Saturday, August 21, 2010

KHUTBAH DOAKAN LIM - UMNO SENGAJA REKA CERITA?

http://gegernya.blogspot.com
(Saturday, August 21, 2010)

Anwar dan Mujahid sama sahaja.

Terlalu takut kerajaan pimpinan DAP terjejas, kedua-duanya menghalakan peluru kepada UMNO.

Anwar mengatakan UMNO buat fitnah dan Mujadhid pula mengatakan UMNO merekakan suatu kekeliruan jahat.

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa UMNO sengaja bertindak menabur fitnah terhadap kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang apabila mendakwa nama Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin digantikan kepada nama Ketua Menteri, Lim Guan Eng dalam doa khutbah solat Jumaat.

Jangan cepat melenting dan menuduh UMNO bukan-bukan. Ketepikan dulu soal politik. Yang penting siasatlah.

Anwar berkata, dakwaan berkenaan merupakan pembohongan tidak berasas yang dimainkan oleh Umno bagi menyemarakan api kebencian rakyat.

"Kami memandang serius fitnah terbaru yang dimainkan pimpinan Umno ini dan ia terbukti merupakan satu pembohongan semata-mata.

"Saya sendiri memantau perkembangan tersebut, membaca teks khutbah yang diedarkan dan menerusi rakan-rakan di Pulau Pinang mendapati tuduhan tersebut tidak berasas bahkan ianya merupakan satu fitnah demi laba politik pemerintah yang kian hari kian terdesak," katanya dalam satu kenyataan di Petaling Jaya semalam.

Media semalam melaporkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang sebagai berkata bahawa beberapa masjid di negeri itu dikesan menggantikan nama Tuanku Mizan kepada nama Guan Eng dalam doa khutbah kedua solat Jumaat.

Ahmad Zahid juga berkata, pihaknya mengesan perbuatan itu di beberapa masjid di Permatang Pauh, Tasek Gelugor dan Jelutong sejak minggu lalu.

Selain itu, Anwar yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen berkata, UMNO menggunakan kaedah politik perkauman sempit dengan memfitnah kerajaan Pakatan Rakyat.

"Kita yakin usaha pimpinan Umno ini tidak akan berhenti di situ sahaja, mereka pasti menganyam fitnah yang lain pula demi memecah belahkan muafakat masyarakat di negara ini yang mahu hidup dalam kerukunan dan sejahtera.

"Hanya dengan melakukan perubahan, politik perkauman sempit akan berjaya dihalang," katanya.

PAS Pulau Pinang pula menyifatkan dakwaan bahawa nama Yang di-Pertuan Agong digantikan kepada nama Ketua Menteri, Lim Guan Eng dalam doa khutbah solat Jumaat itu hanya satu bentuk kekeliruan jahat yang direka oleh UMNO.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Dr Mujahid Yusof Rawa mendakwa, UMNO sengaja menimbulkan isu berkenaan bagi mengelirukan orang ramai khususnya umat Islam demi kepentingan politik parti itu.

"Memandangkan keadaan politik semasa di Pulau Pinang yang agak panas, isu ini sengaja dibuat bagi menimbulkan perasaan marah kepada Guan Eng.

"Kami percaya ini juga adalah taktik kotor yang digunakan oleh UMNO untuk menimbulkan kebencian di kalangan orang Melayu terhadap Ketua Menteri itu," katanya kepada mStar Online di sini pada semalam.

Mujahid yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat mencabar Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang supaya mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaan berkenaan.

"Perkara ini bukan perkara main-main, kalau betul ia berlaku... mereka perlu berikan bukti dengan jelas," katanya.

Jika Mujahid merasakan ini perkara bukan main-main, jangan cepat melenting kerana ada saksi yang menyatakannya.

Zahid bukanlah mahu mereka-rekakan cerita begitu sahaja. Mengguna atau mempermainkan nama Yang di-Pertuan Agong bukan kecil kesannya.

Bak kata Timbalan Perdana Menteri, siasatan wajar dilakukan oleh pihak berkuasa bagi mendapatkan fakta sebenar kerana perkara itu mempunyai implikasi besar.

Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta polis dan Majlis Agama Islam Negeri menyiasat dakwaan bahawa nama Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin digantikan kepada nama Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dalam doa khutbah solat Jumaat di negeri itu.

Katanya: "Saya mahukan perkara itu dikaji, diteliti dan jika benar kejadian itu berlaku, maka tindakan tertentu oleh pihak tertentu mesti diambil," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pembangunan Modal Insan di Putrajaya semalam.

Muhyiddin berkata bahawa pada masa ini, beliau tidak mendapat maklumat tepat mengenai perkara itu dan hanya mengetahuinya apabila membaca akhbar.

"Adakah ia dibuat atas kehendak dia atau atas arahan daripada pihak tertentu. Saya percaya ini suatu perkara yang mempunyai implikasi besar," katanya.

Posted by gegernya at 1:28 AM

No comments: