Saturday, April 30, 2016

Pasal Duit, Dr Vida Kurang Percaya Kepada Pengurusan KAFA


"...saya tak bagi mereka (KAFA) duit. Saya pegang duit itu. Bukan saya tidak yakin cuma kurang percaya dengan mereka...sebab mungkin dalam tekanan bayar hutang mereka. (KAFA) guna duit itu."
Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman

Pengasas Vida Beauty, Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman berterus terang bahawa beliau kurang percaya dengan pengurusan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dalam soal duit.

Apakah ini punca kemelut antara beliau dengan KAFA sekarang?

Beliau yang dikenali dengan Dr Vida mengakui, kurang percaya dengan ketelusan pengurusan  dalam menguruskan kewangan adalah sebab utama beliau terpaksa mengawal sendiri wang tajaan.

Begitu sekali? Ada sesiapa yang ‘mencucuk’ Dr Vida sehingga bersikap sedemikian?

Malah menegaskan, tindakannya itu telah menjamin pemain-pemain Kelantan menerima gaji sehingga Oktober ini.

Menurut laporan Malaysian Instinct, berikutan itu, beliau menggambarkan, hubungannya dengan Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa ibarat retak menanti belah, namun beliau tiada jalan keluar dan perlu meneruskan komitmen penajaan terhadap skuad The Red Warriors.

“Sebenarnya saya sudah tidak ambil peduli dengannya (Annuar) sebab dia cakap dengan saya dia mahu beritahu kepada masyarakat pasal jumlah tajaan saya. Saya cakap silakanlah. Saya tidak ada masalah. Saya tidak takut dan sebab itulah saya cakap dari dulu mengapa saya mengenakan syarat.

“Sebenarnya, apabila saya letak syarat saya ada perjuangan dan saya ada penegasan mengapa saya perlu buat sedemikian. Seandainya duit diberikan semua apa akan jadi kepada pemain di masa akan datang sebab mungkin dalam tekanan bayar hutang mereka (KAFA) guna duit itu.

“Saya tidak mahu. Saya nak duit saya dibayar untuk gaji pemain. Jadi pemain tidak perlu risau sebab saya dah peruntukkan duit gaji sampai Oktober.

“Cuma saya tak bagi mereka (KAFA) duit. Saya pegang duit itu. Bukan saya tidak yakin cuma kurang percaya dengan mereka,” Dr Vida kepada Utusan Malaysia, semalam.

Dr. Vida turut mengakui, prestasi Kelantan yang tidak dan semua masalah yang menyelubungi dirinya dan KAFA ketika ini sedikit sebanyak membuatkannya merasa bosan.

“Cuma saya macam tiada jalan keluar sekarang. Tengoklah saya kena kutuk macam-macam kalau keluar (berhenti penajaan) namun saya tidaklah mahu keluar penajaan sebab saya kena bantu Kelantan.

“Tapi kena ikut cara sayalah. Jangan sampai saya fikir, susahnya nak uruskan pasukan yang macam dah besar kepala, saya nak buat pasukan sendiri pun boleh,” katanya lagi, yang bagaimanapun menegaskan beliau tidak serik untuk melibatkan diri dalam bola sepak.

Friday, April 29, 2016

Di Sebalik Bertegas Teruskan Rancangan Pembalakan Terpilih Di Pos Gob...Apa Cer?


Tok dan, dan (dialek Kelantan bermaksud tak sabar-sabar)

Kenapa kerajaan Kerajaan Kelantan bertegas akan meneruskan rancangan pembalakan terpilih di Pos Gob, Gua Musang?

Muslihat apa sehingga Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, bertegas sedemikian?

Kelantan benar-benar memerlukan premium hasil balak berkenaan atau sebab-sebab lain?

Kenapa tidak diredakan dulu kemarahan penduduk Orang Asli di Pos Gob, Kampung Pinchong dan Kampung Tembaga, Gua Musang, baru buat penegasan seperti ini?

 Ada udang di sebalik mi?


Kelmarin Timbalan Menteri Besar itu berkata rancangan itu akan dijalankan bagi pokok-pokok yang sudah matang usianya dan sesuai untuk ditebang dan bukannya untuk pembukaan ladang.

"Projek itu tiada masalah ... Pengarah Perhutanan (Pengarah Jabatan Perhutanan Kelantan Zahari Ibrahim) beritahu 'tagging' (pembalakan terpilih), bukan tebang habis.

"Dan itu adalah projek pembalakan kerana projek itu dibuat secara terpilih kecuali kalau ladang. (Jika pembalakan untuk pembukaan) ladang itu memang kita akan tebang habis," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darul Naim di sini hari ini.

Semalam, akhbar melaporkan lebih 100 penduduk Orang Asli di Pos Gob, Kampung Pinchong dan Kampung Tembaga, Gua Musang menggesa kerajaan negeri mewartakan kawasan hutan sekitar kawasan penempatan mereka sebagai tanah adat bagi mengelak kegiatan pembalakan daripada terus berleluasa sehingga menjejaskan kehidupan mereka.

Mohd Amar yang juga Pengerusi Pembangunan Wilayah, Tanah dan Sumber Asli negeri berkata kegiatan pembalakan di Pos Gob juga terletak kira-kira lima kilometer dan jauh dari penempatan Orang Asli di kawasan itu.

Beliau berkata masa depan dan kepentingan Orang Asli sentiasa berada dalam pertimbangan kerajaan negeri pimpinan PAS itu.

"Setakat ini, kerajaan negeri telah menggazetkan empat kawasan sebagai rizab Orang Asli. Macam tahun lepas kita ada lulus dua kawasan, dan kita sentiasa berbincang dengan JAKOA (Jabatan Kemajuan Orang Asli) nak kenal pasti berapa lagi kawasan yang sesuai.

"Cuma mungkin dalam proses ini kita perlu ambil kira pandangan Orang Asli sebab tahun lepas ada kumpulan Orang Asli datang berjumpa dan memberitahu kalau boleh ambil pandangan mereka sebelum menggazetkan kawasan di sana," katanya.

Sumber - Bernama

Wednesday, April 27, 2016

Orang Kaya Boleh Ugut, Yang Berharap Pendam Perasaan...


Orang ada duit bolehlah main ugut-ugut. Yang berharap terpaksalah buat ‘muka tidak malu’ atau ‘lembu kenyang’. Memendam perasaam bimbang hilang penajaan.

Itulah hakikat dalam isu Vida Beauty yang mengancam untuk menarik balik penajaan kepada skuad Kijang,

Hari ini pengasas Vida Beauty, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman (Datuk Vida) mengakui ancaman tersebut terpaksa dibuat kerana mahu Kelantan bangkit memperbaiki prestasi pasukan.

Menurutnya, skuad  Kijang masih belum menunjukkan peningkatan meskipun perlawanan separuh musim hampir tamat.

"Saya tidak mempunyai niat untuk menarik diri. Kenyataan itu dibuat kerana mahu menyedarkan pemain dan pengurusan KAFA mengenai pengorbanan saya terhadap pasukan.


"Saya tidak mudah menyerah diri. Sebagai ahli perniagaan, saya dah biasa menghadapi situasi sedemikian, malah lebih teruk lagi," katanya.

Usahawa kosmetik itu berkata beliau mengambil keputusan menaja Kelantan bukan kerana mahu mencari populariti tetapi berhasrat memartabatkan semula maruah pasukan.

"Saya perlukan perubahan kerana pasukan sangat lemah dan corak permainan hambar tidak seperti saya harapkan," katanya.

Persoalannya apa perasaan pihak pengurusan, juru latih, pemain dan semua pihak yang terlibat dengan pasukan Kijang?

Mentang-mentang banyak duit, boleh main ugut-ugut sedemikian rupa.

Apakah skud Kijang tidak bermain dengan sepenuh hati? Sengaja-sengaja tidak mahu menang?


Ekoran isu ini, Presiden KAFA Tan Sri Annuar Musa akhirnya membuka mulut mengenai isu tersebut malam semalam.

Annuar dalam satu kenyataan menerusi Facebooknya pada malam Selasa tampil memberi penjelasan mengenai maklumat tajaan pengasas Vida Beauty, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida terhadap pasukan Kelantan untuk mengelakkan timbul sebarang kekeliruan fakta.


Menurut beliau, meskipun KAFA hanya menerima jumlah tajaan sebanyak RM1.4 juta daripada Vida setakat ini, badan induk bola sepak negeri itu tetap menerima sumbangan tersebut dengan hati yang terbuka.

"Hingga saat ini pun KAFA tetap mempunyai hubungan akrab dan sentiasa bekerjasama serta menerima apa sahaja seadanya. Kita sentiasa hargai komitmen DSV (Datuk Seri Vida), sebab itu bagi kita tidak timbul soal penamatan tajaan kerana kita ambil pendekatan tolak ansur," katanya.

Annuar berkata hubungan baik antara KAFA dan juga Vida akan terus dikekalkan serta apa sahaja isu yang timbul akan diselesaikan secara berunding demi kebaikan bersama.

"Saya sendiri memilih cara berdiam diri dari komentar di Facebook tetapi mengekalkan hubungan akrab dengan para penaja.

"Info ini sekadar kongsi maklumat dengan anda untuk mengelak silap fakta. KAFA akan update bila perlu," katanya.

Jelas beliau lagi, Vida memperuntukkan tajaan sebanyak RM4 juta setahun manakala baki RM4 juta lagi digunakan untuk perbelanjaan lain seperti membaiki stadium, Wisma DSV, penganjuran Piala DSV dan ganjaran juara bagi kejohanan tersebut.

"Semuanya tak termasuk dalam bajet. Tapi KAFA tidak boleh memaksa," katanya.

Namun, beliau berkata KAFA amat mengalu-alukan kehadiran penaja baharu kerana Kelantan memerlukan sekurang-kurangnya RM4 juta lagi untuk memantapkan pasukan musim ini.

"Soal penaja baharu yang lain sememangnya KAFA perlu terus mencari dana kerana kita kekurangan RM4 juta lagi apabila Vida mahukan tajaan beliau dibuat seperti yang dijelaskan," katanya.

Pada Ahad lalu, Vida mengancam untuk menarik balik penajaannya kerana kecewa dengan prestasi pasukan Kelantan yang tidak menentu.

Malah Vida mengakui, ancaman untuk menarik penajaan bukan omong kosong, sebaliknya beliau bersedia mengambil langkah drastik itu andai isu prestasi pasukan masih gagal ditangani oleh KAFA.

Sunday, April 24, 2016

Hutan Simpan Kekal di Kelantan – Audit, Dakwa Segera Dalang & Sindiket

Kerajaan negeri Kelantan perlu mengaudit jumlah keluasan hutan simpan kekal yang masih ada dan yang telah diteroka secara haram di negeri ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata penerokaan kawasan hutan simpan kekal adalah perbuatan serius sama ada dilakukan oleh individu mahu pun sindiket.


"Kita nak ketelusan, kita nak tahu setiap jajahan hutan simpan kekal berapa masih tinggal, berapa telah diteroka secara haram dan keluasannya yang sudah ditanam semula," katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan ladang tanaman kontan di Bukit Perawas, Ayer Lanas di Jeli, semalam.

Mustapa mengulas pendedahan Jabatan Perhutanan Kelantan Rabu lepas, mengenai 7,284 hektar kawasan hutan termasuk Hutan Simpan Kekal (HSK) di negeri ini diteroka secara haram oleh sindiket dan individu.

Pengarah Jabatan Perhutanan Kelantan Zahari Ibrahim dilaporkan berkata lebih 400 hektar Hutan Simpan Kekal Ulu Galas dan Batu Papan, Gua Musang diteroka oleh sindiket yang menggunakan nama Sultan Kelantan dan kerabat baginda.

Sindiket itu memperdaya penduduk agar membeli lot-lot tanah yang diteroka dan menyertai penerokaan tanah bagi tujuan penanaman getah, kelapa sawit dan pisang.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata penerokaan secara haram itu menunjukkan kelemahan dari segi penguatkuasaan dan ia perlu diatasi dengan segera.

Beliau berkata kemusnahan hutan akan memberi banyak kesan kepada alam sekitar dan semua pihak perlu memelihara khazanah alam tersebut.

Sementara itu, kelmarin Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berharap Kerajaan Kelantan perlu mengambil tindakan segera mendakwa di mahkamah dalang dan anggota sindiket yang meneroka hutan simpan kekal di negeri ini terutama di Gua Musang.

Pencerobohan kawasan hutan tidak boleh dipandang ringan kerana dikhuatiri akan menyebabkan berlakunya banjir besar seperti pada 2014, katanya.

"Kalau kerajaan negeri dapat meluluskan kawasan pembalakan walaupun di pedalaman kenapa dalam masa sama kegiatan penerokaan hutan simpan kekal tidak boleh dikesan dari awal," katanya kepada pemberita selepas merasmikan jambatan yang menghubungkan antara Kampung Limau Nipis Luar dan Kampung Limau Nipis Dalam di Machang.


Ahmad Jazlan mengulas pendedahan Jabatan Perhutanan Kelantan Rabu lepas, mengenai 7,284 hektar kawasan hutan termasuk Hutan Simpan Kekal (HSK) di negeri ini diteroka secara haram oleh sindiket dan individu.

Pengarah Jabatan Perhutanan Kelantan Zahari Ibrahim dilaporkan berkata lebih 400 hektar Hutan Simpan Kekal Ulu Galas dan Batu Papan, Gua Musang diteroka oleh sindiket yang menggunakan nama Sultan Kelantan dan kerabat baginda bagi memperdaya penduduk agar membeli lot-lot tanah yang diteroka dan menyertai penerokaan tanah bagi tujuan penanaman getah, kelapa sawit dan pisang.

Semalam, Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata sebuah pasukan petugas khas sedang mengumpul pelbagai bukti untuk menangkap dan mendakwa dalang serta anggota sindiket terbabit.

Kelantan Berpesta Gol Atasi Terengganu, Kedah, JDT Kongsi Mata

PEMAIN Kelantan, Mohd Khairul Izuan dihalang pemain pertahanan Terengganu, Vincent Bika (kanan) dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad ke IV, Kota Bharu. - Foto Berita Harian
Kelantan merakam kemenangan bergaya selepas menewaskan Terengganu 3-0 ketika langkah juara Piala AFC 2015, Johor Darul Ta'zim (JDT) terus disekat Kedah pada aksi Liga Super, malam tadi.

Memanfaatkan aksi di laman sendiri, Kelantan tidak menunggu lama untuk melancarkan serangan berbahaya kepada pelawat sebelum gol pertama diperoleh pada minit ke-14 permainan menerusi pemain sayap kebangsaan, Wan Zack Haikal Wan Nor.

Mendahului 1-0 berakhir babak pertama, anak buah K Devan tampak terus bernafsu menjaringkan gol, namun jaringan kedua hanya hadir pada minit ke-63 permainan menerusi Wan Zaharulnizam Wan Zakaria.

Seminit sebelum masa permainan berakhir, gawang Terengganu yang dikawal Mohd Amierul Hakimi Awang sekali lagi bocor menerusi jaringan Fakhrul Zaman. 

Di Stadium Darul Aman, Alor Setar, hasrat JDT untuk membalas dendam kekalahan 2-1 dalam kempen Piala FA kepada Kedah, minggu lalu tidak kesampaian apabila sekadar seri 1-1.

Sebaliknya, tuan rumah bermula garang dan berjaya mengejutkan JDT seawal minit pertama perlawanan menerusi jaringan kapten pasukan, Baddrol Bakhtiar yang menyempurnakan hantaran Farhan Roslan.

Tersentak dengan gol awal Kedah, JDT membuat serangan balas dan melancarkan beberapa serangan melalui Pereyra Diaz (m19) namun gagal menewaskan gawang tuan rumah.

Seminit sebelum babak pertama berakhir, penantian JDT untuk meledak gol berakhir selepas dianugerahkan sepakan penalti apabila Pereyra Diaz dijatuhkan oleh Bang Seung Hwan.

Penyerang dari Argentina, Juan Martín Lucero memanfaatkan sepakan penalti dengan sepakan yang mengelirukan ke penjuru kanan pintu gol Kedah untuk menyamakan kedudukan 1-1.

Sekali pun perlawanan tambah rancak pada babak kedua termasuk beberapa peluang terhidang, kedua-dua pasukan buntu menambah jaringan untuk berkongsi satu mata.

Di Stadium Hang Jebat, Melaka, PDRM bukan saja tidak memanfaatkan aksi di gelanggang sendiri, malah gagal mengambil kesempatan ke atas Selangor yang beraksi 10 pemain apabila sekadar mencatat keputusan seri 0-0.

Terdesak untuk bangkit dari kekalahan kepada pendahulu liga FELDA United sebelum ini, skuad kendalian Mohd Fauzi Pilus itu berjaya melakukan dua percubaan bahaya pada babak pertama namun gawang membolosi gawang pelawat.

The Red Giants turut berpeluang untuk membocori jaring tuan rumah muncul tetapi sepakan percuma Patrick Ronaldinho dari jarak kira-kira jarak enam meter pada minit ke-26 hanya tinggi melepasi palang gol tuan rumah.

Pada minit ke-70 permainan, Selangor terpaksa beraksi kurang seorang pemain apabila pemain tengah kebangsaan, Mohd Nazmi Faiz dilayangkan kad merah akibat mengasari Andre Williams.

Permainan tetap berlangsung rancak di sebalik ketiadaan Nazmi dengan rentetan serangan dilakukan PDRM namun tetap gagal menerjah gawang menyaksikan kedua-dua pasukan membawa pulang satu mata.

Pada perlawanan lebih awal, Sarawak gagal memanfaat kelebihan beraksi di laman sendiri apabila diikat Pahang 1-1 di Stadium Negeri, Petra Jaya.

Sumber - Berita Harian

Pasukan Petugas Khas Kumpul Bukti Dalang Teroka Hutan Simpan Kekal


Sebuah pasukan petugas khas sedang mengumpul pelbagai bukti untuk menangkap dan mendakwa dalang serta anggota sindiket yang meneroka hutan simpan kekal terutama di Gua Musang.

Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata pasukan itu yang ditubuhkan tiga tahun lalu dan diterajui Pejabat Tanah dan Galian (PTG) telah mengenal pasti dalang terbabit yang tinggal di luar Kelantan.

"Usaha sedang giat dilakukan bagi mengumpul bukti yang mencukupi untuk mendakwa mereka di mahkamah.

"Dalang kes ini tidak ada di sini (di Kelantan), jadi kalau kami tangkap pun adalah pekerja. Kalau ingin tangkap dalang ini, kena ada bukti yang kukuh untuk dibawa ke mahkamah," katanya kepada pemberita selepas majlis meraikan media Kelantan di Kota Bharu, Khamis lalu.

Mohd Amar mengulas pendedahan Jabatan Perhutanan Kelantan semalam, mengenai 7,284 hektar kawasan hutan termasuk Hutan Simpan Kekal (HSK) di negeri ini diteroka secara haram oleh sindiket dan individu.

Pengarah Jabatan Perhutanan Kelantan Zahari Ibrahim dilaporkan berkata lebih 400 hektar Hutan Simpan Kekal Ulu Galas dan Batu Papan, Gua Musang diteroka oleh sindiket yang menggunakan nama Sultan Kelantan dan kerabat baginda bagi memperdaya penduduk agar membeli lot-lot tanah yang diteroka dan menyertai penerokaan tanah bagi tujuan penanaman getah, kelapa sawit dan pisang.

Mohd Amar berkata penerokaan di kawasan Hutan Simpan Kekal adalah salah dan kegiatan melibatkan sindiket itu dipercayai sudah berlaku lebih 10 tahun lalu.

"Antara strategi peneroka haram ini adalah dia guna nama-nama besar dan dalam kes ini mereka menggunakan nama sultan sedangkan sultan sendiri tidak ada sebarang hubungan dengan kes ini.

"Sindiket ini, sebahagian besar berada di luar Kelantan tetapi oleh kerana mereka ada duit mereka boleh gunakan orang tempatan untuk membuat penerokaan haram seperti menebang kayu dan menjual secara haram kemudiannya mereka tanam sawit, getah dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata menjadi kesalahan juga kepada penduduk kampung yang meneroka kawasan Hutan Simpan Kekal namun jika melibatkan tanah milik kerajaan negeri, perkara itu boleh dipertimbangkan apabila mereka membuat permohonan rasmi kepada pihak kerajaan.

Katanya Jabatan Perhutanan dengan kerjasama agensi penguat kuasa lain seperti polis dan PTG akan meningkatkan pemantauan dan serbuan bagi membanteras kegiatan itu.

Sementara itu, ditanya persediaan kerajaan negeri untuk menghadapi kesan cuaca panas dan kemarau yang berpanjangan, beliau berkata syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) sudah diarah membuat pemantauan dan sekiranya bekalan air terganggu, syarikat itu akan membekalkan air secukupnya kepada penduduk terbabit.

Thursday, April 21, 2016

Sindiket Teroka 7,284 Hektar Tanah Hutan Simpan Kekal Di Kelantan

 Kerja siapa ini?

Tidak kiralah siapa pun, dakwa sahaja mereka jika ada bukti kukuh.

Sindiket sebegini bukan sahaja tamak tetapi memusnahkan hutan simpan kekal yang mengawal ekosistem untuk rakyat di Kelantan dan Malaysia amnya.

Semalam Jabatan Perhutanan Kelantan mendapati 7,284 hektar tanah Hutan Simpan Kekal (HSK) di negeri ini diteroka secara haram oleh sindiket sebelum tanah terbabit dijual secara lot kepada orang ramai.

