Saturday, August 21, 2010

KARPAL TOLAK HUDUD SEBAGAI PENYELESAIAN MASALAH JENAYAH, SOSIAL

Apa kata PAS Kelantan dan Musyridul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat terhadap pandangan Pengerusi DAP Karpal Singh?

Yang pasti sampai kiamat pun Karpal tidak akan menerima hukum Hudud.

Pemimpin DAP itu tidak bersetuju dengan cadangan Mursyidul Am PAS itu bahawa cara terbaik menangani masalah jenayah dan sosial ialah meminda undang-undang sivil dan digantikan dengan undang-undang hudud.

Karpal berkata partinya tidak dapat menerima sebarang bentuk pelaksanaan hudud di negara ini.

"Adalah silap bagi orang seperti Nik Aziz bercakap sesuatu yang tidak boleh diperkenalkan di negara ini. Perlembagaan Persekutuan hanya membenarkan Kanun Keseksaan dan undang-undang sivil lain dan tidak ada ruang untuk undang-undang hudud," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Karpal mengulas kenyataan Menteri Besar Kelantan itu semalam bahawa adalah wajar untuk berbalik kepada hudud oleh kerana beliau dakwa undang-undang sivil sekarang gagal mengawal jenayah dan penyakit sosial.

Kelmarin Nik Aziz berkata kerajaan negeri berusaha melaksanakan Undang-Undang Hudud dan Qisas di Kelantan bagi mendidik umat Islam membendung kejadian buang bayi dan jenayah.

Beliau, yang juga Mursyidul Am PAS berkata, undang-undang yang sedia di negara ini dilihat gagal menangani sebarang bentuk gejala jenayah dan sosial kerana ia tidak disertakan dengan didikan agama.

Katanya undang-undang bukanlah jawapan sebenar ke arah penyelesaian kepada jenayah dan gejala sosial, seperti kes rasuah, pembuangan bayi yang sedang melanda negara sekarang.

"Polis dan menggari pesalah adalah perkara kedua, yang penting dan utama ialah didikan agama supaya dapat ditanam roh takwa di kalangan umat manusia," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis Sambutan Hari Hududullah dan Seminar Hukuman Sebat Syariah di Kompleks Balai Islam, di Kota Bharu.

Kelantan dan Terengganu merupakan dua negeri yang sudah mempunyai Undang-Undang Hudud dan Qisas untuk orang Islam ketika di bawah pentadbiran PAS tetapi tidak dapat melaksanakannya kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Antara percanggahan itu termasuk pelaksanaan terhadap prosedur, kesalahan dan hukuman jenayah termasuk mencuri dan membunuh yang telah mempunyai peruntukan undang-undang Persekutuan di negara ini.

Nik Abdul Aziz berkata penguatkuasaan undang-undang sahaja tidak cukup mengawal manusia tanpa disertai didikan dan tarbiyah syariat Islam dari peringkat ibu bapa, guru hingga pentadbir kerajaan negeri dan pusat.

Justeru itu, katanya, kerajaan negeri tetap berusaha untuk melaksanakan hukum hudud yang tidak harus dilihat sebagai suatu hukuman potong tangan terhadap pencuri semata-mata.

Hukum itu sendiri bertindak untuk mengajar umat manusia supaya tidak melanggar perkara yang dilarang tuhan kerana kelak ia akan membawa satu penyakit kanser moral kepada manusia, yang akhirnya menjatuhkan ketamadunan manusia sendiri, katanya.

"Hudud adalah garis sempadan yang ditentukan Allah menghadkan sesuatu yang termasuk dalam apa yang dilarang dan diperintah dan bukan semata-mata hukuman potong tangan bagi pencuri dan rejam bagi penzina," tegas beliau.

Karpal pula berkata beliau amat jelas dalam perkara itu dan tidak mahu berhujah dengan Nik Aziz kerana pandangan beliau (Karpal) berdasarkan apa yang dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan negara sekular.

Karpal berkata pada 1988, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa hanya undang-undang sivil terpakai di sesebuah negara sekular.

Katanya, beliau tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan untuk mengenakan hukuman mati dalam kes buang bayi, dan menambah adalah lebih baik menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat dan mengenalpasti punca masalah sebenar.

Terang lagi bersuluh, apakah PAS terus mahu 'berkawan' dengan DAP itu?

No comments: