Thursday, November 4, 2010

PERGADUHAN DI BEBERAPA PUSAT MENGUNDI DI GALAS

Anggota polis mengawal keselamatan di pusat pengundian di SK Lepan Jaya, Baru Gua Musang. Foto The Star

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kecewa dengan sikap penyokong parti politik yang mencetuskan provokasi hingga menyebabkan berlakunya insiden pergaduhan di beberapa pusat mengundi bagi pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas yang berlangsung hari ini.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, berdasarkan laporan awal, insiden berkenaan dicetuskan oleh penyokong parti dari luar yang masih bertindak sebagai perayu undi di luar kawasan pusat pengundian.

"Sejak awal lagi kita sudah jangkakan situasi tegang akan berlaku antara penyokong kedua-dua parti, sebab itu pihak polis sudah menyediakan anggota yang cukup sebagai persediaan di beberapa peti undi.

"Bagaimanapun SPR mendapat maklumat kekecohan berkenaan bukanlah dicetuskan oleh penduduk tempatan sebaliknya melibatkan penyokong dari luar...mereka ini tidak faham dengan budaya tempatan," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai insiden pergaduhan hingga berlakunya kejadian tumbuk-menumbuk dipercayai berpunca daripada provokasi penyokong PAS yang memasuki kawasan khemah Barisan Nasional (BN) untuk meraih undi di pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan Sri Wangi.

Kekecohan turut berlaku di beberapa pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Indra Petra 1 dan Sekolah Kebangsaan Gua Musang.

Proses pengundian bagi pilihan raya kecil DUN itu di Gua Musang, Kelantan dan Parlimen Batu Sapi di Sandakan, Sabah bermula hari ini sebaik sahaja pusat pengundian dibuka pada 8 pagi.

Pertandingan di DUN Galas membabitkan calon Barisan Nasional (BN) Abdul Aziz Yusoff dan calon PAS Dr Zulkefli Mohamed manakala di Batu Sapi pula menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN Datin Linda Tsen Thau Lin, Datuk Yong Teck Lee daripada Parti Maju Sabah (SAPP) dan Ansari Abdullah daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Proses pengundian akan berakhir pada pukul 5 petang.

Di DUN Galas, pengundi sudah mula berbaris di pusat-pusat pengundian, dan antara mereka ialah pengundi Orang Asli yang tinggal sejauh sempadan Pahang-Kelantan di Lojing bersebelahan Cameron Highlands.

DUN Galas mempunyai 11,553 pengundi berdaftar. Penjumlahan undi akan dilakukan Pusat Sivik Gua Musang, di sini dan keputusan dijangka diumumkan pada 8 malam.

Cuaca cerah pada waktu pagi dijangka kekal sehingga petang namun pengundi dinasihatkan datang awal untuk mengundi kerana kemungkinan hujan menjelang lewat petang.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebanyak 13 pusat pengundian dibuka bagi pilihan raya kecil itu.

Pilihan raya kecil DUN Galas diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada PAS, Chek Hashim Sulaima, 46, pada 27 Sept akibat barah usus.

Wan Ahmad berkata insiden tumbuk menumbuk dan pergaduhan itu mencalarkan imej kempen yang bersih sepanjang sembilan hari sejak penamaan calon pada 26 Oktober lalu sehingga lewat malam semalam.

"Nampaknya suasana sejuk sepajang kempen tercalar dengan sikap penyokong-penyokong pada hari ini. Mereka tak ada perasaan malu kepada penduduk tempatan.

"Inilah akibatnya apabila penyokong-penyokong memenuhi pusat-pusat mengundi, apabila mereka berada bertentangan...semua nak tunjukkan kekuatan masing-masing," katanya.