Saturday, August 21, 2010

PEGUAM SULTAN KELANTAN TERUSKAN PERMOHONAN HABEAS CORPUS

Peguam Sultan Kelantan Akan Teruskan Permohonan Habeas Corpus

Peguam yang mewakili Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra, akan meneruskan permohonan writ habeas corpus mereka untuk 'mendapatkan pembebasan' baginda sungguhpun pergerakan baginda kini tidak lagi terbatas.

Peguam Datuk Mohd Haaziq Pillay berkata Sultan Kelantan mahu meneruskan permohonan itu tetapi beliau enggan mendedahkan butirannya apabila diminta mengulas mengenai permohonan itu yang telah menjadi 'akademik' memandangkan baginda tidak lagi terbatas untuk mendapatkan rawatan di Singapura.

"Kami kini bertindak atas arahan anak guam kami dan saya tidak boleh mengulas lebih lanjut," kata Mohd Haaziq.

Writ itu difailkan pada 7 Mei untuk memohon pembebasan Sultan Kelantan dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian, Kelantan.

Permohonan itu disokong oleh afidavit putera ketiga baginda, Tengku Temenggong Tengku Muhammad Fakhry Petra.

Tuanku Ismail Petra menerima rawatan jantung selama sembilan bulan di Hospital Mount Elizabeth di Singapura sebelum berangkat pulang ke tanah air pada Mac tahun ini.

Writ itu menamakan lima responden -- Ketua Polis Kelantan, Ketua Polis Negara, Ketua Pengarah Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan, Ketua Pengarah Kesihatan dan kerajaan Malaysia.

Sultan Kelantan dinamakan sebagai pemohon.

Mohd Haaziq berkata Mahkamah Khas telah menetapkan 17 Sept untuk pengurusan kes untuk membolehkan kesemua pihak memfailkan afidavit selanjutnya.

Mengenai kesihatan baginda, Mohd Haaziq berkata terdapat banyak peningkatan tetapi baginda memerlukan rawatan susulan seterusnya di Singapura.

Kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada Khamis di hadapan Pendaftar Mahkamah Khas Harmi Thamri Mohamad.

Peguam Kanan Persekutuan Datuk Kamaluddin Md Said mewakili kesemua responden.

No comments: