Wednesday, June 29, 2016

Mukhriz Sedang Celaru Hingga Jadi 'Nujum Pak Belalang'?


Kecelaruan politik menyebabkan Datuk Seri Mukhriz Mahathir  mendakwa PAS mempunyai perjanjian dengan UMNO berkaitan pembahagian tiga negeri majoriti Melayu – Kedah, Kelantan dan Terengganu?

Beliau dibidas oleh pemimpin PAS Kelantan, Terengganu dan Kedah, sambil Menteri Besar Terengganu menyifatkan Mukhriz sebagai melakukan ‘propaganda buruk’.

Malah Presiden PAS, menafikan wujud perjanjian antara parti itu dengan UMNO membabitkan 'pertukaran' yang melibatkan Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Hadi menyifatkan dakwaan Mukhriz adalah tidak benar sama sekali dan tidak boleh dipercayai.

“Berita palsu (tentang pertukaran itu). tidak ada perjanjian dan kita tidak pernah berbincang. PAS hanya akan bertanding (dalam pilihan raya umum) untuk dapatkan negeri-negeri itu,” katanya.

Semalam, Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Ahmad Yakob menjelaskan, tiada sebarang kerjasama dengan UMNO mengenai penyerahan tiga negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu kepada PAS pada pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Ahmad Yakob
Beliau berkata jika adapun kerjasama hanya yang membabitkan perkara kebajikan dan kebaikan kepada rakyat.

“Setakat ini tiada sebarang perjanjian, cuma kita (PAS) akan beri kerjasama kepada pekara yang membawa kebaikan dan kebajikan kepada rakyat. Itu dasar kita sejak dahulu lagi. Dalam perkara yang menimbulkan dosa dan perseteruan sebagainya, kita tidak ada sebarang kerjasama,” katanya .

Ahmad yang juga Menteri Besar Kelantan berkata kemungkinan isu itu timbul disebabkan kecelaruan politik buat masa sekarang.

Sementara itu Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu dan pesuruhjaya PAS negeri Kedah menganggap apa yang diperkatakan oleh Mukhriz itu sebagai dakwaan sangat dangkal, berunsur fitnah dan hanya sebuah “propaganda buruk”.

Malah Mukhriz juga dianggap cuba memfitnah pemimpin di peringkat negeri yang disebutkan melalui spekulasi dan imaginasinya sendiri.

Mukhriz Ahad lalu (26 Jun 2016) menyifatkan hubungan 'panas' di antara PAS dan UMNO sebagai petanda awal Kedah bakal dilePASkan kepada parti Islam itu.


Menurutnya, pada masa sekarang, kelihatan seolah-olah UMNO bersedia untuk menyerahkan Kedah, Kelantan dan Terengganu kembali kepada PAS.


"Mesti ada perjanjian. Mereka cuba membawa PAS dan UMNO bersama. PASti juga ada pertukaran untuk PAS. Saya lihat Kelantan, Terengganu dan Kedah kembali kepada PAS," jelas bekas Menteri Besar Kedah itu ketika sidang media di Pusat Alumni Universiti Malaya.

Ditanya sama ada beliau merasakan ini akan membawa kepada sebuah kerajaan perpaduan bagi negeri-negeri, Mukhriz berkata ia akan menjadi seperti  'menyerah sepenuhnya'.

"Pada pendapat saya, ia bukan satu kerajaan perpaduan, saya rasa semua akan diserahkan sepenuhnya kepada mereka (PAS)," katanya.

Berikutan kenyataan itu Menteri Besar Terengganu,  Ahmad Razif Abdul Rahman menyifatkan apa yang diperkatakan oleh Mukhriz sebagai andaian dan imaginasi Mukhriz semata-mata.

Malah Ahmad Razif menganggapnya sebagai spekulasi jahat tidak bersandarkan kebenaran untuk menimbulkan keresahan dalam parti.

Malah,  UMNO Terengganu menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bekas Menteri Besar Kedah itu.

 “UMNO Terengganu yakin parti ini bukan sahaja akan kekal sebagai kerajaan negeri pada pilihan raya umum ke-14 nanti, tetapi bakal memperoleh undi majoriti lebih besar hasil gerak kerja yang digerakkan.

“Sehubungan itu, saya meminta Mukhriz dan semua pihak tidak sesekali menjadikan Terengganu sebagai modal politik untuk kepentingan peribadi,” kata Ahmad Razif dalam kenyataan semalam.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu menegaskan,  kini ahli UMNO sudah cukup matang dan spekulasi liar itu tidak mampu menggugat perpaduan dalam parti sebagaimana telah dibuktikan apabila Majlis Tertinggi UMNO membuat keputusan sebulat suara memecat Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Mukhriz.

PAS Kedah turut menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Mukhriz  itu, malah PAS Kedah tidak pernah menghulur salam, menyambut usaha atau mengadakan perjanjian dengan UMNO seperti dimaksudkan Mukhriz sehingga seolah-olah pemerintahan boleh dipotong bahagi seperti kuih bengkang.

Pesuruhjayanya, Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi (kiri)  menegaskan :“Sangkaan Adun Ayer Hitam Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang mengesyaki wujud perjanjian antara UMNO-PAS untuk membahagi negeri pemerintahan ialah tuduhan sangat dangkal dan ternyata berunsur fitnah.

“Selaku ahli politik, dakwaan itu hanya cubaan mencipta persepsi negatif dan propaganda buruk yang tidak selayaknya daripada seorang yang pernah menjawat kedudukan menteri besar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Fakhruddin berkata mereka yang menjatuhkan Mukhriz daripada jawatannya sebagai menteri besar adalah kumpulan Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah yang mendakwa kelemahan pemerintahannya akan memberi peluang PAS meramPAS kembali negeri berkenaan.

“Tidak mungkin mereka yang membunuh politik Mukhriz  atas sebab itu tiba-tiba hendak melePASkan Kedah kepada PAS,” katanya.

Beliau berkata, parti itu tidak akan menjadikan jalan singkat, memperdayakan dan tipu muslihat untuk meramPAS kedudukan. “PAS juga tidak dayus untuk membiarkan UMNO terus bermaharajalela dengan maksiat dan kemungkaran pemerintahan. Sebaliknya PAS mahukan mandat yang kuat daripada rakyat menerusi demokrasi adil mengikut penggal dan tatacaranya di mana PAS komited menentang UMNO/BN dengan menyediakan kekuatan di seluruh negara. “ katanya.

PAS akan bertanding kerusi pilihan raya di mana saja UMNO bertanding hingga dapat menurunkan UMNO/BN dari tampuk pemerintahan negeri serta Putrajaya, katanya.

Berikutan itu beliau menasihatkan Mukhriz jangan lagi menjadi boneka atau nujum Pak Belalang,” katanya.

Monday, June 20, 2016

Kerajaan Persekutuan Sanggup Ubah Dasar Demi Bantu Rakyat Kelantan - Najib



Kerajaan Persekutuan sanggup mengubah dasarnya demi membantu rakyat Kelantan yang mengalami penderitaan dalam kejadian banjir 2014 lalu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata walaupun Kelantan diperintah oleh pembangkang, kerajaan persekutuan sanggup membina rumah kekal berharga RM65,000 sebuah untuk mangsa banjir yang kehilangan rumah dalam bencana alam tersebut.

Berucap pada pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Kekal Mangsa Banjir di Tapak Maju Ternak, Kampung Staponal, Batu Jong di Kuala Krai semalam,  Najib berkata oleh kerana tanah menjadi masalah untuk pembinaan rumah tersebut, kerajaan persekutuan sanggup membeli tanah milik individu dan swasta.

Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed yang juga Pengerusi BN Kelantan, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai Datuk Ramzi Abdul Rahman.

melihatPerdana Menteri berkata kerajaan memberi komitmen tinggi untuk membina baki rumah yang belum dibina supaya ia dapat disiapkan sebelum akhir tahun ini.

"Kelewatan dalam menyiapkan rumah kekal kepada mangsa banjir adalah berpunca daripada masalah pemilikan tanah untuk dijadikan tapak rumah tersebut sehingga kerajaan terpaksa membeli tanah individu dan swasta," katanya.

Najib berkata, tuduhan pihak tertentu bahawa kerajaan BN menganaktirikan Kelantan adalah tidak benar berdasarkan pelbagai bantuan yang telah disalurkan kepada negeri itu.

Pada majlis itu, seramai 31 keluarga mangsa banjir di Jajahan Kuala Krai menerima rumah kekal masing-masing.

Seorang penerima, Mazuin Mohd Zin, 31, berkata keluarganya telah lama menunggu untuk mendiami rumah baharu selepas kejadian banjir 2014 dan hari ini berasa gembira hasrat itu tercapai.

"Terima kasih kepada Perdana Menteri yang tampil menyerahkan kunci rumah kepada kami pada hari ini," katanya yang akan mendiami rumah itu bersama suami dan empat orang anak.

Rokiah Yaakob, 63, turut berterima kasih kepada Perdana Menteri dan pelbagai pihak yang membantu keluarganya yang ditimpa kesusahan akibat bencana alam tersebut.

"Sebelum ini, kami sekeluarga tinggal dalam khemah dan kemudian dalam rumah kontena tetapi sekarang saya gembira kerana sudah memiliki rumah kekal," katanya.

Najib melawat tapak hospital baharu Kuala Krai.
Perdana Menteri turut melakukan lawatan ke tapak Hospital Kuala Krai yang baharu bernilai keseluruhan RM286 juta di Mukim Kuala Pahi, semalam

Beliau  juga mendengar taklimat berkaitan projek itu yang disampaikan oleh Wakil Pengarah Projek Utama Jabatan Kerja Raya (JKR), Alias Adam.

Yang turut mengiringi Perdana Menteri adalah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapha Mohamed; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. Selain itu, Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Datuk Makhtar Mustapha; Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Ahmad Razin Ahmad Maher dan Pengarah Hospital Kuala Krai, Dr Mohd Salleh Mohd Jusoh. 

Projek itu yang sudah siap 55 peratus dijangka siap sepenuhnya pada 19 Mei 2017

Hospital baharu berkeluasan 100 hektar itu terletak di lot 7777, Mukim Kuala Pahi dan hanya lima kilometer dari hospital sedia ada.

Pembinaan hospital itu adalah satu projek dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10) yang diumumkan oleh Perdana Menteri ketika pembentangan belanjawan 2012.

Fasa 1 bagi penyediaan tapak yang bermula pada 15 julai 2012 - 1 Mac 2014 membabitkan kos RM10 juta.

Hospital Kuala Krai itu yang mula dibina pada 20 Mei 2014 akan berkonsepkan hospital dalam taman.

Ia bakal dilengkapi dengan peralatan perubatan, perkhidmatan sokongan klinikal yang terkini, selain bangunan pentadbiran, tempat letak kereta dan kemudahan untuk kakitangan, orang kelainan upaya serta pelawat.

Bergambar selepas melakukan lawatan ke tapak Hospital Kuala Krai yang baharu.

Wednesday, June 15, 2016

Kes Aabar BVI - Husam Kata Najib Pondan, Tidak Berbisa


(Bekas Naib Presiden PAS,  ADUN Salor)

Bumi untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berpijak semakin mengecil.

Jika tuntutan oleh International Petroleum Investment Company (IPIC) milik Abu Dhabi melalui Mahkamah Arbitrasi Antarabangsa London berjaya, Malaysia akan dihempap oleh beban kewangan sebesar RM 26.7 bilion atau AS$6.5 bilion!

Seawal 2014, Gabenor Bank Negara Malaysia melalui dua memorandum telah memberikan amaran kepada kerajaan pimpinan Najib risiko gegaran kewangan besar yang akan ditanggung oleh negara dari 'aktiviti' 1MDB.

Kini, pra gegaran itu sahaja sudah menggegarkan!


Antara isu dalam hubungan 1MDB dan rakan niaganya IPIC ialah salah pembayaran oleh 1MDB.

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) seperti dalam laporannya, mengesahkan - sejumlah AS$1.3 bilion atau RM 4.51 bilion telah dibayar kepada Aabar BVI yang didaftarkan di British Virgin Island tanpa kelulusan lembaga pengarah 1MDB.

Selain itu, dokumen 1MDB menunjukkan satu lagi pembayaran kepada 1MDB berjumlah AS$2.1 bilion turut dibuat.

PAC mendapati, pembayaran dibuat kepada Aabar BVI tanpa kelulusan tembaga pengarah 1MDB!
Bukan jumlah wang yang kecil. Bahkan, sudah tersangat besar.

Bagaimana 1MDB telah tersalah bayar wang sebesar itu?

Wang itu sepatutnya dibayar oleh 1MDB kepada anak syarikat IPIC bernama Aabar Investments PJS tetapi telah dibayar kepada Aabar yang lain - iaitu Aabar BVI!

Beza  Muhyidin dan Mahyidin

Namanya seakan sama, ejaan sahaja berbeza. Tetapi, si bodoh dari kutub pun tahu, ia dua entiti yang berbeza.

Seperti kata bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin, 1MDB gagal membezakan antara Muhyidin dan Mahyidin.

Inilah yang menyebabkan IPIC dan Aabar meneruskan tuntutannya selepas beberapa kali mengeluarkan kenyataan 1MDB telah memungkiri komitmen seperti perjanjian. Aabar yang sebenar tidak dibayar.

Hasilnya, wang sejumlah AS$3.47 bilion atau bersamaan RM14.2 bilion dikebas orang!

Soalnya, siapakah 'orang' itu?
  

Mengikut kenyataan Presiden dan CEO 1MDB, Arul Kanda Kandasamy pada akhir April tahun ini, ada kemungkinan 1MDB telah 'ditipu secara besar-besaran (massive fraud)' atau 'kerjasama tali barut dari dalam' 1MDB sendiri (collaboration from our side).

Bukankah kenyataan Arul itu berat? 1MDB ditipu!

Bersekali dengan perdana menteri ditipu kerana beliau mempunyai kedudukan tertinggi dalam 1MDB.
Tidak begitu bagi Najib yang cukup tenang.

Dalam jawapannya di Parlimen pada April tahun ini - hanya berbeza hari dengan kenyatan Arul Kanda - 'terlalu awal untuk menyimpulkan adanya unsur penipuan'.

Kenapa terdapat kesimpulan yang begitu ketara perbezaan antara dua kenyataan ini?

Satu, 1MDB ada kemungkinan ditipu kerana membuat pembayaran yang salah.

Satu lagi, cuba menolak adanya unsur penipuan.

Jika bukan kerana ditipu dan niat buruk melarikan wang itu, kenapa pembayaran itu dibuat?

Bukan sekali, tetapi empat pembayaran.

Tanpa kelulusan lembaga pengarah.

Seperti kura-kura

Jika sedikit sahaja semakan dibuat oleh 1MDB sebelum pembayaran dibuat, tidak ada nama Aabar BVI dalam senarai anak syarikat IPIC seperti laporan tahunannya bagi tahun 2011 sampai 2014 dan dalam laporan interim bagi tahun 2015.

Jika Arul Kanda mengatakan ada kemungkinan unsur jenayah dalam salah pembayaran sebesar ini, apa tindakan yang telah Arul Kanda lakukan?
  
Laporan polis?
Laporan kepada PM?

Apa pula tindak balas PM?

Mengarahkan polis menyiasat?

Adakah PDRM akan bergerak seperti kura-kura jika PM telah mengarahkan mereka memberkas siapa jua yang terlibat?

Adakah polis Malaysia begitu tidak cekap sehingga tiada apa dilakukan ke atas jenayah sebesar ini?
Apa langkah menteri kewangan atau PM untuk menuntut semula wang itu?

Kenapa perdana menteri tidak mengguna pakai Laporan PAC dan bertindak ke atas pengurusan yang telah melanggar arahan Lembaga Pengarah?

Apa pun, mengikut Artikel 117, MNA 1MDB, kuasa pemutus dalam 1MDB tidak lain dan tidak bukan adalah perdana menteri sendiri.

Kenapa beliau tidak bertindak?

Kerana dari awal lagi salah pembayaran itu telah dirancang?

Perlindungan kuasa tertinggi

Tanpa perlindungan kuasa tertinggi, tidak mungkin bekas CEO 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berani melakukan jenayah sebesar itu.

Jika ia memang dirancang, adakah wang sebesar RM14 bilion tidak pulang semula ke pangkuan perancangnya?
  
Sudah tentu dua figur dalam IPIC dan Aabar PJS yang telah dipecat, iaitu Khadem al Qubaisi dan Mohamed al Husseiny mempunyai jawapannya ke mana wang itu telah diagih-agihkan.

Tetapi kerana perdana menteri kita tidak berminat untuk tahu ke mana wang yang telah dibayar oleh rakyat Malaysia dan negara ini dilarikan oleh Aabar BVI atas sebab yang ia sendiri tahu, pihak berkuasa kita tidak diarahkan untuk menyoal siasat kedua-dua mereka.

Najib tidak kelihatan agresif mempertahankan kepentingan negara.

Kita telah kehilangan tempat pergantungan untuk negara kita dibela oleh kita sendiri.

Kita hanya bernasib kerana dunia di luar kita meneruskan dinamika dan perputaran. IPIC dengan tuntutannya, telah banyak membantu kita rakyat Malaysia dalam memahami isu 1MDB.

Bagi yang berdosa ke atas rakyat dan negara ini, akhirnya mereka akan membilang hari hanya dengan jari.

Dosa anda akan tetap terserlah jua.

Monday, June 13, 2016

Mustapa Alu-Alukan Perubahan Ingin Dibawa Oleh PAS

MUSTAPA MOHAMED sambil diperhatikan Dr. Mortaza Mohamed (kanan) semasa menyampaikan sumbangan kepada seorang mahasiswa sempena majlis berbuka puasa di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Jeli, Kelantan, kelmarin.
Pendekatan baharu PAS yang memilih budaya politik matang dan sejahtera mampu menyatukan umat Islam dan menamatkan perpecahan rakyat sekali gus membersihkan tanggapan negatif terhadap Islam dan orang Melayu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, umat Islam di negara ini, khususnya di Kelantan sejak sekian lama bertelagah sesama sendiri hanya kerana tidak sehaluan dalam parti politik.

Sehubungan itu katanya, UMNO mengalu-alukan perubahan yang ingin dibawa PAS dan berharap gagasan tersebut yang diperkenalkan oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dapat diterima baik untuk diamalkan di setiap lapisan pemimpin serta pengikut parti itu.

“Kita bersyukur kerana PAS mengambil pendekatan ini demi perpaduan umat Islam. Seperti mana yang sering saya seru, kita boleh berbeza politik namun dalam hal-hal melibatkan Melayu dan Islam, kita tidak harus berpecah.

“Saya juga berharap pendekatan ini dapat membina jambatan antara dua pihak yang bertelagah di Kelantan. Amalan memulau kenduri, memutuskan persaudaraan, sembahyang dua imam dan sebagainya perlu dinyahkan dari bumi Kelantan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selePAS menghadiri majlis berbuka puasa serta pe­nyampaian zakat anjuran Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Jeli di Jeli kelmarin.

Yang turut hadir, isteri beliau, Datin Seri Khamarzan Ahmad Meah; Naib Canselor UMK, Prof. Datuk Dr. Mortaza Mohamed serta Pengarah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Cawangan Kelantan, Azran Derahman.

Dalam Muktamar Tahunan PAS Ke-62 di Kota Bharu, baru-baru ini, Abdul Hadi menggariskan hala tuju baharu parti itu yang berteraskan ‘budaya politik matang dan sejahtera’.

Beliau menyeru ahli parti itu menerapkan elemen dakwah dan tarbiah dalam berpolitik serta meninggalkan amalan warisan penjajah Barat yang jauh daripada prinsip berasaskan kebenaran dan ilmu serta halal dan haram.

Dalam perkembangan lain, Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli berkata, sejak mula beroperasi sekitar 2012, UMK Kampus Jeli bukan sahaja menjadi pusat kecemerlangan akademik, sebaliknya turut menabur bakti kepada rak­yat menerusi pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

“Adalah menjadi harapan kita supaya UMK terus menjadi pelopor kepada pembangunan berkaitan bidang keusahawanan dan asas tani di negeri ini, khususnya di Jeli yang rata-rata penduduknya mencari rezeki sebagai petani,” katanya.

sumber -Utusan

Thursday, June 9, 2016

Sempena Ramadan - Operasi Tidak Berpuasa & Aurat Datang Lagi Di Kelantan

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK), Datuk Che Mohd Rahim Jusoh (kanan) bersama anggota penguatkuasa yang akan menyertai operasi pada majlis pelancaran operasi puasa dan aurat di pejabat JAHEAIK, Balai Islam, Lundang, Kota Bharu. 
Istilah tidak menutup aurat di Kelantan bermaksud tidak memakai tudung dan berpakaian ketat serta menyolok mata.

Semalam Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK) melakukan 'Ops Ramadan dan Aurat' sekali lagi. Ini bukanlah kali pertama operasi seperti itu di negeri ‘Serambi Mekah’ berkenaan.

Sesiapa yang ditangkap menerusi operasi tersebut akan dikenakan tindakan dibawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan berkaitan Seksyen 5(1) perbuatan tidak sopan dan Seksyen 26 (KJS 2/85) makan di bulan Ramadan.

Anggota jabatan itu  akan melakukan pemantauan di pasar raya utama di negeri ini bagi mengesan mereka yang tidak menghormati bulan Ramadan dengan berpakaian tidak seno­noh.

Mereka yang sengaja melakukan perbuatan atau berkelakuan tidak sopan yang bertentangan dengan hukum syarak di mana-mana tempat awam jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Dalam konteks operasi menutup aurat, operasi sebegini turut diadakan di peringat majlis daerah melalui Operasi Gempur Aurat bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan wanita tanggungjawab menutup aurat.

Sebelum operasi, Kempen Menutup Aurat dilakukan di berbagai Pihakj Berkuasa Tempatan bagi memberi kesedaran mengenai tanggungjawab menutup aurat dalam kalangan wanita.


Kempen dilakukan secara berterusan, termasuk melalui khutbah Jumaat di mana melaluinya  dikupas tanggungjawab menutup aurat itu.


Usaha seperti ini dilakukan sebagai  usaha berterusan kerajaan negeri dengan pihak berkuasa tempatan dan juga pimpinan setempat melaksanakan peraturan menutup aurat tersebut.

Setiap program kerajaan negeri itu akan diselitkan tazkirah yang turut menyentuh isu menutup aurat dengan menyediakan banting ‘Aurat Dijaga’ yang diedarkan ke masjid-masjid bertujuan meningkatkan kesedaran menutup aurat tersebut.


Turut diadakan ialah ceramah agama  bertajuk ‘Aurat Saya Maruah Saya’.

Dalam konteks operasi pula, ia diadakan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat di Kelantan  mengenai kewajipan menutup aurat mengikut Syariat Islam.


Untuk permulaan Ramadan, fasa pertama bagi operasi cegah aurat serta perbuatan tidak sopan adalah peringkat didikan serta nasihat manakala untuk operasi puasa, kita lebih ke arah fasa penguatkuasaan.

Semalam, seramai 24 wanita diberi amaran manakala tujuh lagi dikaunseling berikutan mendedahkan aurat. Untuk permulaan, jabatan itu mengeluarkan amaran dan kaunseling kepada wanita yang tidak menutup aurat.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah JAHEIK, Mohd Fadzuli Mohd Zain, berkata pihaknya hanya memberikan kaunseling serta amaran kepada mereka kerana tujuan kami adalah untuk mendidik masyarakat supaya menghormati bulan Ramadan.

Mohd. Rahim Jusoh menunjukkan risalah berkenaan berpuasa dan menutup aurat dalam sidang akhbar di Kota Bharu, Kelantan, semalam.
Dari segi operasi terhadap mereka yang tidak berpuasa pula, Pengarah Jaheaik, Datuk Che Mohd. Rahim Jusoh berkata, operasi yang diadakan setiap hari bermula pukul 11 pagi sehingga 5 petang itu turut melibatkan kerjasama seluruh pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu.

Operasi tersebut diadakan bagi memberi pendedahan dan ke­sedaran kepada masyarakat di negeri ini supaya melaksanakan ibadah puasa di bulan Ramadan selain perlu menjaga aurat mengikut syariat Islam.

Seramai 89 anggota di seluruh negeri itu  dikerahkan dan jabatan mendapat kerjasama daripada Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) serta pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dalam memastikan operasi ini berjalan lancar.

Berikutan itu, seluruh umat Islam juga diseru agar dapat mengha­yati bulan Ramadan dan mema­s­­tikan diri tidak terlibat dengan perkara yang tidak berfaedah.

Anggota pe­nguat kuasa akan dibahagikan tugas melakukan operasi menangkap mereka yang tidak berpuasa dan mengenakan tindakan kepada golongan wanita khususnya yang berpakaian tidak menutup aurat di kawasan tumpuan ramai.

Bagi kesalahan makan di bulan Ramadan, mereka boleh dikenakan denda RM500 atau penjara tiga bulan dan denda RM1,000 atau penjara enam bulan bagi kesalahan berikutnya.

“Tahun lepas tidak banyak kes yang direkodkan mengenai ke­salahan tidak berpuasa dan tahun ini, kita ambil langkah awal bagi memberi peringatan kepada seluruh umat Islam khususnya di negeri ini,” katanya.

Sunday, June 5, 2016

'Serambi Mekah’ Yang Banyak Maksiat Perlukan Hudud


"Orang Kelantan kena denda RM5,000 mereka tak takut, tetap nak buat (kesalahan) juga. Kenakan (penjara) lima tahun pun tak takut, sebat enam kali lagi tak takut," - Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan berkata orang Islam, kecuali Kelantan lebih taat kepada agama Islam.

Orang Islam Selangor misalnya lebih taat mengikut ajaran Islam dan ia tidak memerlukan pindaan enakmen syariah.

Sebaliknya Kelantan mahukannya demi melaksanakan undang-undang syariah lebih tegas kerana penganut Islam di negeri itu tidak takut dengan hukuman sedia ada.

Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata orang Kelantan juga tidfak takut dengan denda.

"Kelantan (digelar) Serambi Mekah (tetapi) berlaku banyak (maksiat), sebab itu (PAS) nak buat (undang-undang syariah).

"Orang Kelantan kena denda RM5,000 mereka tak takut, tetap nak buat (kesalahan) juga. Kenakan (penjara) lima tahun pun tak takut, sebat enam kali lagi tak takut," katanya kepada media di Sungai Besar semalam.

Beliau mengulas langkah Pesiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dibenarkan membawa usul pindaan Akta 355 di Dewan Rakyat pada 26 Mei lalu selepas dicadangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.

Menurut PAS usul berkenaan - yang dibawa melalui rang undang-undang persendirian - adalah untuk memperkasa mahkamah syariah terutama di Kelantan.

Bagaimanapun Abdul Hadi memohon rang undang-undang itu dibentangkan dan dibahas pada sesi parlimen akan datang.

Kata Nazri PAS perlu dibiarkan melaksanakan undang-undang syariah lebih ketat di Kelantan yang ditadbir mereka.

"Dia (PAS) nak buat di negeri dia, lantak dialah," katanya.

Saturday, June 4, 2016

RUU - 'Sumbangan Terbesar Hadi' Mungkin Hanya Separuh Jalan Atau Berkecai...


Lambunglah tinggi-tingggi selagi boleh.

Jangan sampai jatuh sudah. Kalau tergolek bangun sendiri.

PAS Kelantan menyifatkan Rang Undang-undang Persendirian Akta 355 yang dibentangkan oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini merupakan sumbangannya paling besar sebagai presiden parti itu.

Perwakilan Kelantan, Wan Ismail Wan Jusoh berkata, rakyat Kelantan amat berbangga dengan pembentangan RUU kerana mereka telah menunggu tindakan tersebut sejak sekian lama.

Pada 26 Mei lalu, Abdul Hadi membentangkan usul Rang Undang-Undang Persendirian iaitu Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 di Dewan Rakyat.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang kemudiannya mencadangkan usul itu dibahaskan pada persidangan Dewan Rakyat akan datang.

Ia baru usul, belum lagi menjadi suatu rang undang-undang untuk dibentangkan baca bacaan kali kedua.

Malah, kalau usul itu tersekat di jalan, bagaimana? Apakah itu kejayaan?

Siapa pula yang akan PAS persalahkan.

PAS memerlukan sokongan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk menjadikannya suatu Rang undang-undang yang boleh dibentangkan untuk diperbahaskan seterusnya.

Jika diteliti baik-baik, kenapa Hadi membiarkannya untuk dibahaskan pada Oktober? Kalau dibahaskan segera, ia mungkin sangkut.

Lihat sahaja penentangan daripada parti komponen BN dan DAP. PKR belum pasti menyokong rang undang-undang berkenaan apabila dibacakan untuk kali kedua.

Bagi PAS Kelantan, ia seolah-olah sesuatu yang seperti sudah diperingkat pembentukan rang undang-undang dan melihatnya menjadi kebanggaan buat umat Islam, rakyat Kelantan dan seluruh anggota PAS.

"Saya boleh bayangkan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (bekas Mursyidul Am PAS) kalau masih hidup, bagaimana seronoknya Allahyarham mendapat tahu Rang Undang-Undang ini boleh dibentangkan.

"Ini adalah satu kejayaan dan sumbangan Yang Berhormat Tuan Guru Presiden (Abdul Hadi) yang paling besar," katanya.

Beliau berkata demikian semasa membahaskan ucapan dasar Presiden PAS di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik) dekat Kota Bharu, Khamis (2 Jun 2016).

Sehubungan itu, Wan Ismail menggesa semua umat Islam khususnya anggota PAS supaya memperjuangkan RUU berkenaan

Namun, seperti disebut oleh blog hambali1, UMNO dan BN mungkin tidak mudah melepaskan untuk PAS dan Hadi mendapat kredit atau kelebihan setelah sedar mereka telah mengambil  langkah salah dan perlu bertanggungjawab.

Jika Rang Undang-Undang (RUU) bagi meminda Akta 355 (Bidang Kuasa Mahkamah Syariah) atau RUU 335 tersangat penting, kenapa pula beri Presiden PAS itu untuk mengusulkannya di Dewan Rakyat?

Sedangkan hakikatnya, usaha meminda Akta 355 itu adalah usaha kerajaan BN yang diterajui oleh UMNO untuk memperkasakan bidang perundangan Syariah sedia ada.

Ia diharap akan berubah  kepada sistem yang selari dengan perkembangan semasa dan berakar kukuh kepada sumber-sumber perundangan syariah yang diiktiraf di dalam Islam.

Usaha ini wajar disokong dan sudah pasti selain menegakkan Islam, ia membawa kelebihan atau milage kepada UMNO selepas menjelaskan tujuan murni itu kepada parti komponen BN.

Sebaliknya, kenapa pula UMNO mahu menghadiahkan milage itu kepada PAS dan Hadi?

Kita lihat nanti sejauh mana usul ini akan dibahaskan dan apakah UMNO dan BN membiarkan PAS dan Hadi mendapat milage daripadanya.

Buailah tinggi-tinggi, jangan sampai tali buaian putus sudahlah.

Jangan selepas ini PAS menyalahkan semua pihak apabila usulnya tersekat di tengah jalan atau diambil kembali oleh UMNO dan BN!

Kerjasama JPAM, Kolej Komuniti Tingkatkan Perkhidmatan Kepada Masyarakat


Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) berada dalam siap siaga untuk menghadapi kesan fenomena La Nina atau hujan lebat luar biasa yang mungkin dihadapi seluruh negara.

Ketua Pengarah, Datuk Ogu Salim Omar, berkata pihaknya sudah bersedia dari segi peralatan dan kelengkapan sebagai persediaan menghadapi banjir.

"Setiap peralatan dan jentera sentiasa diperiksa dan diselenggara selain penambahan dari segi lori dan bot untuk kegunaan anggota bagi memberikan bantuan kepada mangsa banjir.

"Selain penambahan peralatan, kami akan menambahkan anggota sukarelawan di setiap negeri sebagai satu usaha mencukupi tenaga jika berlaku kecemasan dan waktu getir.

"Jika bilangan peralatan dan jentera tidak mencukupi di Kelantan, kami akan meminta jentera di negeri lain untuk membantu bagi melancarkan proses bantuan kecemasan," katanya pada sidang media selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Penyampaian Watikah Pegawai Bersekutu PISPA Kolej Komuniti Kelantan/Terengganu dan Penganugerahan Pingat JPAM Kelantan di Kota Bharu, kelmarin (2 Jun 2016).

 Yang turut hadir, Pengarah Kolej Komuniti Bayan Baru, Leftenan Kolonel (PA) Sharihan Shahidan dan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti (KPT), Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Amir Md Noor.

Ogu Salim berkata, majlis itu diadakan sebagai tanda penghargaan kepada 29 anggota sukarelawan yang berkhidmat dengan JPAM dan pada masa sama membuka kerjasama dengan universiti awam dalam menyediakan anggota sukarelawan dalam kalangan mahasiswa.

"Kami membuka keahlian sebagai satu cara menambahkan anggota sukarelawan yang mahir untuk menyelenggara jentera dan peralatan ketika kecemasan," katanya.


Sementara itu, kerjasama JPAM dengan kolej komuniti di seluruh negara mampu menambah baik perkhidmatannya kepada masyarakat.
Ogu Salim berkata kerjasama dari segi tenaga dan kepakaran itu menjadi platform bagi JPAM menyediakan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat khususnya ketika menghadapi bencana alam dan kemalangan.

"Kolej komuniti mempunyai kepakaran antaranya dalam bidang kejuruteraan dan automobil, kami boleh mendapatkan bantuan kepakaran mereka itu bagi memberikan pertolongan kepada mangsa, ‘ katanya.

Wednesday, June 1, 2016

Husam Jawab Tuduhan, Namun Ada Pesanan Ringkas Buat Presiden PAS...


Bekas Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa hari ini mendedahkan surat panjang lebih 20 halaman sebagai  menjawab secara terperinci tuduhan-tuduhan yang dilempar kepada beliau.

Beliau turut  menyediakan transkrip penuh apa yang dikatakannya, yang menimbulkan pertikaian.

Husam pada 28 Mei lalu menghantar surat kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang memohon membatalkan pemecatannya sebagai anggota parti itu.

Husam, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Salor, menerima surat pemecatan itu daripada Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib PAS Pusat Dr Daeng Sanusi Daeng Mariok pada Selasa lepas (24 Mei).

Bukan sahaja beliau menafikan dakwaan-dakwaan itu, Husam sebaliknya mahu kesemua tuduhan terhadapnya ditarik balik dan menuntut permohonan maaf dibuat terhadapnya.

Kandungan suratnya kepada ketua parti bagi menjelaskan dakwaan yang membawa kepada pemecatannya sebelum ini.

"Pemecatan itu tidak sah kerana tidak mengikut perlembagaan parti dan tidak mengikut lunas-lunas keadilan Islam," katanya kepada pemberita di Kota Bharu pada 28 Mei lalu.
.

Baca surat Husam di sini:

  
Assalamualaikum WBT

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad SAWserta ahli keluarga, para sahabat dan para pengikut Baginda.

Yang Berhormat Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang,
Presiden PAS,
Ibu Pejabat PAS,
Jalan Raja Laut,
Kuala Lumpur

YB TG Presiden,

Masih tergiang-giang di telinga saya, ayat yang selalu YB TG bacakan dalam ucapan-ucapan YB TG pada awal tahun 80-an:

"....maka putuskanlah apa yang hendak kamu putuskan. Sesungguhnya kamu hanya akan dapat memutuskan pada kehidupan di dunia ini saja." - Surah Ta Ha ayat, 82.

Ayat ini berasaskan kata-kata orang-orang yang beriman dengan ajakan Nabi Musa AS, yang telah sesuka hati dihukum oleh firaun, tanpa berpandukan hujah dan mendengar keterangan orang yang dituduh dengan saksama dan berlaku adil dalam menjatuhkan hukuman. Melainkan semata-mata kerana firaun berkuasa penuh menjatuhkan apa sahaja hukuman mengikut kehendaknya.

YB TG,

Sudah ditakdirkan, saya dipecat keahlian dari PAS.

Saya tidak merungut tentangnya.

Apa yang saya ingin rungutkan adalah cara dan keadaan pemecatan itu.

Pertama, saya hanya menerima maklum mengenai pemecatan itu melalui siaran media. Kecuali pada hari Selasa, 24 Mei 2016, saya menerima sepucuk surat dengan maksud berkenaan secara pos tanpa berdaftar yang ditinggalkan di luar rumah arwah ibu saya.

Sungguh pun Jawatankuasa Disiplin mendakwa surat itu telah dihantar kepada saya sebelum ini, saya tidak pernah menerimanya.

Ada sepucuk surat yang dihantar secara kurier yang diserahkan pada 7 Mei 2016, tetapi telah saya pulangkan semula pada hari yang sama kerana pada sampul luarnya tertera YB Dato Haji Hassan Haji Musa. Saya menganggap, tidak mungkin surat sepenting pemecatan saya mempunyai nama penerima yang salah.

Semakan saya dengan City Link mengesahkan surat itu telah pun dipulangkan kembali kepada pengirim tanpa sampulnya dibuka.

Kedua, saya tidak dipanggil membela diri. Surat saya bertarikh 3 April 2016 untuk memohon pengecualian pengerusi Jawatankuasa Disiplin dari mengadili kes saya dan pelanjutan tempoh untuk saya menjawab surat tunjuk sebab atau juga disebut surat penyiasatan, tidak terjawab sampai akhir.

Saya tidak tahu, adakah tiada jawapan rasmi adalah dikira jawapan, seperti apa yang dapat difahami dari ulasan setiausaha agung PAS mengenainya.

Selain menunggu surat rasmi sebagai jawapan kepada permohonan saya bertarikh 3 April 2016, saya juga terpaksa melengahkan jawapan balas saya kepada surat tunjuk sebab bertarikh 22 Mac 2016 kerana menunggu pandangan undang-undang dari peguam mengenai dengan satu dari pertuduhan ke atas saya, iaitu kesaksian secara disepina dalam kes saman sivil yang masih berjalan.

Surat jawapan atau pandangan undang-undang dari peguam berkenaan hanya saya terima melalui e-mel pada 27 April 2016, seperti salinan berkembar.

Memandangkan isu kesaksian saya di mahkamah yang diperlukan oleh proses undang-undang adalah besar, saya terpaksa menunggu pandangan dari mereka yang ahli mengenainya sebelum memberikan sebarang jawapan.

Saya kira, ini adalah kes pertama seseorang yang disepina memberikan keterangan di mahkamah dihukum oleh parti dan dianggap sebagai satu kesalahan.

Namun begitu, keputusan tanpa memberi peluang saya membela diri dan tanpa pengecualian hakim iaitu pengerusi Jawatankuas Disiplin yang prejudis dan berkepentingan bertentangan atau conflict of interestdengan saya, telah pun diambil.

Sekali pun keputusan telah dibuat, saya menulis catatan ini untuk menjadi rujukan orang kemudian tentang duduk perkara pertuduhan yang dikenakan dan supaya satu hari, keadilan dapat ditegakkan.

YB TG Presiden,

Berkenaan dakwaan pertama,

• Presiden PAS hendak membawa PAS menyertai Umno

• Presiden PAS mahukan jawatan menteri dalam kerajaan pusat pimpinan BN

• Presiden PAS mahukan jawatan sebagai penasihat yang berstatus menteri

Penjelasan saya:

Saya tegaskan, semua pertuduhan di atas adalah kesimpulan yang salah atau direka-reka atau tidak memahami apa yang saya tuturkan dalam ceramah saya di Mulong pada 5 November 2015.

Memandangkan pertuduhan ini adalah hasil kesilapan memahami ucapan saya, saya dengan ini mengambil pendirian untuk tidak memberikan penjelasan lanjut atas tuduhan ini.

Saya hanya meminta supaya ucapan saya itu diteliti semula dan dengan ini saya memperturunkan transkrip verbatim ceramah saya di Mulong tersebut untuk tatapan semula:

"...Nak gi nasihat, kita setaro mana sihat gak. Masalah perumahan nak nasihat Najib. Rakyat loni kalo takdop rumah pun takpo kalo kerajaan hok jahat ni tukar. Dengan tu bila naik kerajaan jjurus, kita buleh buat rumah. Kalo ada formula rumah bakpo tak mari nasihat ko Kelate dulu, rumah banjir tak siap lagi. Buat di Kelate dulu, jadi contoh barulah kita buleh royak ko Najib tengok ni aku, puak-puak aku buleh buat. Kerajaan aku pun tak leh buat rumah pah nak gi nasihat Najib lagumana. Sapo dia nak ccayo?

...Kalu kata nak kerjasama royak molek biar jelas. Panggil muktamar, panggil kawasan-kawasan, royak ko kawasan kita ni kerjasama doh. AJk kita campur dengan AJK dia, exco kita campur dengan exco dia.

Menteri dia.. nak jadi menteri tak leh mugo penuh doh.. 39 ore ko berapa doh? Penuh doh nak lantik .. nak lantik sapo eh..Baihaki janganlah ambo royak doh ko dia jangan Ki. Ok lah OK... nak lantik sapo dia jadi menteri..lantik lah sapo-sapo hok kita kira ore kita. Datuk Nazri royak doh. Hok ni adik kakok buleh doh lah ambo lepas doh. Nazri royak doh tok soh masuklah, tak sah ppakat pasal menteri penuh doh. Nak lantik ttindih.

Sebab tu timbul setengah idea buat penasihat iaitu bergaji penuh menteri tapi tak jadi menteri. Ni ore agak.

Pasal bila tak jelas, macam-macam ore buleh agak. Dalam proses parti ni kena ada keputusan.
Dalam kes PERKASA, Datuk Ibrahim Ali, ambo pertahan presiden ambo pasal presiden tidak dakap, presiden duduk cacang gitu jah, Brehim Ali gi khabat dia. Tapi gi jupo depe ramai-ramai tu lah peluang Brehim Ali gi dakap. Kalu tak jupo takleh nak khabat. Bila datuk Ibrahim ali gi khabat Presiden kita ore kejut habis.

Masya-Allah PAS ni parti Melayu ko parti Islam? Mulo parti Islam. Pesuruhjaya PAS Selangor buat kenyataan esokkan, PAS Selangor tidak menerima kerjasama dengan PERKASA. Maknanya gapo?

Maknanya benda tu buat tidak dengan keputusan parti".

Melalui transkrip ini, tidak terdapat kesimpulan seperti pertuduhan dalam dakwaan yang dikenakan ke atas saya tersebut.

Dengan itu, saya menafikan kesemua ke tiga-tiga pertuduhan tersebut dan menegaskan ia adalah kesimpulan yang salah dari ucapan saya, yang dibuat oleh pihak tertentu mungkin dengan satu niat politik yang tertentu.

Pertuduhan seterusnya:

• Presiden PAS pernah merancang untuk bekerjasama dengan Umno bagi menubuhkan kerajaan perpaduan di Selangor

• Presiden PAS, menawarkan kepada dua atau tiga ADUN PKR untuk menyertai PAS, dan kemudiannya PAS akan bergabung dengan Umno untuk membentuk kerajaan bersama dengan Umno di negeri Selangor.

Penjelasan saya:

Berkenaan presiden PAS menawarkan dua atau tiga ADUN PKR untuk masuk PAS untuk membentuk kerajaan bersama dengan Umno di Selangor ekoran kebuntuan cadangan pertukaran MB Selangor pada waktu itu, ia adalah pengakuan YB TG Presiden sendiri di dalam satu mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat selepas ditanya oleh beberapa ahli mesyuarat.

Isu ini berbeza dengan isu perundingan antara pihak PAS dan Umno selepas PRU 2008 yang lalu dan Yang Arif Pengerusi Jawatankuasa Displin tidak sepatutnya keliru ada dua isu itu.

Di dalam mesyuarat tersebut YB TG Presiden ditanya benarkah ada usaha memujuk beberapa ADUN PKR masuk PAS untuk membentuk kerajaan bersama Umno.

YB Presiden mengaku bahawa ia benar dan pengakuan tersebut disaksikan oleh ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang lain. Untuk berlaku adil dalam hal ini saya kira eloklah saksi-saksi lain dari kalangan AJK Pusat yang lalu dipanggil untuk memberi kesaksian termasuk dari presiden sendiri seperti kaedah al-Quran:

"....dan seorang saksi dari keluarga wanita itu memberikan kesaksiannya". Surah Yusuf, ayat 26.

Isu ini dikelirukan dengan pertuduhan lain selanjutnya yang berbunyi:

• PAS telah terlibat berunding dengan parti Umno (di Tingkat 25, Darby Park) pada 10/3/2008 untuk membentuk kerajaan perpaduan di Selangor.

Penjelasan saya:

Ayat dalam pendakwaan di atas, pada hemat saya, telah mencampuradukkan isu perundingan antara PAS dan Umno yang telah berlalu dalam banyak siri dan secara keliru dikaitkan dengan tarikh 10 Mac 2008 dan juga tempat yang dinyatakan.

Sekalipun isunya adalah mengenai rundingan-rundingan belakang tabir antara pemimpin PAS dan Umno yang saya ada sebutkan, tetapi ayat dalam dakwaan di atas adalah disusun oleh Yang Arif Pengerusi Jawatankuasa Disiplin sendiri sehingga ia bercampur aduk antara satu perkara dengan perkara yang lain.

Perjumpaan antara pimpinan PAS dan Umno pada 10 Mac 2008 bukan diadakan di Hotel Darby Park.

Perjumpaan yang terkenal ini dilakukan antara tiga orang dari PAS menemui perdana menteri dan bekas menteri besar Selangor pada waktu dan tempat yang lain.

Ia berlaku sebaik selepas PRU 2008.

Sejak itu, rundingan demi rundingan ada dilakukan, termasuk berjumpa atau berhimpun di Hotel Darby Park dan kemudiannya berjumpa di tempat yang lain yang berhampiran. Dato Haji Mustapa Ali boleh dirujuk untuk mengesahkannya.

Ini selari dengan ucapan oleh Ustaz Nasharudin Mat Isa selaku bekas timbalan presiden PAS yang menyebut Majlis Syura dalam mesyuaratnya pada bulan April 2008 itu, telah membuat keputusan untuk membenarkan PAS berunding, termasuk dengan Umno.

YB TG boleh mendengar ucapan Ustaz Nasarudin mengenai perkara ini yang menjadi viral dalam YouTube.

Sehingga hari ini, tiada penafian dibuat oleh Majlis Syura PAS.

Majlis Syura dikatakan telah melantik wakil-wakil bagi pihak PAS untuk perundingan yang telah berlangsung tanpa merujuk kepada Jawatankuasa PAS Pusat, sejak 2008 lagi.

Kedudukan ini, seingat saya, tidak pernah dimaklumkan kepada Mesyuarat PAS Pusat dan dengan itu, kedudukan AJK PAS Pusat selaku pihak eksekutif seperti diperuntukkan oleh Perlembagaan PAS telah tidak diikuti.

Inilah isu utama yang saya bangkitkan.

Perundingan belakang tabir itu terus diadakan, seperti disebut sendiri oleh Ustaz Nasharudin Mat Isa dalam ucapan beliau.

Transkrip verbatim ucapan saya di Majlis Demo Tanya Ambo Jawab adalah seperti berikut, yang dengan sendirinya menjelaskan, pertuduhan yang dirangkakan dalam surat Yang Arif Pengerusi Jawakuasa Displin adalah keliru dan tidak tepat:

"...Duk tengah nak bentuk kerajaan di Perak (PRU 2008) lepas mari daripada Kedah dengar khabar, tiga orang pemimpin PAS akan jupo dengan 3 pemimpin Umno iaitu Pak Lah, Khir Toyo kerana nak membincangkan. Bincang gapo ambo tak tahu la. Mugo tak dop kertas. Saudara tadi nak bukti. Jadi kertas tak dop. Bare dalam gelap mana buleh ada kertas. Saksi ada. Saya telefonlah ko saing-saing kata tolonglah pegang Presiden tu tok soh bui gi lah. Kemarin baru rakyat pilih kita. Atas nama tidak kerajaan Umno/ Barisal Nasional. Tolok Umno/ Barisan Nasional ddegungg. Habis sebutir negeri. Tiba-tiba kita nak gi berunding dengan Umno. Hancurnya harapan rakyat. Hancurnya nama baik gerakan Islam. Hancurnya kepercayaan pada kita, hok nama Islam ni, kita mulo-mulo sekali nak gi. Masa tu DAP tak dop kata jahat lagi. PKR tak kata jahat lagi mugo tak dop kerajaan lagi nak kata jahat lagu mana.

Jadi 10 haribulan 3 tahun 2008 mesyuarat berjalan, Khalid Samad gi. Khalid Samad ni kalu gi pun mugo tahu doh tidak..tidak nak bbaik dengan demo tu takpo la nak gi pun. Gi nak jadi nyendal tak ser bui bbaik. Lama adik kakok kata, hoo Khalid Samad pun nak bentuk kerajaan..Dop. Kita hantar Khalid mugo Khalid tahu doh tak ser ko Umno tak po lah mung gi lah Khalid. Kalu tak dop mung gak buleh jadi berdakap doh. Buleh jadi. Mugo bare hok tak jadi kita nak kata lagu mana. Gi..gi..kerusi PAS campur dengan Umno..PKR dengan DAP sama banyak tak leh bentuk kerajaan. Bak po tak kira dumoh, sebelum pada gi sakni? Tak kiro ko drumoh dulu? Bakpo yang dogel sangat. Mitok maaf lah YB, kecep Kelate pulak. Bak po yang koman sangat tu? Nak pergi tak kira dulu kerusi berapa tu? Buleh jugak kecep luar sikit-sikit dop...

Baik..pergi..pergi.. mung tengok ko aku, aku tengok ko mung..Nak bentuk kerajaan tak leh. Tapi rekod telah tercemar. 10 haribulan 3, 2 hari selepas pilihan raya umum 2008 kali pertama kita mendapat mandat sebegitu hebat daripada pelbagai lapisan masyarakat.. 2 hari kita telah mencuba sesuatu yang di luar daripada fikiran kita sebagai ahli PAS. Baik... bila berlangsung terus berlangsung terus adik kakok tengok dalam youtube banyak kea ucapan YB Alwi, Kok Lanas, Presiden kita jumpa dengan Pak Lah Badawi masa tu lagi. Jupo dengan Pak Lah Badawi kalu saya nak sebut hok Alwi kata apa Presiden kata kepada Allahyarham Tok Guru masa tu Tok Guru duk hidup lagi saya tak berani nak sebut. Adik kakok tengok sendiri. Nasarudin Mat Isa, dia kata bulan 4, 2008 Majlis Syuro buat kertas kerja buleh berunding dengan parti politik termasuk dengan Umno tapi saya sebagai ahli majlis Pas Pusat mesyuarat Pas Pusat tidak pernah dimaklumkan sepatah bahawa Majlis Syuro telah lantik perunding berunding dengan Umno dalam gelap. Tapi Alhamdulillah saya tahu semua pergerakan tu.

Sebagai satu contoh (lain), adik kakak.. tuan puan boleh percaya tak boleh percaya... 15 minit pasukan berunding dua-dua parti masuk di tingkat 25 floor executive Hotel Darby Park.. arrr kalu nak ccayo nak bukti gi..gi ke hotel tu. Tanya hotel tu ada ko dop booking tarikh tu ada nga ambo. Malam ni ambo tak ser sebutlah. Kalu tuan bayar.. derma ko dop malam ni? Heh.. Kena derma la sikit. Lamo YB tak ingat nak kutip derma. Buke nak bayar ko ambo derma tu. Nak bayar sewa apa semua la. Baik..tingkat 25 baru masuk 15 minit ambo SMS kepada Dato Mustafa Ali. Ambo sebut nama ni kerana nak suruh ada saksi. Dia mungkin nafikan esok. Nasarudin Mat Isa ambo SMS, “berunding gapo pulak dengan Umno tuh” Terkejut dia. Fasal...baru 15 minit duduk nak mesyuarat Husam duduk drumah Kg Kota buleh tahu ada perundingan di tingkat 25 Darby Hotel.. Darby Park, Kuala Lumpur. Adik kakok tanyo saya lagumana Dato tahu? Budak kerja hotel tu tak ser tengok PAS dengan Umno ni bbaik. Dia SMS ko saya. Adakah PAS dengan Umno ni tak leh bbaik? Lamo adik kakok salah faham pulak. Buleh bbaik tapi bbaik dengan kena kecep kena gendong tak leh. Bbaik dengan ada dasar dia terbuko..buleh..Bbaik kerana fulus.. tak leh. Buke saya kata ada fulus.Tapi...saya peringatkan. Daripada situ tak bereti-reti tak bereti-reti tak bereti-reti sampai mesyuarat PAS Pusat masa isu MB Selangor (yang terbaru - ia itu isu Tan Sri Khalid). Jadi sapo saksi ambo. Saksi ambo adalah semua ahli jawatankuasa PAS Pusat. Harrr... Bersaksilah tiap-tiap orang, daripada Presiden, Timbalan Presiden Mat Sabu. Tak ccayo ko dia, dia parti Amanah yang tidak amanah.. buang dia. Naib Presiden ambo, Salahudin. Dato Tuan ko masa tu.. tak ingat..Salahudin gi ko Amanah. Ambo PAS lagi.. buleh sore. Buleh sore mugo ambo PAS lagi. Ha arrr...Ketua Muslimat Kak Lah dia berani ko tak berani ambo tak tahu. Pah lagu mana nih? Pasal setengah saksi buleh jadi tak layak kerana dia sudah masuk parti lain. Tinggal saksi hok duduk dalam PAS ada hok berani dan ada hok tak berani. Lagu mana nak buat? Ambo terpulang. Ulama cari lah formula..Kalu kena kata kita bersumpah tertalak isteri pun ambo sanggup... Bakpo nih, ambo maroh ko Presiden ko? Ambo sayang pada parti ambo perjuangan ambo lebih daripada sayang kepada Presiden ambo. Ambo budak kepada Presiden ambo. Ambo masuk PAS berbaiah dengan Presiden bila mahasiswa UM wakaf kan ambo. Husam kena kerja sepenuh masa dengan parti. Ambo tak leh kerja kerajaan. Yang menerima ambo adalah Allahyarham Hasan Syukri dan Ust Haji Hadi. Bila Ust Hadi kena sakit di Istanbul serta merta kita beli tiket tak dop penuh kapal terbang. Gi kot Singapura. Tiga ore gi. Duk atas kapal terbang nengung.. Allah... Presiden kita.. presiden kita..Sapa esok kea masuk jupo Presiden. Oleh kerana Doktor kata tak leh masuk lama takut mengganggu. Masuk 3 minit 4 minit nampok dia sehat buleh kecek Alhamdulillah. Syukurnya kita. Jadi kalu kita nak ukur kasih adik kakok buleh pertikai tapi perjuangan kita... Kita nak merentoh Malaysia. Asal perjuangan kita nih. Kita tak ccayo ko Umno, kerana pemimpin kita jugak kata nak buat perubahan keislaman mesti daripada iman dalam hati, pegangan yang kukuh fikrah yang kemah. Baru buleh buat reformasi keislaman. Nak tupe ore tak leh. Kalu kira nak tupe lamo doh kita buleh naik atas punggung muto Umno ni gak nyo gendong ko dia lah. Nikoh ko dop tak tahu. Umno pitis banyok dia kecep la nyo kecep duk gendong atas muto dia la. Jadi sapa bilo nak habis nih?"

Dakwaan kedua

• Memfitnah Pimpinan Kerajaan Kelantan (semasa Pimpinan TGNA) telah melakukan “penyelewengan” dalam pengurusan balak walaupun kononnya ditegur (oleh Saudara)
Penjelasan saya:

Untuk makluman YB TG Presiden, di dalam soal jawab tersebut, dalam isu pembalakan tebang habis untuk tujuan perladangan yang jumlahnya adalah tersangat luas dan memberikan kesan kewangan dan hasil negeri, ekologi dan alam sekitar seperti banjir atau kemarau dan kesan-kesan yang lain lagi, saya telah ditanya kenapa tidak menegur ketika masih di dalam kerajaan dan kenapa baru sekarang mula menegur?

Saya telah dengan secara jujur menjawab pertanyaan tersebut bahawa saya telah menegur beberapa perkara yang dianggap bersalahan dengan janji PAS untuk rakyat Kelantan. Antaranya ialah tender terbuka balak. Yang Arif boleh melihat semula kandungan manifesto PAS 1990 dan 1999. PAS antara lain berjanji kepada rakyat untuk menguruskan hasil mahsul balak secara tender terbuka.

Dalam manifesto yang dinamakan sebagai Program Angkatan Perpaduan Ummah Negeri Kelantan Pilihan Raya Umum 1995 contohnya, PAS telah membuat janji kepada rakyat di bawah tajuk Perhutanan pada muka surat 15, perkara 7.4 iaitu “Meneruskan dasar tender terbuka untuk meningkatkan hasil kerajaan negeri”.

Manifesto 1999 yang dikenali Program PAS Negeri Kelantan Pilihan Raya Umum 1999, pada mukasurat 19, item 6.2 iaitu meneruskan langkah-langkah menjadikan perhutanan sebagai punca penting hasil kerajaan melalui (a) Dasar tender terbuka.

Saya kira elok YB TG Presiden melihat sendiri transliterasi jawapan saya dalam soal jawab tersebut;

“Dalam kes balak ni, mintak maaflah pasal terlalu banyak orang perhuduh ambo. Bakpo tak bbetul masa dalam kerajaan dulu? Cuba doh nak bbetul. Tok Guru, dia 10 doh.. Bila mari ore tekan-tekan suruh bui ko syarikat tu syarikat ni, dia pun nak panggil buat mesyuarat. Ambo kata Tok Guru, mula kea kita janji doh nak tender, jadi petang ni ambo mitok maaf Tok Guru ambo tak leh masuk mesyuarat. Bakpo? Kalo masuk mesyuarat nama ambo ada ssitu. Pas esok2 ore kata hoh Huse ada mulo pah bakpo tak tegur. Berlaku sungguh lo loni. Tok Guru kata enta kena masuk. Haa, tu bekeng tok guru. Tok guru ada buah bekeng dia jugak. Enta kena masuk. Enta royak ko mesyuarat, jangan buat lagu ni, kita breti benda lagu ni. Masuk mesyuarat pulak. Bereti semeta 4 5 bulan. Pastu berlaku pulak."

Jika YB TG Presiden memahami isi ucapan saya tersebut, sudah pasti YB TG Presiden dapat melihat apa yang saya tegur secara spesifik di sini ialah amalan kelulusan pembalakan tanpa tender secara terbuka (saya tidak sebutkan 'penyelewengan'). Di sini, kalimat 'penyelewengan' adalah tambahan Yang Arif Pengerusi Jkuasa Disiplin sendiri.

Saya telah sebutkan, apabila teguran itu dibuat kepada YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz pada masa itu, ia telah diarahkan dihentikan oleh beliau. Tetapi ada ketikanya, ia dimulakan semula selepas seorang anggota Jawatankuasa Kecil Perhutanan telah ditambah dengan anggota baru menjelang pilihanraya yang lalu.

Oleh itu, adalah salah untuk mendakwa saya telah menuduh YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai Menteri Besar telah melakukan 'penyelewengan' seperti dakwaan Yang Arif Pengerusi Jkuasa Disiplin.

Isu ini telah saya jelaskan dengan agak panjang lebar dalam tulisan saya menjawab surat terbuka Dato Wan Mutalib Embong beberapa bulan yang lalu dan YB TG Presiden boleh merujuk kepada penjelasan itu untuk memahami isu ini dengan lebih jelas.

Apa yang sebutkan pada malam tersebut dan dalam tulisan-tulisan saya kepada YAB Menteri Besar Kelantan sekarang adalah amalan tebang habis untuk tujuan perladangan adalah dilakukan tanpa tender terbuka, meliputi kawasan yang terlalu luas sehingga menjejaskan pelbagai aspek dan merugikan hasil kerajaan Negeri.

Kalimat 'penyelewengan' secara spesifik tidak terdapat dalam ucapan saya yang berkaitan.

Ia adalah rumusan yang silap oleh Yang Arif Pengerusi Jkuasa Disiplin itu sendiri.

Jika kata-kata saya berkaitan disifatkan 'menfitnah Pimpinan Kerajaan Kelantan', kenapa tidak ada tindakan mahkamah diambil ke atas saya?

Kenapa surat-surat teguran saya tidak terjawab sampai hari ini?

Saya mempertahankan teguran saya terhadap amalan pemberian hutan simpan kekal untuk pembalakan tebang habis yang sangat luas dan merugikan hasil negeri dan mengancam kehidupan rakyat.

Pertuduhan selanjutnya:

• PAS akan bertindak selaku “Penasihat” kepada kerajaan adalah merupakan satu “kerjasama politik” antara PAS dan Umno.

Penjelasan saya:

Pertuduhan ini juga dibuat secara kesdimpulan mudah (simplified) dan kesimpulan yang salah dari ucapan saya.

Saya sekali perturunkan petikan verbatim ucapan saya berkenaan.

Dari ucapan itu, YB TG Presiden boleh lihat, kerjasama politik bukan memasuki BN adalah saya pertegaskan berdasarkan jawapan oleh YB Presiden sendiri kepada pertanyaan pemberita dan disiarkan secara viral di dalam You Tube.

Jadi, perkataan itu 'kerjasama politik, bukan masuk BN' adalah diucapkan oleh YB Presiden dan bukan dari saya.

Kenapa pula saya yang dipersalahkan?

Transkrip berkenaan dari majlis Demo Tanya Ambo Jawab adalah:

"Tubik isu penasihat Umno pulok. Penasihat kerajaan Barisan Nasional. Adik kakok tengok video untuk berlaku adil pado ambo... berlaku adil pado Presiden kito... berlaku adil pado perjuangan kito. Adik kakok tengok, Presiden kita kata kerjasama politik.

Bila reporter tanya balik - kerjasama politik tapi tidak masuk Barisan Nasional (Ini adalah petikan ucapan YB Presiden dalam temu bual berkenaan).

Gapo dia benda nih? Acu royak ko ambo.. Gapo dia benda nih ambo tak pehe. Sapa lloni takdop penjelasan. Paka mati ssitu. Lepas tu gak, Dato’ Timbalan Presiden kata hoh kita selama-lama dengan Umno. Selama-lama gi kkecek kiro lagu tu bakpo? Nak jadi penasihat dia lagu mana. Penasihat kerajaan. Pah wat mari pulak hujah kerana Nabi Musa gi jjupo dengan Firaun nak nasihat dia.

Aaarrrh faham mmolek gak. Faham mmolek ayat tu.. Izhab ila fir’aun.. innahu toghoo.. Mu jangan gi nnupe make umah Firaun cari pitis mas nga dia takleh. Mung kena gi royak ke dia Tuhan satu... buleh. Kalu mung gi nak nnupe nga dia pitis mas dia lembik loktek slaluh.

Jadi nasihat atas empat perkara, perumahan, 1MDB, duit Malaysia jatuh, sor lagi.. GST. Jupo nga Brehim Ali 4 perkara jugak. 1MDB, SosMa, err apa nama..apa dia... TPPA, sor lagi... aerhh tak ingat doh... eh emm takpo lah.. ambik 3 jah lah".

Pertuduhan berikut adalah:

• Kes 1MDB, PAS mengambil pendirian untuk menyokong Najib dan Kerajaan BN

Penjelasan saya:

Ini juga sebuah pertuduhan yang dipermudahkan.

Saya tegaskan, dari ucapan saya berkenaan, saya telah mempersoalkan pendirian pimpinan utama PAS dalam isu 1MDB berdasarkan ucapan-ucapan mereka.

Transkrip Sesi Demo Tanya Ambo Jawab:

"Maaf, ambo buke tak hormat pada Dato Haron Din. Ambo buke tidak hormat pada Tok Guru Haji Hadi.
Gapo dia Dato Haron Din kata? 'Tak logik duit masuk dalam akaun peribadi (Najib)'.

Ini betul-betul jjadi jong kako. Ore wat lari pitis negara 2 billion lebih kita jadi jong kako 'aiiii tak masuk akal' .. 'tak kae gak dia bodo nak masuk akaun'... duk mmain tak kae.. tak kae lagumana nih, nombor akaun ada ni.

Duk main tak kae... tak kae apo nyo...

Kena mintok maaf dengan rakyat Malaysia seluruhnya. Ambo sebagai ahli PAS nak mitok maaf nga rakyat Malaysia seluruhnya. Kalau pengkhianatan kepada duit negara sebesar tu kita biarkan. La haula wala quwwatailla billahil ‘aliyyi ‘azim.

Nak jadi kerajaan Malaysia lagumana kita? Presiden PAS kata kena ada tiga... dua... err... empat saksi.
(Ahli PAS selama ni) Duk fitnah ambo, ada berapa saksi? Duk fitnah saya ni berapa saksi ada? Bakpo yang masa kena atas saya tak dop saksi. Saya ahli PAS. Kena atas Najib empat saksi. Peguam negara kena pecat... satu saksi. Pegawai SPRM kena tukar... dua saksi. Kenyataan gabenor Bank Negara... tiga saksi..Laporan-laporan dalam surat khabar... empat saksi. Sepuluh saksi pun buleh cari bukan tiga... bukan empat. Bakpo kita duk alik Najib lagi? Sampai hari ni kita tak bbetul lagi.. '.

Pertuduhan selanjutnya:

• Mendakwa kononnya Saudara dipecart dari semua anak-anak syarikat kerajaan (GLC) kecuali dua sahaja

Penjelasan saya:

Perihal saya tidak dilantik semula bagi semua anak syarikat yang saya pegang sebelum pilihan raya kecuali dua, adalah diumumkan sendiri oleh YAB MB Kelantan melalui satu kenyataan media (Sinar Harian) yang diterbitkan dalam bulan Ogos 2013.

Kenyataan itu dibuat tanpa sebarang surat pemberitahuan atau pemberitahuan lain sampai ke hari ini.
YB TG Presiden boleh mengesahkan sendiri tentang perkara ini dengan YAB MB Kelantan.

Tidak dilantik semula hanya dengan satu pernyataan media tanpa sebarang bentok makluman lain, bagi saya, sama maknanya dengan dipecat.

Jika saya tidak dirundingi dalam pembentukan kerajaan sebagai anggota Dewan Harian Negeri, saya juga tidak dirunding bahkan tidak dimaklumkan dengan pengguguran semua jawatan Pengerusi anak syarikat.

Namun begitu, ia bukan isu besar kepada saya.

Tetapi menghukum saya ketika memberitahu hal sebenar kedudukan saya yang digugurkan adalah satu perkara pelik.

Ia menunjukkan Jawatankuasa Disiplin yang mempertuduh dan kemudian memecat saya atas tuduhan yang mereka kenakan, langsung tidak mengetahui kedudukan sebenar yang berlaku di Kelantan.

Mereka tidak tahu saya sememangnya telah digugurkan dan bila saya menyebut hal itu, saya pula dihukum!

Ini adalah amat buruk dan tidak adil, bah kan tidak dilihat untuk berlaku adil.

Cuba tanyakan kerajaan, mana satu kedudukan yang mereka kekalkan sehingga membolehkan dakwaan saya bahawa saya telah digugurkan itu menjadi salah?
Pertuduhan seterusnya:

• Mengeluarkan kenyataan kononnya Ketua Dewan Ulama PAS bersikap seumpama “samseng” apabila menegur tindakan saudara yang mengkritik parti dan kerajaan Kelantan pimpinan PAS

Penjelasan saya:

Di dalam Islam, setiap perkara ada aturan dan tatasusilanya. Ketika Allah ingin ingin menjadikan khalifah di muka bumi, Allah boleh sahaja menjadikan manusia tanpa bersoal jawab dengan para malaikatnya tetapi Allah menunjukkan sebaliknya sebagai tunjuk ajar adabmu'asyarat yang tinggi.

“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: 'Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.' Mereka berkata: 'Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerusakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?' Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.'.” (QS Al Baqarah: 30)

Hinggalah kepada sekecil-kecil perkara, Allah mengajar melalui lisan dan tindakan Nabi SAW tentang aturan dan tatasusila makan, memakai pakaian dan lain-lain.

Dato’ Mahfodz selaku Ketua Dewan Ulama sepatutnya lebih arif dan faham tentang tatasusila ini. Kenapa dalam kes saya, beliau tidak menunjukkan contoh keislaman ini?

Saya tidak pernah dihubungi sebelum beliau tergamak mengeluarkan kenyataan, “Kita tidak mahu gunting dalam lipatan menjejaskan parti. Lebih baik tinggalkan parti dan sertai rakan-rakannya dalam AMANAH”(Sinar Harian, 11 November 2015)

Tindakan beliau menghalau saya keluar dari PAS tanpa mendapat penjelasan daripada saya sangat tidak cocok dengan jawatan yang disandang beliau dan perjuangan Islam yang dibawanya. Alangkah baik dan manisnya, sekira saya dihubungi atau diajak berjumpa terlebih dahulu untuk bertanya lanjut kepada saya.

Menghalau seseorang ahli parti secara terbuka sesuka hati adalah tindakan yang tidak wajar dan saya merasa terluka dengan kata-kata beliau seperti itu.

Saya tidak mengatakan beliau sebagai samseng tetapi akhlak beliau menuduh seseorang dan menggambarkan beliau mengetahui isi hati saya adalah mirip kepada perangai orang samseng.

Dakwaan ketiga:

• Mempersenda dan memperlekehkan Presiden PAS dengan mengeluarkan kata-kata yang tidak sewajarnya seperti di bawah ini;

“Nasib baik Presiden PAS tidak melarang saya hadir ke majlis pihak-pihak bertentangan kerana beliau pun telah hadir dalam majlis dengan Presiden Umno baru-baru ini”
Penjelasan saya:

Sekali lagi Yang Arif Pengerusi Jawatankuasa Disiplin telah membuat kesimpulan yang salah dari ucapan saya dan menyusun sendiri petikan yang dikatakan saya mengatakannya sedangkan petikan itu adalah silap dan tidak sama dengan ucapan saya yang sebenar seperti berikut:

Transkrip ucapan saya di Majlis Makan Malam AMANAH Kelantan di Petaling Jaya;

“Saya bernasib baik kerana Presiden saya telah buat satu ketetapan: bahawa hadir dalam majlis pihak bertentangan diizinkan. Sebagaimana hadirnya Presiden saya satu pentas dengan Presiden Umno yang menjadi musuh tradisi. Lebih-lebih lagi dalam semangat nasihat menasihati. Saya yakin akan dapat restu dari Presiden dan parti kerana tindakan saya selari dengan Presiden yang menunjukkan saya adalah seorang yang setia pada parti.”

Saya tidak nampak ada apa-apa yang salah di sini, kerana sememangnya saya menganggap tindakan yang dilakukan oleh YB Presiden adalah satu precedent yang sama dengan kes saya. Lebih-lebih lagi, pada waktu itu, tidak ada larangan khusus oleh parti untuk menghadiri majlis sedemikian.

Pertuduhan seterusnya:

• Mengelirukan dan memberikan gambaran yang negatif terhadap PAS, antara lainnya;

• “BN sedang menggunakan siku dan lutut untuk melindungi korupsi yang mereka lakukan. Oleh itu perpaduan (Umno-PAS) yang disandiwarakan antara dua parti politik adalah amat melucukan.”
Penjelasan saya:

Kata-kata 'adalah amat melucukan' tidak ada sama sekali dalam ucapan saya.

Apa yang saya sebutkan adalah: “Perpaduan againts corruption is much more important daripada perpaduan yang disandiwarakan di antara dua parti politik dalam negara kita.”

Saya hairan bagai mana kata “amat melucukan” boleh dipetik oleh Yang Arif Pengerusi Jawakuasa Disiplin sedangkan saya tidak sebutkan.

Saya katakan sandiwara kerana memang PAS dan Umno tidak bersatu sampai hari ini, setakat pengetahuan saya.

Bila kedua pemimpin duduk sepentas sudah disinonimkan dengan penyatuan atau perpaduan, bukankah anggapan seperti itu hanya satu sandiwara sahaja. Sandiwara, setakat saya fahami, adalah sesuatu yang tidak berlaku tetapi dilihatkan sebagai seakan berlaku.

Pertuduhan berikutnya:

• Perpaduan (Umno-PAS) yang dilaungkan dalam situasi amalan korupsi yang amat parah ketika ini”
Penjelasan saya:

Saya tidak faham apa kesalahan dalam ayat seperti ini. Ia sebuah nasihat berdasarkan kenyataan-kenyataan kedua pihak pemimpin, kecil dan besar dalam isu ini sampai hari ini.
Pertuduhan selanjutnya:

• PAS jangan rosakkan amanat TGNA sebaliknya kembalilah kepada perjuangan yang sebenar iaitu menentang kemungkaran Umno. Kewajipan adalah menggantikan Umno dan bukan bersama Umno mengekalkan pemerintahan mereka”

Penjelasan saya:

Ini juga sebuah nasihat.

Saya tidak nampak apa kesalahan dalam menyuarakan perasaan dan pandangan saya selaku ahli PAS.
Dakwaan Keemmpat:

• Secara tidak wajar telah bertindak sebagai saksi yang memihak (bias witness) kepada Daehanguru Infra Sdn Bhd (plaintif) dan memberikan keterangan yang memprejudiskan Baldah Toyyibah dan Perbadanan
Menteri Besar Kelantan (PMBK)

• Secara berniat serong cuba mengelirukan Mahkamah dengan memberikan ‘pandangan’ yang tidak tepat, berupa tohmahan yang cuba meletakkan kesalahan terhadap kerajaan negeri Kelantan, secara khususnya keterangan saudara yang mengatakan kononnya telah berlaku “change of direction among the new leadership of Kelantan State Government” yang menyebabkan kegagalan plaintif melaksanakan Projek Lebuh Raya KB-KK yang bernilai 1.8 bilion.

Penjelasan saya:

Saya kira, pertuduhan ke empat ini sudah memasuki urusan mahkamah yang sedang berjalan sekarang dan secara malicious, libeldan prejudis telah membicarakan saya secara di luar batas keadilan dan mungkin berbau contempt of court.

Pertama, harus difahami saya menjadi saksi bagi pihak plaintif selepas disepina.

Dua pihak defendan iaitu Perbadanan Menteri Besar Kelantan dan Baldah Toyyibah Sdn Bhd, semasa prosiding mahkamah sebelum saya dipanggil memberikan keterangan, tidak pernah sedikit pun membantah kedudukan saya sebagai saksi yang disepina. Padahal, mereka boleh atau sepatutnya berbuat demikian.

Hasilnya, saya telah diperintahkan oleh Yang Arif Hakim untuk disepina.

Jika kehadiran saya sebagai saksi boleh menjejaskan kedudukan defendan dan kerajaan Negeri, mengapa mereka berdiam diri?

Pemimpin-pemimpin kerajaan termasuk yang berkelulusan undang-undang dan berkelayakan sebagai peguam, termasuk orang seperti SUA PAS sekarang, juga tidak pernah menghubungi saya atau menyuarakan bantahan mereka.

Berita tentang saya dipanggil menjadi saksi telah lama tersebar, sebelum hari saya dipanggil memberikan keterangan lagi.

Tiada sebarang respon atau inisiatif untuk saya dibebaskan dari memberikan keterangan dilakukan.
Sudah tentu, apabila seseorang dipanggil memberikan keterangan, berdasarkan sistem Mahkamah negara ini:

(a) Ia tidak boleh mengelak untuk hadir jika sepina telah dikeluarkan oleh mahkamah. Jika tidak, waran tangkap akan dikeluarkan.

(b) Ia mengangkat sumpah untuk bercakap benar dan boleh dikenakan tindakan undang-undang jika ia tidak bercakap benar.

Apatah lagi, sebagai seorang Muslim, seseorang hendaklah memberikan keterangan dalam penyaksian dengan jujur, benar dan adil. YB TG Presiden mengetahui nas-nas al- Quran dan as-Sunnah tentang ini.

Sama ada saya bersikap bias atau tidak, sudah tentu perlu ditentukan oleh mahkamah dan bukannya oleh pihak luar yang tidak berautoriti dan tidak mendengar kes ini secara keseluruhan seperti Jawatankuasa Yang Arif Pengerusi Jawatankuasa Disiplin ini.

Tuduhan ini sengaja diciptakan, sekali pun mungkin tindakan seperti ini melanggar kemulian mahkamah dan bersifat fitnah, untuk mencari-cari kesalahan semata-mata.

Bagaimanapun, saya mengambil kesempatan ini untuk membuat penjelasan kepada YB TG Presiden ini duduk perkara projek Lebuh Raya Rakyat Kota Bharu-Kuala Krai.

Projek ini telah diputuskan untuk dilaksanakan atas inisiatif kerajaan negeri selepas siri-siri mesyuarat dan keputusan parti dan kerajaan di semua peringkat. Termasuk memilih Dae Hang Guru sebagai kontraktor utama juga telah diputuskan oleh Mesyuarat Exco (MMK) Kelantan.

Saya ulangi, pelantikan Dae Hang Guru dibuat oleh mesyuarat exco yang dihadiri pada waktu itu oleh YAB Dato MB dan YB Dato TMB yang ada sekarang.

Selepas PRU-13, kerajaan negeri menamatkan Dae Hang Guru sebagai kontraktor lebuh raya berkenaan.

Saya telah membuat kenyataan media meminta kerajaan negeri berunding dengan pihak kontraktor dan menyelesaikannya dengan baik bagi mengelakkan apa-apa implikasi di kemudian hari yang telah disiarkan oleh Sinar Harian sebelum ini.

Malangnya, saya diberitakan, usaha pihak kontraktor untuk menemui pihak kerajaan tidak pernah dilayan, termasuk surat-surat yang dihantar supaya penamatan itu diberikan justifikasi yang wajar.

Akhirnya, selepas pintu rundingan tertutup, pihak kontraktor berkenaan terpaksa mendapatkan keadilan di atas kedudukan mereka melalui tindakan mahkamah.

Sepanjang tempoh proses mahkamah, saya difahamkan pihak Yang Arif Hakim beberapa kali mencadangkan satu penyelesaian di luar mahkamah dibuat oleh kedua-dua pihak tetapi pihak defendan telah menolak.

Tuduhan (b) yang berbunyi “secara berniat serong cuba mengelirukan mahkamah dengan memberikan 'pandangan' yang tidak tepat...” adalah sebuah tuduhan yang serius.

Ia sudah mencampuri urusan mahkamah dan bersifat subjudis dan prejudis terhadap saya.

Apa lagi, jawatankuasa ini sendiri tidak lebih tahu dari saya mengenai apa yang sebenarnya berlaku dan
kedudukan yang sebenar.

Tindakan ini memberikan gambaran, seseorang, atas kepentingan kumpulan mereka, boleh memberikan keterangan yang salah semata-mata untuk memenangkan kumpulan mereka (kerajaan negeri atau anak syarikatnya selaku defendan).

Saya juga mencadangkan YB TG Presiden membaca keseluruhan affidavit saman kontraktor ini untuk berlaku adil kepada kedua-dua pihak, seperti dituntut oleh Islam.

Saya juga memohon semua pertuduhan dan ayat-ayatnya yang digunakan ke atas saya dalam pertuduhan berkaitan isu ini ditarik balik oleh parti serta permohonan maaf terbuka dibuat kepada saya.

Jika tidak, saya mempunyai hak untuk pada mana-mana masa, mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya di atas kata-kata yang tidak wajar berkenaan.

Sebagai latar belakang tambahan, di pertengahan Ramadan lepas ketika saya masih lagi dalam keuzuran, ada penulis-penulis media sosial yang ada kaitan dengan pimpinan kerajaan negeri telah memfitnah saya. Saya dikatakan membolot kayu-kayan di laluan lebuh raya ini dan telah terlibat dengan pembalakan haram ke atas kayu kayan itu.

Saya berharap agar jawatankuasa ini juga turut menyiasat tuduhan-tuduhan seperti itu kepada saya.

Sebagaimana fitnah oleh segelintir AJK Pusat yang ada sekarang. Di antaranya, saya dituduh mempengaruhi dua ADUN PAS di Selangor untuk menyokong Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri besar Selangor.

Berkait fitnah saya telah membolot kayu-kayan atas laluan lebuh raya berkenaan, saya telah menulis dalam Whatsapp group yang dianggotai oleh YAB MB, TMB, YB Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat dan lain-lain pimpinan kerajaan Kelantan untuk membersihkan nama saya di dalam isu mencuri balak di dalam Hutan Ulu Sat dan tuduhan mengatakan saya telah mengambil kekayaan daripada balak di laluan lebuh  raya tersebut.

Malangnya, tidak ada satu orang pun dari mereka yang memberikan simpati kepada saya.

Untuk membersihkan nama saya, saya telah menulis surat kepada Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat, YB Dato’ Hj Hanifa Ahmad.

Saya juga telah melawat sendiri tapak projek berkenaan dan melihat kayu balak yang dicuri telah disita oleh Jabatan Hutan Negeri.

Saya telah membuat kenyataan akhbar mengenai isu ini dan pihak SPRM telah masuk menyiasat dan mendapati lima kawasan tersebut telah gondol kerana dicuri.

SPRM juga telah membuat kenyataan media mengatakan adanya unsur rasuah dari kejadian itu.

Sehingga hari ini, tidak ada apa-apa tindakan diambil kepada pihak-pihak berkenaan.
Hasil dari tindakan itu, barulah tuduhan saya membolot balak berkenaan tidak lagi kedengaran.

Jika saya sendiri tidak bangkit membela diri saya dalam isu ini, saya yakin tohmahan dalam isu ini akan berlarutan dan isu pembalakan haram akan tenggelam.

YB TG Presiden patut menilai isu ini secara lebih mendalam dan mendapatkan kedudukannya yang benar dan tidak menjadikan saya sebagai kambing hitam atas kesalahan-kesalahan pihak lain.

Dakwaan kelima

• Mempersenda dan mempersoalkan langkah dan/atau kaedah parti PAS dan membawa rang undang-undang persendirian di Parlimen bagi meminda Akta 355.

