Thursday, November 4, 2010

GALAS - TEPUK DADA TANYA SELERA

Daripada hambali1

Pada ketika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan lebih 80 peratus jumlah pengundi akan keluar membuang undi pada pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas yang berlangsung hari ini, PAS menjadi perhatian utama kerana isu-isu rasuah, merampas tanah orang Asli dan fitnah terhadap Tengku Razaleigh Hamzah.

DUN Galas mempunyai 11,553 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 11,426 pemilih biasa dan 127 pemilih pos.

Daripada jumlah itu, 7,125 orang (61.63 peratus) terdiri daripada kaum Melayu, Cina (2,317), India (185), Bumiputera Sarawak (10), Orang Asli (1,889) dan lain-lain (27).

Amat jelas isu utama di DUN Galas bukan isu calon Barisan Nasional (BN) yang hanya lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Ab Aziz Yusof, sebaliknya calon PAS, Dr Zulkefli Mohamed, mencuri tumpuan bukan kerana dia seorang doktor yang obes tetapi kerana isu sama ada benar atau tidak beliau pernah ditangkap khalwat.

Malang sedikit kerana pilihan raya Dr Zulkefli terpaksa menghadapi tuduhan peribadi sedemikian. Ia sesuatu yang akan menjadi ‘sejarah hitam’ dalam hidupnya. Kalaupun beliau menang, beliau akan menghadapi rakyat dengan persoalan dirinya yang ‘seribu pertanyaan’ sepanjang beliau berkhidmat untuk rakyat.

Mampukah Dr Zulkefli dan keluarga berdepan dengan kedudukan ini.

Mengenai isu rasuah oleh PAS yang mendominasi kempen dan ‘kemeriahan’ pilihan raya kecil kali ini, Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar menjelaskan, wang yang diberikan oleh siapapun kepada pengundi yang boleh mengubah undi mereka, dianggap rasuah mengikut Perkara 10 Akta Kesalahan Pilihan raya 1954, biarpun PAS mendakwa ia adalah zakat..

Yang nyata, di mata undang-undang ia adalah rasuah dan SPR sudah memaklum kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai perkara itu.

"Mereka telah melihat video, dan mereka mungkin mengambil inisiatif untuk menyiasat kes ini," katanya dalam satu sidang akhbar di Gua Musang semalam.

Di pihak PAS, mereka cuba menegakkan benang basah apabila Pengarah pilihan raya PAS, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman berkata beliau diberitahu ia adalah wang zakat. “Tok Guru mengislamkan tiga Orang Asli ini dan bagi wang zakat. Takkan zakat ini rasuah?" katanya dalam sidang media di markas jentera PAS di Gua Musang semalam.

Menurutnya SPR perlu bersikap terbuka dalam isu tersebut. “Jangan kalau Tok Guru (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) ada beri duit sikit, dianggap rasuah, jangan rakyat tengok SPR ini memihak. Ini zakat bukan rasuah. Utusan (Utusan Malaysia) itu suka kelirukan orang, ini memang sikap mereka.”

Beliau menafikan laporan Utusan Malaysia dan membuat penjelasan itu selepas menyemak dengan setiausaha politik Menteri Besar Kelentan untuk mendapatkan penjelasan sebenar berhubung isu itu.

Persoalannya, apakah tindakan SPRM selepas ini?

Juga apa tindakan calon, pendudk Galas atau parti-parti yang bertanding dalam pilihan raya kecil itu mengenai perkara ini, termasuki melaporkan kes tersebut supaya SPRM boleh mengambil tindakan.

Sejauh ini Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan Umno tidak akan masuk campur sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada mereka yang menerima wang daripada Menteri Besar Kelantan untuk melaporkannya kepada SPRM.

Katanya, tindakan Nik Aziz memberikan wang sumbangan secara terbuka kepada mualaf Orang Asli pada majlis mesra rakyat di Pos Sandrop, Gua Musang semalam bercanggah dengan apa yang dilakukan PAS sebelum ini.

"Biarlah dilaporkan oleh penerima itu sendiri, kita tidak mahu campur tangan urusan SPRM dan kita yakin SPRM mempunyai bukti dan fakta yang cukup,” katanya.

Selain isu rasuah, isu PAS merampas tanah Orang Asli juga menjadi tumpuan umum apabila dikatakan ada kepemimpinan PAS bertambah rakus merampas tanah rakyat, membabitkan keluasan lebih 30,000 hektar di Hulu Kelantan sejak memerintah 20 tahun lalu.

Mengikut apa yang dilaporkan sudah berpuluh syarikat luar Kelantan diberi kelulusan membangunkan tanah terbabit dan ada banyak lagi menunggu masa untuk berbuat demikian. Kebanyakan tanah yang dirampas itu sudah diusahakan rakyat dengan pelbagai tanaman, termasuk di perkampungan Orang Asli tanpa membayar sebarang pampasan.

Ini bertentangan dengan janji Nik Aziz ketika mula menerajui Kelantan selepas pilihan raya umum 1990, akan selesai semua hak milik namun lain pula yang berlaku apabila tanah berkenaan dirampas untuk diserahkan kepada syarikat luar.

Hakikatnya, isu rampas tanah memberi tekanan hebat kepada pengundi dan menjadi antara punca pengundi menolak PAS kerana bimbang lebih banyak tanah penduduk dirampas selepas ini.

Lagipun, kebanyakan penduduk yang bergantung kepada punca hasil tanaman hilang pendapatan kerana tanah mereka dirampas tanpa terlebih dulu mendengar rayuan penduduk. Ironinya, kebanyakan tanah sudah dibayar deposit untuk geran hak milik, namun kerajaan negeri tidak memprosesnya disebabkan lebih mengutamakan syarikat luar dengan menyediakan pajakan selama 99 tahun.

Masalah utama menghimpit penduduk Orang Asli bukan saja masalah pemilikan tanah tetapi juga dihimpit hakisan ekoran kegiatan pembukaan tanah syarikat perladangan tetapi air tadahan bukit turut tercemar. “Ini bukan cerita dongeng, malah perkara benar berlaku di merata tempat di kawasan ini menyebabkan pengundi DUN Galas sudah merasa bosan dengan janji pemimpin PAS yang dilihat tidak mengotakan apa yang dijanjikan berkaitan dengan isu tanah,” kata Timbalan Ketua UMNO bahagian Gua Musang, Datuk Nozula Mat Diah. Beliau juga adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh.

Berikutan itu PAS berusaha melarikan atau menggelapkan isu ini dengan janji akan memberikan hak milik tanah kepada Orang Asli, termasuk melalui Sijil penempatan berkelompok.

Ia dianggap sebagai usaha terakhir buat PAS untuk memancing undi!

Menurut sebuah blog, “Selama ini apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri?

Pelbagai usaha dan rayuan dibuat oleh orang asal dan peneroka namun mereka hampa dan amat sedih kerana langsung tidak dipandang oleh kerajaan negeri.

Dijanjikan habuan tanah buat mereka yang mengundi PAS pada PRU12.Rasuah sebegini dilakukan secara besar besara.Namun janji hanya tinggal janji,pembohongan dan tidak menepati janji itulah yangberlaku selama beberapa tahun dibawah pemerintahan PAS.”

Juga menjadi isu utama ialah beberapa fitnah yang dilemparkan PAS termasuk terhadap Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang menyebut beliau mengkhianati Orang Asli di negeri ini. Ahli Parlimen Kota Baru, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah bahawa Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menjadi punca kepada masalah hak milik tanah yang membelenggu masyarakat Orang Asli.

Fitnah itu ialah beliau melarikan fail mengandungi permohonan tanah golongan itu semasa membawa Semangat 46 keluar daripada Angkatan Perpaduan Ummah dan menyertai UMNO.

Malah fail yang dikatakan itu juga sebenarnya tidak wujud. Katanya, walaupun jentera PAS dilihat mula menyerang peribadinya, beliau tidak akan melakukan perkara yang sama terhadap calon PAS, Dr Zulkefli Mohamad, yang juga Pemangku Yang Dipertua PAS kawasan Gua Musang.

"Jika PAS nak serang (peribadi) itu mereka punya hal...dia tanggunglah (dosa)...kita hanya akan tetap menerangkan mengenai dasar kerajaan dan apa yang akan kita lakukan untuk kebajikan rakyat,” jelasnya.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaacob terpaksa membuat kenyataan bagi meredakan isu fitnah itu apabila mengatakan "Kerajaan negeri boleh dan sedang teruskan prosesnya (pemberian tanah), ia cuma ambil masa kerana perlu lalui proses tertentu," katanya.

Amat jelas kini PAS sudah diasak hingga ke sudut dan persoalan-persoalan utama yang ditimbulkan BN ini mampu menyedarkan penduduk di kawasan itu, termasuk Orang Asli bahawa tiada pihak yang lain, selain BN mampu membela nasib mereka.

Jika mereka terus menyerahkan nasib kepada PAS, bukan sahaja generasi sekarang akan terus teranianya tetapi generasi akan datang lebih merana kerana apa yang sedang berlaku di Galas dan juga di tempat lain di Kelantan membabitkan isu-isu yang ada kaitan dengan kerajaan negeri di bawah PAS umpama ‘menang sorak kampong tergadai’.

Yang nyata seperti kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar, kejadian penduduk di Galas tertipu, termasuk penubuhan Ladang Rakyat tidak akan berlaku sekiranya Kerajaan PAS Kelantan benar-benar jujur dalam menjadikan Islam sebagai asas pentadbiran.

Tetapi yang nyata ialah PAS sanggup memperdaya penduduk dengan pelbagai janji tanpa mengambil kira kemampuan untuk menunaikannya walaupun sedar ia jelas bertentangan dengan prinsip Islam yang kononnya diamalkan parti itu.

KEPADA PENGUNDI GALAS, TEPUK DADA TANYA SELERA!