasi negara yang hendak dibawa BN.

Beliau yang sedang cuti sakit akibat cacar air berkata, kemenangan pada kedua-dua pilihan raya itu adalah di luar jangkaan dan berharap komitmen yang ditunjukkan jentera BN akan terus mantap pada masa akan datang.

"Saya beri jaminan bahawa janji-janji BN untuk kedua-dua kawasan tersebut akan ditunaikan agar keyakinan rakyat terhadap BN akan berterusan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Di Sandakan, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kemenangan besar BN di kedua-dua pilihan raya itu menunjukkan pengiktirafan rakyat terhadap kepimpinan Najib.

Katanya, ia merupakan penerimaan rakyat terhadap Gagasan 1Malaysia dan usaha pembangunan yang diperkenalkan Perdana Menteri seperti Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP), Model Baru Ekonomi dan Rancangan Malaysia Kesepuluh.

Mengenai kemenangan di Batu Sapi, Muhyiddin berkata beliau telah berbincang dengan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman bahawa apa sahaja yang dijanjikan BN pada pilihan raya itu, akan dilaksanakan menerusi satu jawatankuasa yang dipantau sendiri olehnya.

Di Gua Musang, pengarah pilihan raya kecil BN kawasan Galas Tengku Razaleigh Hamzah berkata golongan muda menunjukkan sokongan yang baik semasa pilihan raya tersebut, yang menampakkan mereka sebenarnya telah lama menantikan perubahan terutama peluang pekerjaan di Kelantan.

Bercakap kepada pemberita di kediamannya di Bukit Cekati, Tengku Razaleigh berkata kejayaan itu juga adalah hasil kerja sepasukan, selain pendekatan bertemu mata dengan pengundi pada kempen pilihan raya kali ini.

"Saya harap pendekatan ini akan diterima dalam pilihan raya umum akan datang kerana ia bukan sahaja dapat dilaksanakan dalam suasana yang baik, ia juga tidak menyusahkan rakyat kerana mereka tidak meninggalkan tempat masing-masing, sebaliknya kita pergi kepada mereka," katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya jentera semua parti komponen BN tidak lagi berkempen secara tradisi yang diamalkan sejak merdeka, sebaliknya menggunakan saluran media seperti elektronik, cetak dan alternatif, yang kini lebih di gemari oleh rakyat di negara ini.

1 comment:

tungkaran hati.blogspot said...

Sakadar batakun aja! Bujurkah sambatan urang! urang PAS pintar-pintar babanar badusta? tambahan lagi bakawanan dengan Syaitan kaya Datuk Nik Aziz?