Saturday, August 21, 2010

KELANTAN TAMBAH MESIN SEMBURAN KABUS

Jabatan Kesihatan Kelantan menambah 62 lagi mesin semburan nyamuk bernilai RM300,000 untuk membanteras denggi yang kini berada di tahap kritikal di negeri itu.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Dr Wan Mansor Wan Hamzah berkata penambahan mesin itu menjadikan 262 buah mesin semburan siap sedia digunakan untuk operasi membendung wabak denggi.

"Dalam perjumpaan dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Aiseri Alias, kelmarin, kita bersetuju meletakkan kes wabak denggi sekarang sebagai agenda negeri, dan bukan lagi sebagai agenda Jabatan Kesihatan semata-mata," katanya dalam temuramah dengan Bernama melalui siaran radio FM Kelantan, di Kota Bharu, Jumaat.

Menurut Dr Wan Mansor, antara gerakan bersepadu yang akan dijalankan ialah meminta kakitangan kerajaan negeri memainkan peranan menyebarkan maklumat itu selain sekolah dan pemimpin masyarakat serta menggunakan khutbah Jumaat.

Katanya pada masa sama jabatannya menambahkan tenaga kerja untuk menjalankan kerja-kerja semburan kabus di kawasan pembiakan nyamuk Aides di seluruh negeri dan menambah bilangan mesin semburan.

Selain itu, kata Dr Wan Mansor lagi, jabatannya akan meningkatkan penguatkuasaan tindakan undang-undang terhadap penduduk yang membiarkan sarang pembiakan nyamuk Aides yang menjadi punca wabak denggi di seluruh negeri.

Mengenai jumlah kematian, setakat ini Kelantan masih mencatatkan enam kematian akibat wabak itu, termasuk empat di jajahan Pasir Mas dan dua di Kota Baharu.

No comments: