Saturday, August 21, 2010

CHEF LANZ RECIPE LEBARKAN SAYAP KE DAMANSARA

Mazlan Hassim, 39 bekas chef kapal mewah menunjukkan kek yang terdapat di kedainya di Pasir Pekan.

Kedai kek dan pastri Bumiputera, Chef Lanz Recipe yang terkenal menyediakan Sajian Maharaja Itali kini melebarkan sayapnya ke Selangor apabila bakal membuka cawangan keduanya di Kota Damansara selepas Aidilfitri ini.

Pengarah Urusan Chef Lanz Recipe Mohd Aseri Abdullah Azzas berkata, cawangan kedua itu akan dibuka dengan konsep yang sama sebagaimana cawangan asal di Pasir Pekan, Tumpat, bagi menampung keperluan dan permintaan masyarakat terhadap kek dan pastrinya.

"Chef Lanz Recipe sentiasa menerima permintaan dari penduduk seluruh negara dan kedudukan kedai asal di Kelantan agak menyukarkan penduduk dari negeri lain terutama penduduk pantai barat untuk datang ke kedai kami kerana lokasinya yang agak jauh."

"Menyedari kesukaran penduduk itu, kami mengambil inisiatif untuk membuka cawangan kedua kedai ini di Selangor memandangkan lokasinya yang dekat dengan Kuala Lumpur yang sering dikunjungi oleh penduduk, baik untuk membeli belah mahupun bercuti," katanya semalam.

Beliau berkata kedai berkenaan yang akan dibuka secara rasmi selepas Aidilfitri ini akan diuruskan sepenuhnya oleh chefnya, iaitu Chef Mazlan Hassim.

"Kedai asal di Pasir Pekan, Tumpat, masih beroperasi seperti biasa manakala Chef Mazlan akan ke Selangor untuk menguruskan cawangan baru kami memandangkan di Kelantan kami mempunyai seorang pembantu chef yang amat mahir dan telah mewarisi kepakaran Chef Mazlan untuk membuat kek dan pastri, iaitu isteri Chef Mazlan sendiri yang juga merupakan bekas chef sebelum ini," katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Aseri berkata, biarpun Chef Mazlan akan berada di Selangor, kepelbagaian kek dan pastri yang dijual di kedua-dua kedai berkenaan adalah sama.

"Apa sahaja kek dan pastri yang dijual di Kelantan akan ada dan turut dijual di Selangor, begitu juga sebaliknya dan masyarakat tidak perlu bimbang dengan kualitinya kerana kami sangat menjaga kualiti dan memberi jaminan ianya tetap sama dan tiada bezanya," katanya.

Mohd Aseri berkata cawangan baru itu terletak di I-85 g, I-85 Jalan Teknologi 3/9 Bistari De Kota, Kota Damansara, PJK 5, Petaling Jaya, Selangor.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mohd Aseri berkata Chef Lanz Recipe kini telah mempelbagaikan kek dan pastrinya untuk pilihan masyarakat antaranya "chocolate rool", "cream puff" dan tart telor selain beberapa jenis kek resepi terbaru turut dihasilkan.

"Meskipun kek tiramisu adalah resepi istimewa di Chef Lanz Recipe, kami akan sentiasa menghasilkan pelbagai sajian kek dan pastri terbaru dari semasa ke semasa mengikut keperluan dan kehendak pelanggan kami," katanya.

1 comment:

Unknown said...

Terbaik di Seantero Malaya otai....chef Lanz