Pengarahnya Zahari Ibrahim berkata daerah yang terjejas teruk adalah di Gua Musang melibatkan keluasan 3,840 hektar dengan 404 hektar daripadanya adalah HSK Ulu Galas dan HSK Batu Papan.

Bernama melaporkan, dalam operasi dilakukan sepasukan 34 anggota penguat kuasa Jabatan Perhutanan Kelantan semalam, mendapati penerokaan dua kawasan HSK terbabit didalangi sindiket yang diketuai individu berasal dari Pahang dan Terengganu, katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini, hari ini.

Zahari berkata sindiket itu menipu orang ramai dengan mendakwa penerokaan kawasan terbabit mendapat kelulusan daripada pihak Istana Kelantan.

"Melalui risikan dan maklumat awal kita dapati sindiket ini menggunakan nama kerabat (diraja) untuk menipu orang ramai dengan alasan ada kelulusan untuk pembukaan perkampungan di Hutan Simpan Kekal Ulu Galas," katanya.

Zahari berkata dalam operasi terbabit pihaknya menyita jentera dan peralatan untuk membuka kebun, ladang getah dan kelapa sawit secara haram serta menahan tiga penduduk tempatan yang berada di kawasan HSK Ulu Galas.

Kesemua suspek terbabit akan didakwa di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 (Pindaan 1993) dan mereka juga didapati melanggar Enakmen Perhutanan Negeri Kelantan.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak lebih RM50,000 dan penjara sehingga lima tahun, katanya.

Zahari berkata operasi berkenaan adalah antara beberapa siri penguatkuasaan jabatan itu yang dirancang khusus untuk membanteras aktiviti pencerobohan hutan simpan yang semakin berleluasa sejak kebelakangan ini.

Operasi kali ini menyasarkan kawasan `hotspot' yang dipercayai bergiat aktif menggunakan nama pihak istana bagi mengaburi mata pihak berkuasa dan orang ramai, katanya.

"Hasil siasatan, kita dapati Pejabat Hutan Kelantan Selatan Gua Musang sudah beberapa kali membuat serbuan tetapi modus operandi peneroka haram sentiasa berubah bagi mengelak dicekup serta masih berdegil meskipun sudah beberapa kali ditahan dan peralatan disita," katanya.

Katanya pihaknya dengan kerjasama Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kelantan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi berkaitan akan terus memperhebatkan operasi bagi membanteras kegiatan sindiket berkenaan.

Sementara itu, Zahari mengingatkan orang ramai bahawa HSK adalah kawasan tertutup dan orang ramai dilarang menerokainya.

Sunday, April 17, 2016

Dr Awang Adek…Jangan Kena Main Sekali Lagi Dah


Datuk Dr Awang Adek Hussin melahirkan hasrat untuk kembali aktif dalam politik.

Ok jugak tu..tapi kena bantu Tok Pa (datuk Mustapa Mohamed) dan kali ini jangan kena main dengan Tan Sri Annuar Musa sekali lagi.

Kena ingat, Annuar kini kembali jadi panglima sejak dilantik Ketua Penerangan UMNO. Annuar akan mematikan siapa juga pesaingnya. Politiknya kejam!

Once bitten, twice shy, kata orang putih. Main politik bijak Dr Awang Adek!

Bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat semalam menyatakan bertekad meneruskan perjuangannya selagi mendapat sokongan rakyat di peringkat akar umbi terutama di bahagian Bachok.

"Saya akan kembali menemui rakyat di peringkat akar umbi dan memberi perkhidmatan kepada mereka," katanya kepada pemberita pada Majlis Mesra Bersama Pemimpin di kediamannya di Kampung Perupuk, Bachok.

Beliau menerima watikah pelantikan sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada 31 Mac 2014 dan menamatkan tugas tersebut pada 7 April lepas.

Dr Awang Adek sebelum itu berkhidmat sebagai timbalan menteri kewangan selama tujuh tahun sejak 2006 di bawah dua perdana menteri iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sepanjang berkhidmat sebagai duta besar, beliau masih merupakan Ketua Umno bahagian Bachok namun jawatan itu dipangku oleh Timbalannya, Datuk Dr Ilias Hussain.


Mengenai jawatan Gabenor Bank Negara yang nama beliau turut disebut-sebut untuk dilantik menyandangnya, Dr Awang Adek berkata, beliau menyerahkan perkara itu kepada kepimpinan negara.