• Membuat tuduhan kononnya langkah di atas adalah kerana didorong oleh pihak-pihak tertentu, termasuk Menteri tertentu (tidak disebutkan nama atau portfolio) yang menghantar wakilnya ke Kelantan pada 18 Mac 2015

• Membuat tuduhan dan meletakkan kesalahan ke atas presiden dan pimpinan tertentu yang lain yang kononnya menyebabkan RUU Akta 355 tidak diluluskan di Parlimen.
Penjelasan saya:

Tindakan membawa usul untuk meminda Akta 355 secara billPersendirian atau private member's bill ke Parlimen atas nama Presiden selaku ahli Parlimen bagi kawasan Marang, jelas bercanggah dengan keputusan parti dan juga keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Jenayah Syariah Peringkat Persekutuan Bil.3/ 2014 bertarikh 18-20 Disember 2014 yang berlangsung di Dewan Kijang 6, Aras 3, Hotel Perdana, Kota Bharu, Kelantan.

Jawatankuasa bersama antara kerajaan negeri dan Pusat itu telah sebulat suara antara lain memutuskan usul berkenaan hendaklah dibawa oleh menteri setelah melalui Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang akan bersidang pada bulan Mac 2015 dan seterusnya dibentangkan oleh menteri pada bulan Mei/Jun 2016.

Persoalan besar di sini ialah kenapa keputusan yang dibuat bersama itu dilanggar?

Ketika membincangkan isu Akta 355 ini, Jawatankuasa Pas Pusat yang bersidang sebelum usul itu dibawa telah memberikan pandangan supaya usul itu dibawa sendiri oleh kerajaan pusat. Jawatankuasa PAS Pusat dalam mesyuarat itu mengambil maklum akan perlunya proses yang paling masak dan matang diambil bagi membolehkan pindaan akta itu menjadi kenyataan.

Usul yang ditandatangani oleh presiden telah dihantar ke parlimen pada 18 Mac 2015 iaitu sebelum pun Enakmen Jenayah Syariah yang dibentangkan di Dewan Undangan Negeri Kelantan diluluskan.

(Lazimnya, jika benar pindaan Akta 355 di Parlimen memerlukan kelulusan Enakmen Jenayah Syariah di DUN Kelantan - ia dilakukan selepas penggazetan Enakmen itu. Ini semua tidak berlaku kerana ketergesaan luar biasa. Apakah yang mendorong ketergesaan luar biasa itu?)

Selepas usul itu difailkan, barulah satu mesyuarat Lajnah Politik Pas Pusat diadakan untuk membincangkannya. Dalam mesyuarat itu , YB Dato’ Takiyuddin Hassan yang ketika itu adalah Penolong Setiausaha Agong PAS menjelaskan usul perlu disegerakan kerana untuk mengejar masa bagi membolehkan ia dibentangkan dalam sesi yang sedang berlangsung dan akan berakhir dalam bulan April 2015 itu.

Mengenai adanya wakil menteri dan seorang Pegawai Parlimen mengunjungi kerajaan negeri sama ada pada 17 atau 18 Mac itu 2015 dan kononnya membawa mandat menteri untuk meyakinkan perlunya usul itu di bawa secara bill persendirian secepat mungkin dan tidak mengikuti keputusan asal Jawatankuasa Bersama, perkara ini boleh diselidiki sendiri oleh Jawatankuasa Disiplin dengan pihak-pihak berkenaan. Saya mempertahankan dakwaan saya.

Hendaklah diketahui, YB Dato Taki dan YB Dato Jamil Khir adalah kawan rapat sejak zaman sekolah.
Saya sesungguhnya curiga, dengan agenda sebenar pindaan akta itu secara bill persendirian.

Selepas saya membangkitkan isu ini, YB Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah, Timbalan Menteri Besar Kelantan telah membuat kenyataan usul berkenaan tidak boleh dibentangkan di antara lain kerana belum mendapat persetujuan Raja-raja Melayu.

Kenapa ia tidak ditimbangkan semasa pihak berkenaan memberikan nasihat kepada presiden untuk membawa usul berkenaan secara amat tergesa-gesa, setahun yang lalu?

Bukankah itu sebenarnya yang telah mencemarkan imej presiden?

Saya hanya mengkritik aspek pengurusan yang membawa kepada usul itu dimasukkan dan ternyata sehingga hari ini, ia gagal diluluskan.

Jadual asal yang telah dipersetujui, pembentangan usul ini oleh kerajaan akan berlaku pada bulan Mei/Jun 2016.

Sungguh pun begitu, ramai masih sangsi adakah dengan lulusnya pindaan Akta 355 itu nanti, membolehkan pelaksanaan penuh undang-undang syariah atau sekadar gimik politik tertentu.

Jika ucapan saya didengar dengan teliti, saya telah menyebutkan saya tidak mempersalahkan presiden tetapi mahu dua pemimpin PAS yang berkenaan mengambil tanggungjawab meletakkan jawatan kerana telah menasihati presiden secara salah dalam isu sebesar ini dan membelakangkan proses keputusan parti.

Sebaik sahaja berita mengenai cadangan usul [ersendirian berkenaan disiarkan oleh media, saya bersama Dr Dzulkifli Ahmad dan YB Dr Syed Azman telah berkunjung menemui presiden di kediaman YB TG di Rusila. Di dalam perjumpaan tersebut, YB TG Presiden telah memberi keyakinan berdasarkan maklumat-maklumat yang disampaikan kepada YB TG bahawa usul tersebut akan diberi peluang untuk bacaan kali pertama pada persidangan Parlimen bulan April 2015 itu juga dan bacaan kali kedua serta perbahasan di dalam persidangan parlimen bulan Jun 2015.

Malangnya perkara tersebut jauh daripada berlaku. Ini menunjukkan presiden telah diberikan nasihat yang salah oleh sesuatu pihak yang menjadi tugas parti termasuk jawatankuasa disiplin untuk menyiasat siapakah pihak-pihak berkenaan.

Teguran terbuka saya ialah supaya pihak-pihak luar tidak mempengaruhi cara parti membuat keputusan sehingga menimbulkan imej yang tidak baik dan agenda-agenda berkaitan seolah-olah disabotaj secara halus.

Semoga dengan teguran terbuka ini menyedarkan banyak pihak yang berkaitan.

Pembentangan Akta 355 secara bill persendirian tanpa melalui proses yang betul telah memberikan kesan politik dan telah mengubah banyak perkara yang telah dicapai oleh PAS selama ini. Ia menimbulkan kebimbangan berlebihan tanpa asas semata-mata kerana keluarbiasaan pindaan yang dikatakan biasa itu telah cuba dibuat.

Ia seakan mempunyai agenda tersirat dan menjadi buah catur politik pihak-pihak tertentu lebih dari agenda pelaksanaan undang-undang syariah sepenuhnya seperti yang diuar-uarkan.

Ucapan saya itu dengan harapan untuk satu koreksi diri atau muhasabah yang jujur dapat dilakukan.

YB TG Presiden,

Dengan ini, saya menyimpulkan, saya berpendirian ke semua pertuduhan ke atas saya seperti berikut;

i. Ingkar kepada perlembagaan parti dan aturan dan peraturannya
ii. Ingkar kepada arahan-arahan dan perintah-perintah parti,
iii. Gagal melaksanakan kewajipan-kewajipan yang ditugaskan oleh parti,
iv. Gagal menjaga dengan cermat rahsia-rahsia parti
v. Gagal mengamalkan akhlak Islam
vi. Gagal mengawal diri dari melakukan sebarang tindakan yang menyalahi dan merugikan parti adalah tertolak dan tidak benar.

Tidak ada arahan dan perintah parti yang saya langgar dan Jawakuasa Disiplin gagal menunjukkan mana perintah parti yang telah saya langgar.

Tidak ada mana-mana kewajipan yang ditugaskan oleh parti yang saya langgar dan Jawakuasa Disiplin gagal menunjukkan mana kewajipan parti yang saya langgar.

Tidak ada mana-mana rahsia parti yang merugikan parti yang saya gagal menjaganya. Rahsia yang sudah diketahui umum yang boleh merosakkan parti tidak boleh disabitkan ke atas saya kerana peruntukan agama Islam membenarkan teguran dibuat ke atas pelanggaran amanah perjuangan.

Setakat ingatan saya, saya tidak gagal mengamalkan akhlak Islam bahkan saya telah menjadi mangsa kepada akhlak buruk yang telah berkembang di kalangan segelintir pimpinan PAS, termasuk Yang Arif Pengerusi Jawakuasa Disiplin sendiri yang telah menganiayai saya dengan tuduhan bersifat fitnah menjelang Muktamar PAS yang lalu.

Saya juga tidak gagal mengawal diri dari melakukan tindakan yang menyalahi dan merugikan parti. Melainkan tindakan saya adalah sebagai respon terhadap tindakan, ucapan dan gerakan yang akhir-akhir ini dilakukan oleh segelintir pemimpin parti yang menyalahi dan merugikan parti.

Saya sama sekali tidak ingkar kepada perlembagaan parti dan aturan dan peraturannya. Bahkan, tindakan saya adalah berdasarkan Perlembagaan Parti Fasal 3, Fasal 5, Fasal 6, Fasal 7 dan Fasal 14.

Dasar PAS ialah Islam, fasal 3.

Islam mengizinkan teguran, kritik, pandangan dan nasihat diberikan.

Tujuan PAS ialah memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya, fasal 5.

Nilai hidup Islam dan hukumnya termasuk kebebasan bersuara atas kebenaran, menghindari perbuatan pemerintah yang bertentangan dengan amanah yang diberikan dan merugikan rakyat jelata dan bersuara membetulkan kepincangan.

Hukum tertinggi sekali dalam pegangan PAS ialah Kitabullah dan Sunnah Rasul, fasal 7.

Al-Quran sangat menganjurkan perbaikan masyarakat, tegur menegur, menegakkan kemakrufan dan mencegah kemungkaran:

"Mengapa orang-orang alim mereka, pendeta-pendeta mereka tidak melarang mereka mengucapkan perkataan bohong dan memakan yang haram? Sesungguhnya amat buruk apa yang telah mereka kerjakan itu". - 5:63

"Telah dilaknati orang-orang kafir dari Bani Israel dengan lisan Daud dan Isa putra Maryam. Yang demikian itu, disebabkan mereka durhaka dan selalu melampaui batas". - 5:78

"Mereka satu sama lain selalu tidak melarang tindakan mungkar yang mereka perbuat. Sesungguhnya amat buruklah apa yang selalu mereka perbuat itu". - 5:79

YB TG Presiden,

Saya menegaskan, saya tidak melakukan apa-apa kesalahan baik mengikut perlembagaan PAS mahu pun ukuran Islam.

Apatah lagi, pertuduhan yang dikenakan adalah sangat dangkal dan tidak menepati prinsip penyiasatan yang kemas.

Saya juga tidak diberikan keadilan penghakiman dan perbicaraan seperti mana yang dituntut oleh Islam.

Saya dengan ini menyeru supaya pemecatan ke atas saya dibatalkan dan ditarik balik.

YB TG Presiden,

Kepimpinan YB TG sejak akhir-akhir ini telah teruk tercalar.

Saya tidak ingin menghuraikan sebab-sebabnya secara panjang lebar. Tetapi apa yang telah YB TG Presiden ucap dan tuliskan selama ini, tidak sama dengan apa yang berlaku sekarang ini.

Sungguh pun YB TG adalah seorang pemimpin besar, tidak ada salahnya manusia kerdil seperti saya berpesan dengan pesanan:

Bertaqwalah kepada Allah. Ingatlah, para pemimpin semuanya akan ditanya akan kepimpinan mereka, seperti mana hadis Nabi SAW yang masyhur.

Sekian, wassalam.

Akhukum Fi Llah

Husam Musa
Kg Kota, Kota Bharu, Kelantan
19 Sya'aban 1437/26 Mei 2016