Saturday, August 21, 2010

'POLIMIK TANPA KESUDAHAN' - MUSTAPA BIMBANG JEJAS PELABURAN

Suasana politik yang tidak menentu dan "polemik tanpa kesudahan" boleh menjejaskan usaha kerajaan untuk menarik lebih banyak pelabur asing ke negara ini dalam tempoh terdekat ini, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata semua pihak seharusnya mempunyai peranan dan tanggungjawab untuk menjamin negara ini sentiasa aman dan damai.

"Kerajaan sudah bekerja keras untuk menarik seberapa banyak pelabur asing bagi faedah rakyat semua kaum dan bagi kemakmuran negara," katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa bersama guru, ibu bapa dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pak Badol Bachok, semalam.

Beliau mengulas tuntutan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek supaya kerajaan mengurangkan dasar 30 peratus pemilikan ekuiti dan ekonomi Bumiputera secara beransur-ansur.

Mustapa, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan berkata, prospek aliran masuk pelabur ke negara ini semakin jelas dan berharap polemik itu tidak menjadi satu isu besar sehingga menakutkan mereka.

Beliau berkata sebarang tuntutan sepatutnya berasaskan kepada Perlembagaan negara dan semangat setia kawan Barisan Nasional.

Ketika berucap pada majlis itu Mustapa berkata sempena bulan yang mulia ini orang Melayu seharusnya dapat mengelak daripada melakukan sebarang perkara yang boleh menjejaskan perpaduan mereka.

Mustapa berkata berasaskan perkembangan dalam negara sekarang yang tidak menentu, orang Melayu perlu bersatu bagi menghadapi cabaran besar lebih-lebih kerana ada pihak yang sudah berani menyentuh hak istimewa orang Melayu dan kedudukan agama Islam.

Beliau berkata jika Melayu terus bercakaran semasa sendiri, pihak lain akan mengambil kesempatan untuk melemahkan kedudukan mereka.

"Tidak mustahil Melayu akan hilang segala-galanya," katanya.

No comments: