Monday, January 3, 2011

Polis Buru Suspek Buang Mayat Bayi

Polis sedang giat memburu suspek yang terlibat dalam kes pembuangan mayat seorang bayi perempuan di tapak pelupusan sampah di Beris Lalang dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Bachok, DSP Yahya Salleh berkata pihaknya percaya suspek dari Kota Baharu berdasarkan siasatan daripada keterangan beberapa saksi kejadian.

"Siasatan awal kita mendapati mayat berkenaan dijumpai bersama longgokan sampah yang dibuang lori dari Majlis Daerah Kota Baharu Bandar Raya Islam (MPKB BRI) ke tapak pelupusan sampah di sini, justeru kita percaya perkara itu dilakukan individu di daerah berkenaan," katanya di Bachok, semalam.

Yahya tidak menolak kemungkinan suspek terlibat mungkin juga dari daerah-daerah lain yang cuba membawa mayat berkenaan lebih jauh dari kawasan kediaman mereka.

"Pihak kita sedang menjalankan siasatan dan mengumpul bukti yang boleh dijadikan petunjuk bagi membantu siasatan kes berkenaan. Pihak klinik dan hospital juga diminta memaklumkan sekiranya ada pesakit mereka dalam keadaan mencurigakan menerima rawatan seperti sakit selepas bersalin," katanya.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta segera menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok di talian 09-7788222 bagi membantu mengesan suspek," katanya.

Yahya berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Semalam, pekerja di tapak pelupusan sampah Beris Lalang gempar apabila menemui mayat seorang bayi perempuan dalam longgokan sampah berkenaan.

Ini merupakan kejadian kedua berlaku di tapak pelupusan sampah berkenaan, sejak dibuka awal Mac lalu.

Kejadian pertama berlaku pada 26 Disember lepas, apabila seorang pemungut sampah menemui mayat seorang bayi lelaki di dalam satu plastik hitam di tapak pelupusan sampah yang sama.

No comments: